Tuesday, July 12, 2011

Mencari Damai Abadi : Bab 14

Beberapa hari selepas itu…

MAHU atau tidak, masanya sudah tiba. Masa untuknya menunaikan janjinya kepada Sherry. Janji untuk membincangkan hal masa depan mereka berdua. Sebaik sahaja dia melangkah turun dari kereta yang menjemputnya, dia sudah tahu. Janji itu ada harganya.

Tersergam di hadapan matanya, sebuah rumah banglo setinggi tiga tingkat. Di sebelahnya kanannya terdapat sebuah kolam renang yang kelihatan sunyi. Namun airnya yang membiru menarik perhatiannya. Serta-merta dia teringatkan Pulau Damai yang baru ditinggalkan.

“Jemput, encik. Tuan dan puan ada di dalam,” tegur pemandu yang menjemputnya tadi di stesen bas. Mungkin tidak selesa apabila melihat Azmi bagaikan tidak tahu arah.

Azmi mengangguk. Baru melangkah dua tiga tapak, pintu rumah besar itu terbuka lebar. Seraut wajah yang teruja menyambutnya.

“Masuklah, mama dan papa dah lama tunggu.” Sherry tersenyum lebar. Matanya yang bersinar, menyeluruhi wajah Azmi.

Azmi tersenyum. Kelewatan itu bukanlah kemahuannya tetapi dia selalu reda, ketentuan tuhan itu hanya jatuh pada saat yang telah ditetapkan. Lalu, dia menjawab sekadarnya, “Bas lewat bertolak, mungkin ada masalah sikit tadi.”

“Tak apalah, mari jumpa mama. Papa dah keluar,” terang Sherry. Dia melangkah ke ruang tamu di sebelah kiri banglo besar itu.

Azmi melangkah sama. Buah tangan yang dibekalkan Kak Senah masih dipegang kejap. Dia berharap ibu Sherry sudi menerima buah tangan yang tidak seberapa itu. Ikan masin yang besar dan segar. Tidak ada yang lebih ikhlas, daripada hasil buatan tangan sendiri, fikirnya.

“Mama!” Sherry memanggil sambil mempersilakan Azmi duduk di ruang tamu. Pintu di sebelah kirinya terbuka lebar. Dari situ mereka dapat melihat kolam renang di luar rumah.

“Sherry, ni untuk keluarga awak.” Ikan masin yang dibungkus berlapis-lapis itu diserahkan kepada Sherry.

Sherry menerimanya dengan tenang. “Terima kasih. Kak Senah apa khabar?”

“Kak Senah dan Abang Osman, sihat. Alhamdulillah, mereka berkirim salam, Assalamualaikum,” balas Azmi. Dia duduk dengan tenang, sesekali menjeling ke arah kolam yang menarik perhatiannya sejak tadi. Lebih menarik daripada kerusi empuk buatan Italy ataupun perhiasan-perhiasan yang berdiri megah di setiap sudut rumah besar itu.

“Apa benda tu, Sherry?” Perbualan mereka yang baru bermula disampuk satu suara. Seorang wanita berbaju jubah chiffon biru muda melangkah ke ruang tamu itu.

Sherry bingkas bangun. “Mama, inilah Azmi. Azmi, inilah mama Sherry.” Dia melangkah ke arah ibunya.

“Baru sampai?” tanya ibu Sherry. Dia memandang Azmi dari atas ke bawah.

Azmi berdiri dan mengangguk. Salam tidak dihulurkan.

Ibu Sherry terkelip-kelip, akhirnya duduk di kerusi yang bertentangan dengan Azmi. “Apa benda tu?” Kini pandangan matanya tertancap ke arah bungkusan kertas surat khabar di tangan Sherry.

“Ikan masin, mak. Di pulau tu, mereka buat sendiri,” terang Sherry.

“Hantar ke dapur. Nanti hamis tempat ni.” Ibu Sherry berkerut dahi. Dia berpaling pula ke arah Azmi. “Di rumah ni, kami tak makan ikan masin. Papa Sherry ni mudah sakit kepala. Bau pun dia tak tahan.”

Azmi mengukir senyuman walau tidak semanis mana. Dia tidak menyalahkan sesiapa melainkan dirinya sendiri yang tidak cuba memahami keluarga Sherry terlebih dahulu. Lalu, dia menjawab, “Maafkan saya, mak cik. Kerana kurang periksa.”

“Jangan panggil, mak cik. Bunyinya macam tua sangat. Panggil, auntie. Auntie Mila.” Ibu Sherry menjeling.

“Maafkan saya, Auntie Mila,” ulang Azmi. Semakin lama di situ, perasaannya semakin tidak tenang. “Maafkan saya juga kerana terlewat sampai.”

“Kenapa kamu naik bas? Kenapa tak naik helikopter ke?”

Helikopter? Azmi tidak faham apa-apa. Lalu, dia menjawab dengan jujur, “Saya tak ada helikopter, auntie.”

“Tahulah kamu tak ada tapi kenapa tak sewa saja? Habis di pulau tu naik apa?” Auntie Mila masih memandang tajam ke arah Azmi.

“Pulau? Di sana tak ada kenderaan lain selain bot atau perahu nelayan.”

“Pulau kecil ya?” tanya Auntie Mila. Di wajahnya mula terlukis perasaan kecewa. “Tak apalah, sekurang-kurangnya pulau tu kamu yang punya. Bolehlah dibangunkan resort dan pusat pelancongan.”

Kamu punya? Kepala Azmi semakin pening. Adakah Auntie Mila menyangkakan dia pemilik Pulau Damai? Hatinya berdebar. Dengan sekali nafas dia menjelaskan, “Saya bukan pemilik pulau tu, auntie. Saya cuma tinggal di situ sejak kecil.”

Auntie Mila terkejut. Bulat matanya merenung Azmi. “Bukan kamu punya? Habis tu, kenapa papa Sherry cakap kamu yang punya pulau tu? Ish! Orang tua ni…” Dia menggeleng beberapa kali. “Hah, Sherry! Azmi ni bukan tuan punya pulau tu…” katanya lagi apabila Sherry muncul bersama sedulang minuman.

Tangan Sherry bergetar. Cawan di atas dulang berlaga. Sambil terkulat-kulat Sherry menjawab. “Mama…” Dia menelan liur. “Memang Azmi bukan tuan punya pulau tu. Sherry pun tak cakap macam tu pada papa. Papa yang buat andaian sendiri.”

“Habis tu… Azmi ni siapa?” tanya Auntie Mila.

Sherry meletakkan dulang di atas meja. Dia termenung seketika. “Azmi… penduduk Pulau Damai, mama.” Dia tunduk memandang meja.

Azmi menjeling ke arah Sherry. Otaknya cuba berfikir dan mentafsir. “Apa masalahnya, Sherry? Auntie?”

“Dah sampai? Maaflah, papa ada urusan dengan klien tadi,” sampuk satu suara garau dari arah muka pintu.

Azmi spontan berdiri. Diikuti Sherry dan Aunty Mila. Kesemuanya terdiam.

*****

“KENAPA berdiri? Duduk… duduk.” Tuan Jamil menarik lengan Azmi untuk duduk di sebelahnya.

Azmi tergamam. Namun gelagat ayah Sherry diikutkan sahaja. Fikirannya masih keliru dengan apa yang sedang berlaku di rumah itu. Dengan teragak-agak dia membuka mulut, “Pak cik… apa khabar?”

“Uncle sihat. Mak ayah Azmi, apa khabar pula?” Tuan Jamil menyambut huluran cawan yang disuakan isterinya. Sherry memerhati sahaja.

Azmi menahan nafas. Fahamlah dia, ayah Sherry mahu dipanggil ‘uncle’ dan bukannya ‘pak cik’. Lalu dia menjawab dengan tenang, “Mak dan ayah saya dah meninggal, uncle. Sejak saya kecil.”

Tuan Jamil teranguk-angguk. “Adik-beradik? Kamu ada adik-beradik?”

Azmi menggeleng. “Saya pernah ada dua orang abang, tapi kedua-duanya juga dah meninggal dalam kemalangan.”

“Patutlah Azmi yang warisi pulau tu,” sampuk Tuan Jamil.

Ruang tamu itu tiba-tiba menjadi senyap seketika. Azmi menarik nafas lalu menjawab, “Uncle, saya bukan tuan punya pulau tu. Saya cuma salah seorang penduduk di situ saja.” Dia merenung wajah Tuan Jamil.

Mulut Tuan Jamil tidak terkatup. Dia menoleh pula ke arah Sherry dan isterinya. Akhirnya dia bertanya, “Sherry, apa ni?”

Sherry yang duduk di sebelah ibunya menjawab, “Sherry tak kata dia tuan punya pulau tu, papa. Kan Sherry kata dia tinggal di situ? Papa yang salah tafsir.”

Tuan Jamil diam seketika. Dia tersandar. “Jadi… Azmi kerja apa di sana?”

Azmi membalas pandangan Tuan Jamil. Baru dia faham apa yang sebenarnya yang telah terjadi. Rupa-rupanya dia telah disalah sangka. “Saya berniaga.”

“Berniaga ? Berniaga apa di pulau tu? Resort?” Suara Tuan Jamil semakin kuat.

“Kedai runcit dan kedai cenderamata. Kadang-kadang saya menyelam mencari…”

“Kedai runcit!?” Tuan Jamil memandang ke arah isterinya.

Auntie Mila mengalihkan pandangan ke arah lain.

Azmi mengangguk. Nada suara Tuan Jamil membuat hatinya terasa tidak tenteram. “Ya, kedai runcit kecil saja, uncle.”

“Kamu biar betul ni, Sherry?” Tidak semena-mena Tuan Jamil bercakap dengan Sherry pula.

Sherry terkulat-kulat. Dia bertentang mata dengan ayahnya. “Betullah, papa. Apa pula yang tak betulnya?”

Tuan Jamil berkerut dahi. Dia mendengus sambil meraup rambutnya yang nipis. “Takkan lelaki yang macam ni, kamu nak pilih buat suami? Dah habis ke lelaki lain dalam dunia ni atau kamu dah tak laku sangat?”

Azmi tersentak. Mulutnya terasa berat.

“Papa! Kenapa papa cakap macam tu, pula? Dulu, papa yang suruh Sherry cari sendiri. Papa cakap, Sherry boleh pilih sesiapa yang Sherry suka.”

“Tapi bukan lelaki yang macam ni!”

“Habis tu lelaki yang macam mana?” bentak Sherry. Wajahnya merah padam menahan tangis.

“Sekurang-kurangnya yang ada pendapatan tetap, yang boleh sara hidup kamu di kota besar ni.” Tuan Jamil bersandar semula. Sedikit pun dia tidak menoleh ke arah Azmi.

Sherry diam. Dia tunduk sambil menyapu air matanya yang jatuh ke pipi. Auntie langsung tidak bergerak.

“Maafkan saya, uncle, aunty. Izinkan saya menerangkan sedikit hasrat saya,” kata Azmi setelah suasana di situ menjadi sepi. Disebabkan kata-katanya tidak disambut, dia terus menyambung, “Saya berhasrat untuk melamar Sherry untuk menjadi isteri saya. Saya akan bina sebuah rumah di tepi laut untuk kami hidup bersama selepas berkahwin nanti. Saya juga akan membesarkan kedai dan memasarkan produk mutiara ke tanah besar. Itulah perancangan saya dan saya akan menjaga Sherry sedaya upaya saya sebagai seorang suami yang baik, insya-Allah.”

Tuan Jamil diam membisu. Kata-kata Azmi tidak disambutnya.

“Papa, dia pilihan Sherry. Papa dan mama nak tengok Sherry bahagia, kan?” kata Sherry pula.

“Are you sure, Sherry?” Aunty Mila bersuara setelah sekian lama membisu di situ.

Sherry mengangguk. Dia tersenyum pahit. “Sherry takkan menyesal memilih dia, mama. Malah Sherry percaya dia akan membawa cahaya ke dalam keluarga kita nanti.”

Tuan Jamil mendengus. “Cakap saja memanglah boleh. Kahwin ni bukan setakat tahu akad nikah saja. Itu, suruh sesiapa di tepi jalan tu pun boleh.”

“Sherry percaya pada dia, papa. Sherry lebih kenal dia,” jawab Sherry.

Tuan Jamil menarik nafas. Dia menoleh ke arah isterinya semula. “Macam mana, mama? Anak kita ni nampaknya dah gatal sangat nak kahwin. Dia pakai sapu saja…”

Auntie Mila tidak mengangkat muka. “Entahlah, papa. Mama ikut saja tapi kita kena fikir kedudukan kita. Mama tak nak malu pada keluarga dan kawan-kawan kita.”

“Mama…,” tegur Sherry.

Azmi menarik nafas. Dia melontarkan ingatannya kepada Tuhan. Dia reda andai penghinaan itu sebagai balasan dosa-dosanya. Tidak ada yang datang tanpa izin-Nya. Dia pasrahkan hati untuk menerima segalanya dengan hati yang terbuka.

“Kalau kamu berdua nak kahwin sangat, boleh. Papa boleh izinkan tetapi dengan satu syarat,” kata Tuan Jamil.

Auntie Mila dan Sherry spontan menoleh ke arah Tuan Jamil. “Apa dia?” Sherry terlebih dahulu bertanya daripada orang lain.

“Buat cara papa. Papa tak mahu bertolak ansur di dalam perkara ni. Bukan senang nak ambil anak papa macam tu saja. Kalau betul-betul nak, buat cara papa.”

“Buat cara papa tu apa?” Sherry bertanya lagi. Sesekali dia menjeling ke arah Azmi yang diam membisu di sebelah ayahnya.

“Macam ni…” Tuan Jamil menerangkan permintaannya satu-persatu.

Azmi mendengar dengan teliti.

*****
Keesokkan petang…

SEHARI sahaja dia pergi ke sana, dia sudah terasa rindu. Rindu pada laut, rindu pada camar dan rindu pada angin. Disebabkan rindu juga, dia tidak betah untuk bermalam di banglo besar milik Tuan Jamil. Hatinya ada di sini dan kerinduan itu bagaikan anak kecil yang menggamitnya pulang ke situ.

Ketika tapak kakinya menjejak tangga jeti, dia terus menanggalkan kasut. Dia biarkan tapak kakinya bercumbu dengan butiran pasir yang merinduinya. Dia biarkan sekujur tubuhnya dicumbui angin laut yang mengenalinya. Dia biarkan cahaya matahari membakar setiap inci raganya. Dia biarkan segalanya menyambut dia pulang.

“Mi?” tegur Abang Osman. “Kenapa balik cepat sangat?” Jala yang dipegang melorot jatuh ke atas pasir.

Azmi tersenyum. “Urusan dah selesai, bang. Baliklah.” Sebaik sahaja ternampak Abang Osman di perahu, dia terus ke situ. Wajah itu juga dirindui.

Mata Abang Osman terkelip-kelip. Sambil memaut bahu Azmi, mereka melangkah bersama. Meninggalkan gigi pantai, menuju ke pangkin di bawah pokok kelapa. “Dah selesai? Cepat betul?”

“Dah selesai, bang,” ulang Azmi sekali lagi. Beg sandang yang dibawa diletakkan sahaja di atas pasir.

Pandangan matanya kini beralih dari pasir yang kering ke dada laut yang menghijau. Memang semuanya sudah selesai, buat apa lagi dia berlama-lama di ibu kota? Sesaat pun nafasnya tidak tertahan menghidu udara di situ. Seolah-olah jiwanya sesak dengan segala apa yang dilihat. Adakalanya dia seperti seekor ikan yang tercampak ke atas pasir, tercungap-cungap mencari nyawa. Akhirnya dia menoleh ke arah Abang Osman dan berkata. “Mereka suruh abang datang ke sana merisik pada minggu depan. Bawa cincin tanya emas putih sebentuk.”

Perlahan-lahan, air muka Abang Osman berubah ceria. Dia tersengih lebar. “Baguslah macam tu. Minggu depan abang pergi. Rumah dia di mana?”

“Di Damansara tapi bang…” Azmi terdiam.Dia melepaskan nafas perlahan-lahan.

“Tapi apa, Mi?”

Azmi menggeleng pula. Tidak sanggup pula rasanya untuk bercerita kepada sesiapa. Biarlah dia yang menanggung segala-galanya. Jika berat yang diberi, beratlah bahunya. Jika ringan yang didatangkan, ringanlah jiwanya. “Abang ajaklah Pak Andak Kahar sekali.”

“Betul ni? Betul Azmi nak abang ajak pak andak sekali?”

“Nanti keluarga sebelah sana kecil hati pula,” balas Azmi.

Abang Osman terangguk-angguk. Dia menepuk-nepuk bahu Azmi. “Malam tadi Mi tidur di rumah Sherry ke?”

Azmi menggeleng. Matanya tunduk memandang buah kelapa yang gugur berselerakan di tepi kakinya. “Mi, tidur hotel.” Dengan itu, dia menarik nafas dan mengangkat punggung. “Mi nak solat Asar dulu, bang. Nanti malam kita cerita lagi.”

“Pergilah rehat. Kedai tu biar Kak Senah yang jaga.”

Azmi melangkah lesu. Setiap kali tapak kakinya memijak, pasir menguak bagaikan memberi laluan. Dia yakin, dengan izin Tuhan pasti ada jalan untuk dia memenuhi semua permintaan ayah Sherry.

“Mi, jangan rasa semua beban itu Mi pikul seorang. Sherry akan bantu apa yang terdaya.” Kata-kata Sherry terngiang-ngiang di telinganya. Kata-kata yang diucapkan di tepi pintu bas ekspress pagi tadi.

Dia tersenyum waktu itu. Kesanggupan Sherry bukanlah jawapan yang dia inginkan. Dia tahu dalam keadaan seperti itu, jika diminta jiwa dan raga pun, akan diserahkan gadis itu. “Sherry jangan bimbang. Jika ada jodoh, pasti dilapangkan segala jalan dan diringankan segala beban. Berdoalah selalu, saya akan usahakan segala yang termampu. Selebihnya kita tawakkal. Tuhanlah pemilik segala pertolongan.”

Dia tinggalkan Sherry yang bermata basah. Sesungguhnya pertemuan itu terlalu singkat tetapi baginya sudah cukup untuk dia memahami segalanya. Halangan yang dibentangkan di hadapannya sungguh besar. Dia hanya pasrah pada ketentuan Tuhan. Itu sahaja yang termampu olehnya…

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.