Friday, June 4, 2010

SBSC : Bab 3


Bunyi angin dari kipas dinding itu mendesing-desing. Namun sedikitpun tidak menganggu menungan Azira yang jauh. Hutan itu masih terbiar dan bau hanyir longkang besar di luar itu masih hapak. Dia mengeluh.Sampai bila dia harus di situ?

“Kenapa kau termenung saja ni? Dah banyak siap?” tanya Kak Jah yang baru balik dari kedai makan di sebelah.Sebungkus air Nescafe Ais kegemaran Azira disangkutkan ke tepi tingkap.
Azira tunduk semula sambil menyambung jahitannya.

“Kau ada masalah? Tak cukup duit?”tanya Kak Jah lagi.

Azira menggeleng. “Tak kak.Semua cukup,”katanya sambil cuba tersenyum.

“Kenapa ambil tempahan lagi untuk dua minggu depan?Akak kan kata,tempahan kita dah penuh?” tanya Kak Jah pula yang sedang memeriksa buku tempahan.

Jahitan Azira terhenti. Dia berpaling menghadap Kak Jah yang merenungnya. “Kak Jah, itu tempahan mengejut. Saya tak tahu bagaimana nak tolak."

“Masalahnya sekarang, akak takut kita tak sempat siapkan.Nanti mereka marah-marah.Yang ada ni pun,kita dah terpaksa kerja lebih masa.Nak cari pembantu bukannya senang.” Kak Jah mula mengomel.

“Saya tahu,Kak Jah.Jadi saya nak minta tolong pada Kak Jah satu perkara.”

“Apa dia?”Kak Jah terkebil-kebil.

“Saya minta izin untuk jahit baju tu di rumah saya.Insya-Allah sempat siap dalam dua minggu.”

“Boleh ke kau jahit kain ni? Kain ni licin benar,”kata Kak jah sambil merasai kain itu dengan hujung jarinya. “Leceh nak jahit ni.Kau minta upah berapa?”

“Macam biasa,’jawab Azira.

“Ha? Mana boleh macam biasa kalau kain macam ni.Dahlah kena jahit dua lapis.Upahnya kena tinggi sikit.”

Azira terkulat-kulat. Tidak pernah pula Kak Jah mengajar sedemikian sebelum ini.Tapi dia malas untuk menjawab. “Tak apalah,kak. Biar saya siapkan juga.Pelanggan ni memang cerewet sikit.”

“Kau ada masa ke? Dah lah sehari suntuk menjahit.Balik pula kena jahit butang dengan tikam leher. Sekarang tambah lagi sehelai baju yang rumit nak buat ni.Kau tak penat ke?”

Azira terdiam seketika. “Boleh agaknya. Lepas anak-anak tidur.”

“Kalau macam tu kata kau.Kau sajalah yang siapkan.Upah nanti kau ambil,”kata Kak Jah sambil menghulurkan beg kertas itu.

Azira mengangguk kesu. Beg kertas yang mengandungi kain merah itu diletakkan di tepi kaki. Sesekali apabila dia terpandang, dia hanya mampu menggeleng.Mengapakah dia harus memaksa diri?

******
“Uzair, janganlah gaduh dengan adik,”laung Azira dari bilik tengah. Bilik itu dijadikan bilik untuk dia meneruskan kerja-kerja menjahit yang tidak sempat disiapkan di kedai.

“Aira ni,mami.Degil cakap abang.Abang dah kata jangan main tukul besi.Dia degil juga,”laung Uzair balik dari ruang tamu.

Terdengar jeritan Umaira yang semakin kuat, diikuti bunyi kaca yang pecah berderai. Azira mematikan suis mesin jahit.Dia melangkah ke ruang tamu. Dia tergamam sebentar, ruang tamu itu basah dengan air sirap dan kaca bertaburan di segenap sudut. Tak sedar air matanya mengalir. “Umaira,jangan bergerak.”katanya.

Umaira dan Uzair sama-sama terpaku. “Kenapa mami?”Uzair memberanikan diri bertanya.
“Sebab kalau bergerak nanti terpijak kaca. Biar mami kutip kaca-kaca tu dulu,” jawab Azira sambil menahan sesak di dada. Tubuhnya terasa semakin letih.

Satu demi satu kepingan kaca itu dikutip. Dia melangkah mendekati Umaira yang masih terpacak di tengah ruang.Azira mendukung Umaira ke tepi.Karpet itu dibersihkan pula dengan pencuci vakum. Dia masih tidak bersuara.Jiwanya sudah terlalu letih untuk berasa marah.

“Mami….,”panggil Umaira.

Azira mendongak. Wajah mulus Umaira direnung tajam.

“Maafkan,Aira.Aira tak sengaja pecahkan cawan.”

Azira menggeleng. Air matanya meleleh turun. “Tak mengapa kalau tak sengaja.Kalau sengaja,memang mami marah.”

“Habis tu,kenapa mami nangis?”

Azira menggeleng lagi. Pertanyaan itu tidak dijawab. Karpet itu ditarik keluar lalu disidaikan ke pagar.Air paip dipasang lalu kesan tumpahan air sirap itu dibersihkan.Warna merah mengalir laju masuk ke longkang. Alangkah mudahnya kekotoran itu pergi.Dan alangkah baiknya kepedihan hatinya juga pergi semudah itu?

“Dah, pergi tidur,”kata Azira kepada anak-anaknya yang melihat dari muka pintu.

Kedua-duanya melangkah lesu ke bilik masing-masing. Tinggal Azira di situ mengunci pagar dan menutup lampu. Dia langsung melangkah ke bilik jahitannya semula.Malam itu dia perlu memulakan tugas baru.

*****
“Pukul berapa ni,Mi?”tanya ibu Nazmi yang sedang berbaring di atas karpet. Matanya masih leka menonton drama di kaca televisyen.

“Dekat pukul 12, mak.Kenapa tak tidur lagi?”tanya Nazmi pula sambil melunjurkan kaki di atas sofa.

“Wawa belum balik.Entah ke mana perginya budak tu.”

“Belum balik? Mi ingatkan dia dalam bilik.”

“Belum, dia keluar lepas senja tadi terus tak balik-balik.”

“Erm…yang mak biarkan kenapa?”

“Ah! Budak sekarang.Mana nak duduk rumah.”

Nazmi cuma mengeluh. “Anak orang lain boleh duduk rumah.Dia asyik berembun di luar.”

Ibu Nazmi terdiam seketika. “Kau pun sama juga.Malam ni saja melekat di tumah, apahal? Kedai kat luar dah tak ada yang buka ke?”

Nazmi tersengih. “Nak keluarlah ni.Tunggu kawan call.”

“Ha,tengok tu. Apa bezanya dengan Wawa?”

“Bezanya? Mi lelaki, dia perempuan.Mi tak boleh bawa perut kalau silap, mak.”

“Pandainya menjawab,”balas ibu Nazmi.

Nazmi cuma menggeleng.Dia bangun mencapai kunci. Di muka pintu,langkahnya terhenti.“Tahu pun balik,” katanya kepada adiknya yang baru tiba.

“Orang tahu baca jamlah,”jawab Wawa sambil mencampakkan kasutnya ke tepi.

“Tengok tu pakai campak je.Susunlah sikit.”

“Yang abang nak bersyarah malam-malam ni kenapa pula? Nak ke mana tu? Berembun?”

“Ha’ah,tunggu embun turun. Moga-moga kembung perut aku pagi esok.”

“Eleh, nak perli oranglah tu,”kata Wawa sambil melangkah masuk. Terus ke bilik tidurnya.

Ibu Nazmi hanya menggeleng dari jauh. Nazmi melangkah dengan lesu.

1 comment:

Note: Only a member of this blog may post a comment.