Tuesday, April 19, 2011

Teaser JANJI JULIA : Bab 11


Boleh mula dibeli di BOOKSTATION atau
daripada Gerai Gemilang Publishing (One Nusantara)
di Pesta Buku nanti!

Di dalam ladang kelapa sawit…

Hujan lebat yang turun mencurah-curah sejak malam tadi mulai berhenti. Tinggal titisan-titisan air yang masih menitis dari hujung dedaunan kelapa sawit. Keadaan di situ masih gelap walaupun sudah tidak segelap malam. Julia dan Mimi hanya termenung kosong. Waktu yang menjengah pagi menjadikan suasana bertambah sejuk hingga ke tulang. Tanpa rela, mereka berdua tergigil-gigil kesejukan. Semuanya basah kuyup.

“Ju, kau tidur?” Suara Mimi memecah kesunyian.

Julia menoleh ke arah Mimi lalu menggeleng perlahan. Kepalanya pening. Hidungnya mula tersumbat setelah berhujan sepanjang malam.

“Apa kita nak buat pagi ni? Macam mana kita nak terus hidup macam ni?” Mimi mengangkat kening.

Julia mengeluh. “Apa pun yang berlaku, aku takkan balik ke lebuh raya lagi. Cuba kau fikir, kalau tak ada pihak tentera yang datang ke sana, pasti mayat-mayat tu akan mereput dengan sendirinya di atas jalan. Kau sanggup tengok?”

Mata Mimi membesar. Di wajahnya terbayang kengerian yang amat sangat. “Tapi kita nak pergi ke mana?” Dahinya mula berkerut semula.

“Kita mesti pergi jauh dari sini. Kita mesti masuk ke dalam hutan kalau perlu.”

“Masuk hutan? Buat apa masuk hutan? Tinggal sajalah di sini,” Mimi tercengang-cengang.

Julia menghela nafas. “Aku dah kata semalam. Apa pun yang terjadi, aku akan hantar kau balik ke Ipoh. Dan untuk itu aku mesti pastikan kita berdua terus hidup. Untuk hidup pula, kita perlukan air dan makanan sehingga kita jumpa jalan keluar ataupun dapat bantuan,” terang Julia satu per satu. Bagaikan mengajar budak kecil.

Dia merenung wajah Mimi. Dalam remang cahaya pagi, wajah itu begitu muram. Hatinya kecewa, namun dia berharap agar Mimi akan mengerti itu semua bukan kehendaknya juga.

"Di sini tak ada apa-apa untuk kita bertahan. Tak ada air. Tak ada makanan. Di dalam hutan, sekurang-kurangnya masih ada sumber makanan yang boleh dicari. Mungkin ada anak sungai dan buah-buah hutan.”

“Semalam kau kata, mungkin ada rumah pekerja ladang di sini. Boleh tak kau berjanji dengan aku? Kalau kita tak jumpa jalan keluar dari ladang ni, barulah kita masuk ke hutan.”

Kali ini Julia mengeluh panjang. “Baiklah, kalau kita jumpa mereka, memang satu rahmat,” jawabnya. “Tapi kalau tak jumpa, kita mesti cari jalan lain untuk bertahan,” jawab Julia sambil menggigit bibir. Dia berasa tercabar. Dia hanya mahu menghantar Mimi pulang. Itu pun sangat sukar untuk dilaksanakan.

“Maafkan aku, Ju. Aku mungkin susahkan kau saja.”

Julia menggeleng. “Jangan cakap macam tu. Kita tak tahu masa depan kita macam mana. Entah-entah aku yang akan susahkan kau pula nanti.”

“Baiklah, aku cuma takut. Aku tak biasa dengan keadaan macam ni,” jawab Mimi separuh berbisik.

“Aku faham, Mimi. Tapi kita kena faham yang kita terpaksa. Kita terpaksa menjaga nyawa kita sementara keadaan menjadi lebih selamat. Aku tak nak berjanji apa-apa lagi, cuma aku harap keadaan akan menjadi baik semula untuk kita. Sementara itu kita akan tetap bertahan, kan?”

Mimi mengangguk sambil menyeka air matanya yang turun ke pipi. “Maafkan aku kalau tak banyak membantu.”

“Aku pun sama tapi kita masih ada masing-masing. Kau ada aku, aku ada kau dan kita ada Tuhan. Jangan lupa tu.”

Mimi mengangguk lagi. “Aku lega sebab saat-saat macam ni, aku ada bersama kau. Kalaulah aku bersama orang lain, aku tak tahulah apa yang akan terjadi.”

“Tuhan saja yang tahu, Mimi. Entah apa hikmah di sebalik semua ni tapi kita kena tabah. Anggap saja di hujung sana ada cahaya dan keadaan yang lebih baik untuk kita.”

“Aku tak sangka, dalam waktu macam ni kau menjadi lebih matang,” jawab Mimi sambil ketawa kecil. “Mungkin kata-kata aku semalam menjadi kenyataan.”

“Kata-kata semalam?”

“Ya, tentang kemungkinan kemerdekaan itu perlu dituntut sekali lagi,” sampuk Mimi. “Kita sama-sama tahu yang negara kita yang aman dulu dah berkubur.”

Julia terdiam. “Sebab itulah, kena hati-hati bila bercakap. Tuhan Maha Mendengar.”

“Aku tak pernah mendoakan negara kita jadi macam ni, Ju.”

Julia hanya mengangguk. Kata-kata itu sekali lagi membuatkannya berasa gerun. Terlintas juga di fikirannya tentang nasib negara di luar sana. Namun dia lebih merunsingkan nasib mereka berdua di situ. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya. Tidak ada isyarat. Tiba-tiba dia berasa rindu untuk mendengar suara ayahnya sekali lagi. Untuk itu dia sedar, sememangnya dia harus bangkit berjuang.

“Aku rasa, bila keadaan jadi cerah sikit, kita terus gerak. Kita tak tahu berapa jauh kita harus berjalan hari ni,” kata Julia.

*****

Mimi tiba-tiba tersungkur ke tanah. “Aduh!” jeritnya nyaring. Kaki kirinya terbenam ke dalam lubang sedalam kira-kira sekaki. Lututnya menghentam tanah. Beg pakaiannya tercampak ke dalam semak.

Julia tersentak. Dia segera berpatah semula dan mendekati Mimi. Kaki Mimi ditarik perlahan. “Hati-hatilah jalan. Di sini macam-macam ada. Tunggul ada, lubang ada, bonggol ada,” leter Julia sambil membersihkan lutut Mimi yang bersememeh dengan tanah merah.

“Rehatlah sekejap. Aku dah tak larat nak berjalan ni…” Mimi merengek keletihan. Beg bajunya dibiarkan sahaja. Dia menelentang di atas rumput. Nafasnya turun naik. “Beg baju aku ni dah bertambah berat berkilo-kilo.”

Julia hanya diam. Kalau boleh, dia ingin membantu tetapi beg bajunya sendiri pun sudah berat. Maklumlah semua pakaian di dalamnya basah lencun. Dia duduk memeriksa lututnya yang terkena tunggul malam tadi. Darahnya sudah berhenti, namun lebamnya masih ada.

“Jauh lagi ke?” Mimi mengurut betisnya yang masih lagi terasa sakit. Kasut snikernya sudah tidak nampak warna, bersalut dengan tanah merah. Rupa mereka berdua juga sudah semakin comot dengan rambut yang kusut-masai dan muka bangun tidur yang tidak berbasuh.

“Entahlah. Dah hampir dua jam kita berpusing-pusing di dalam hutan ni. Usahkan rumah, jalan pun tak jumpa,” jawab Julia.

“Habis tu?”

“Kita jalan lagilah ke depan sana. Mana tahu kita nampak sesuatu.”

“Depan tu berbukitlah. Lagilah susah nak naik,” balas Mimi.

“Bukit tak bukit. Kalau kena panjat, kita panjat juga. Kalau kau tak nak ikut, kau tunggu sini dulu. Biar aku saja yang pergi periksa.”

“Tak naklah macam tu. Kau juga yang kata takkan tinggalkan aku jauh-jauh,” rengek Mimi lagi.

“Kalau macam tu, mari kita naik ke atas bukit tu,” Julia bangun menarik tangan Mimi. Beg pakaian mereka diheret semula.

Mimi berjalan dengan agak perlahan. Kakinya terdengkot-dengkot. Setelah hampir setengah jam mendaki, akhirnya mereka berdua tiba di puncak bukit itu. Kedua-duanya termenung jauh. Apa yang diharapkan langsung tidak sama.

“Tak nampak apa pun,” kata Mimi.

Julia hanya memerhati. Pokok-pokok kelapa sawit di situ sudah tua dan rendang. Daun-daun yang mati pun tidak dipangkas langsung. Sememangnya dari kedudukan itu mereka tidak nampak apa-apa selain pokok kelapa sawit yang seluas mata memandang.

“Ju, aku rasa kita dah sesat dalam ladang ni,” bisik Mimi. Beg pakaiannya dicampak ke atas tanah.

Julia duduk sambil termenung. Tapak tangannya memangku dagu. Fikirannya kusut seketika. Dia tahu mereka berdua sudah sesat di situ dan untuk mencari jalan keluar pasti mengambil masa yang lebih lama. Ke mana arah yang harus dituju? Sedangkan perut semakin pedih.

*****


“Kita nak pergi ke mana lagi, Ju? Ke sana pokok, ke sini pun pokok. Aku dah naik jemu tengok pokok kelapa sawit ni.”

Julia tidak berkalih. Dia leka memerhati ke suatu arah. “Ke situ!” kata Julia sambil menuding jari.

Mimi menoleh mengikut arah yang ditunjukkan. “Itu apa?” tanyanya sambil tercengang-cengang.

“Itu sempadan di antara ladang ni dengan hutan sebelah sana. Aku cadangkan kita masuk dulu ke sana untuk cari air. Mungkin juga kita boleh menemui buah-buah hutan,” terang Julia pantas. Itu sahaja yang terlintas di fikirannya sekarang. Kalau jumpa pisang hutan pun sudah cukup membuatnya tersenyum panjang. Asid perutnya sedang menggigit dinding perut dengan rakus. Dia berkerut menahan pedih.

Mimi terlopong. “Hutan? Betul ke kita nak masuk hutan?”

Julia mengeluh. Kepalanya semakin pening. Entah kerana selesema yang mula menghinggapinya ataupun kerana gastrik yang sedang ditanggung ataupun juga kerana memikirkan sikap Mimi.

“Mimi, kita tak ada pilihan. Kau sedar tak? Sampai bila kita nak terpusing-pusing di dalam ladang ni tanpa arah? Ini ladang besar, tentulah sangat luas. Kita kena cari air secepat mungkin.”

Mimi masih terpaku memandang ke arah hutan. “Seumur hidup aku, aku tak pernah masuk ke dalam hutan kecuali hutan rekreasi macam Taman Botanikal. Itu pun dah cukup merimaskan, inikan pula kita nak masuk ke situ tanpa apa-apa persediaan,” kata Mimi dengan perlahan. “Kau biar betul, Ju. Aku takut. Nanti ada ha…” Mulut Mimi ditekup cepat oleh Julia.

“Mulut jangan sebarang cakap,” Julia memberi amaran kepada Mimi.

Mimi terpinga-pinga.

“Maksud aku, kalau kita masuk ke dalam hutan ataupun ke tempat yang asing, jangan sebut-sebut perkara yang buruk atau yang boleh menakutkan kita. Nanti itulah yang datang,” terang Julia cuba mengendurkan suasana. Sedari semalam segala igauan buruk itu cuba ditepis jauh-jauh, alih-alih Mimi pula yang menimbulkan persoalan.

Mimi terkelip-kelip. “Oh! Macam tu ke? Maaflah. Aku akan ingat.”

“Ya, kau ingat baik-baik sebelum kau masuk ke situ.”

“Eh! Betul ke ni, Ju? Kau tak main-main?”

“Aku nak main-main buat apa?”

“Macam tak percaya saja kita nak masuk ke dalam hutan tu tanpa apa-apa,” balas Mimi. Wajahnya benar-benar kebingungan.

“Kita bukannya nak pergi berkhemah. Kita masuk untuk cari air dan makanan sebelum jumpa jalan keluar,” jawab Julia dengan tegas.

“Kau berani ke, Ju?”

“Kita terpaksa, kau faham tak? Terpaksa. Bila terpaksa, berani ataupun tak, semua dah tak jadi hal.”

Mimi terdiam. “Kalau macam tu, aku ikut sajalah. Tapi aku nak beritahu kau satu perkara. Aku tak pernah masuk hutan ataupun berkhemah, jadi aku...”

“Ya, ya, aku tahu kau takut. Tapi percayalah cakap aku, di sana ada air dan makanan. Itu yang penting sekarang, bukan?”

Mimi mengangguk. “Aku percaya kepada kau, Ju.”

Mereka berdua lantas bangkit semula. Mereka menuruni bukit dengan berhati-hati kerana rumput di situ basah dan licin. Itu pun Mimi tersungkur dan tergelincir juga beberapa kali. Kini mereka berdua berdiri di hadapan belukar yang menjadi sempadan kawasan antara ladang dan hutan yang menghala ke sebuah kawasan tinggi. Julia meletakkan beg pakaiannya di situ.

“Aku rasa sukar untuk kita berjalan dalam hutan kalau macam ni,” katanya sambil merenung Mimi.

“Maksud kau?” Mimi terlopong.

“Beg-beg ni semuanya berat-berat. Kita tinggalkan saja di sini. Kita bawalah beberapa pasang pakaian dan barang-barang yang diperlukan saja.”

“Ha, kau suruh aku tinggalkan beg aku yang mahal ni?” Mimi terjegil.

“Tadi kau yang kata percayakan aku, sekarang kau nak bantah pula. Kalau kau larat nak bawa dalam hutan tu, aku tak kisah tapi aku nak bawa sebuah beg sandang saja.”

“Habis, barang-barang kita ni macam mana?”

Julia mengeluh. “Dalam keadaan sekarang, semuanya tak penting lagi, Mimi. Kalau umur panjang dan ada rezeki, kita belilah yang lain,” pujuk Julia.

“Yalah, aku faham,” jawab Mimi. Namun wajahnya tetap keruh. Dia mula mengemas apa yang perlu. Semuanya diisi ke dalam beg sandangnya. Tiba-tiba dia terjerit. “Susu!” Dia hampir menangis kegembiraan. Di tangannya ada sekotak susu yang disimpan semalam.

Julia ketawa kecil. Susu itu segera dibuka dan diminum bersama. Betapa nikmat rasanya. Sukar digambarkan dengan kata-kata. Dia dan Mimi terdiam seketika. Julia memeriksa telefon bimbitnya. Namun masih tidak ada isyarat seperti kebiasaannya. Dia membelek gambar-gambar yang sempat dirakamkan.

“Kau tangkap gambar kejadian di lebuh raya semalam?” tanya Mimi apabila terpandangkan gambar-gambar yang sedang dilihat oleh Julia.

“Ya, aku sempat rakam beberapa keping sebagai bukti. Gambar-gambar penjenayah itu pun ada,” jawab Julia.

“Kau nak buat apa?”

“Kalau ada isyarat pemancar, aku nak hantar kepada Safeline,” jawab Julia dengan pantas. Sepantas jarinya memilih pakaian yang hendak dibawa pergi. Beg sandangnya sudah semakin padat.

“Bagus juga. Sekurang-kurangnya ada orang lain yang tahu apa sebenarnya yang terjadi di lebuh raya tu semalam. Dan juga ada bukti kalau aku nak ceritakan pada adik-adik aku nanti. Tak adalah mereka kata aku temberang.” Tiba-tiba Mimi terdiam. Dia tunduk memandang tanah.

“Sabarlah, Mimi. Kau kena kuatkan semangat. Kita tetap akan cari jalan balik ke Ipoh ya,” pujuk Julia apabila terlihat air mata Mimi yang mula gugur. Kalau boleh, dia pun mahu menangis sama.
Mimi terdiam.

“Mari, kita cari air,” kata Julia sambil berdiri dan menarik beg sandangnya. Parang sudah tergenggam kemas di tangan kanannya. Dengan bacaan Bismillah, dia melangkah pagar yang memisahkan ladang kelapa sawit dan hutan belantara di hadapan.

Tanpa berlengah, Mimi segera bangkit mengekori langkah Julia. Sebelum dia melangkah pagar, dia sempat berpaling ke belakang. Beg pakaian mereka terbiar di situ. Air matanya bergenang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.