Sunday, March 4, 2012

Bab 7 : Aku Tak Pernah Jauh



Bab 7
KEESOKKAN harinya, Zaffri kembali ke tempat kerja seperti biasa. Mujurlah pagi itu, ibunya tidak  bertanya apa-apa pasal Nora. Namun rumah yang agak sepi pagi itu, menjentik rasa kurang selesa di hatinya. Dia sedar, ibunya mula merajuk. 

“Happy saja?” tegur Aril sewaktu terserempak dengan Zaffri di pintu lif. Wajah tenang Zaffri membuatkan Aril tersenyum lebar.

“Kenyang makan rambutan. Balik nanti ambil rambutan dalam kereta aku, aku ada bawa untuk kau,” balas Zaffri.

“Rambutan buat apa? Kat pasar malam pun berlambak. Bawalah orang tu ke sini, boleh juga kenal-kenal,” balas Aril dengan selamba. Dia sudah menekan butang lif naik ke tingkat tiga, di mana pejabat mereka berdua berada.

Zaffri tersengih kecil. Kepalanya digeleng beberapa kali. Kurang senang diusik soal itu di awal pagi. Fikirnya, soal itu hanya akan tertinggal di rumah sahaja, rupanya tidak. Mulalah dia terasa rimas. Lif itu pun terasa begitu lambat sampai ke tingkat tiga.

“Jadi bila nak jemput aku jadi pengapit?”

“Jangan tanyalah,” balas Zaffri sambil kakinya laju melangkah keluar daripada pintu lif. Tapi Aril tetap mengejarnya hingga ke dalam pejabatnya.

“Kenapa pula? Tak cantik ke perempuan tu?”

Zaffri meletakkan beg komputernya di atas meja. Hatinya mula panas.

“Pejabat kau kat sebelahlah,” jawabnya main-main. Belum sempat  Aril menjawab, pintu bilik Zaffri sudak diketuk oleh Suzana, setiausaha Datuk Ramli.

“Pukul 8.00 pagi ada mesyuarat tergempar,” kata Suzana. Matanya tepat merenung wajah Zaffri dan Aril yang jelas terkejut.

“Mesyuarat?” Zaffri pandang Aril. Aril pandang Zaffri.
*****
“JADI sekarang, saya mahu awak semua uruskan setiap pelan tindakan bersesuaian dengan budget yang ada. Pihak kewangan akan buatkan satu peruntukan baru untuk semua bahagian dan sesuaikan dengan tugas masing-masing.” Suara Datuk Ramli kedengaran jelas di dalam bilik mesyuarat yang dihadiri oleh dua puluh orang ketua semua bahagian. Dari bahagian produksi sehinggalah ke bahagian sumber manusia.

“Kita perlu berhentikan pekerja?” tanya Aril sambil memandang tepat ke wajah Datuk Ramli.

“Tunggu bahagian kewangan beri laporan dulu. Lepas tu sesuaikan dengan keadaan. Tapi saya rasa lebih baik kita bekukan soal pengambilan pekerja baru.”

“Memang pada hujung bulan ni, pekerja dari Nepal akan tamat kontrak mereka. Ramai juga, dalam seratus orang. Kalau kita tak gantikan, nanti bahagian produksi ada masalah,” bantah Aril.

Zaffri melihat sahaja. Kepalanya sedang bingung memikirkan masalah yang melanda kilang itu dengan tiba-tiba. Dia tahu Datuk Ramli bukanlah pemilik mutlak kilang itu, dia hanyalah pengarah yang dilantik oleh lembaga pengarah QRISS Holdings yang beribu pejabat di Kuala Lumpur. Tetapi setahu dia Datuk Ramli seorang yang amanah dalam tugasnya sebagai pengarah. Malah di dalam tangannya, kilang itu telah menjadi salah sebuah kilang makanan segera yang paling membanggakan di negeri Melaka. Jadi di mana silapnya?

“Zaffri! Kamu ada apa-apa nak tanya?”

“Bagaimana dengan segala perancangan promosi yang telah diaturkan sejak enam bulan lalu, datuk? Sesetengahnya melibatkan orang luar dan kerajaan negeri,” balas Zaffri.

“Mana yang boleh kamu usahakan, kamu teruskan. Mana yang boleh kamu batalkan, cubalah berbincanglah dengan mereka. Selama ini pun, kita tak pernah lokek membantu sesiapapun termasuklah kerajaan negeri.”

Zaffri terangguk-angguk. Sudah diduga namun semua itu bukanlah mudah. Apa alasan yang mahu diberikan? Peruntukan kilang dipotong? Tidak dapat tidak, dia yang akan menanggung kesan malu yang bukan sedikit.

“Kamu kaji semula semua perancangan yang sedang berjalan, mahupun yang belum. Kira berapa banyak budget yang kamu perlukan untuk enam bulan lagi. Tapi kamu kena ingat… cubalah cut cost sebanyak mungkin. We have to if we want to survive,” sambung Datuk Ramli lagi. Wajahnya berubah muram.

“Kenapa enam bulan Datuk?” tanya salah seorang pegawai yang hadir di dalam bilik mesyuarat itu.

Zaffri hanya menjeling. Enam bulan? Adakah enam bulan lagi kilang itu akan ditutup? Dia mengeluh perlahan.

“Rasanya tidak perlu saya menyembunyikan hal yang sebenarnya lagi. Kamu semua tentu faham bahawa kilang kita sedang berdepan dengan masalah kewangan yang serius. Tak perlu kamu tahu apa puncanya tetapi kita semua di dalam kapal yang sama. Di saat genting seperti ini, saya harapkan kamu bersama saya melaluinya dengan baik.” Datuk Ramli memandang wajah mereka satu demi satu.

“Apa akan jadi selepas enam bulan tu?” tanya yang lain pula.

“Ibu pejabat sedang cuba mendapatkan fund secukupnya untuk kita meneruskan operasi,” jawab Datuk Haji Ramli.

“Kalau tak dapat?” tanya seorang yang lain pula.

Datuk Ramli terdiam seketika sebelum menjawab. “Kilang akan ditutup ataupun berpindah tangan. Mungkin juga akan diambilalih oleh kerajaan negeri atau sesiapa juga.”

“Jadi kita semua ada lagi enam bulan?” tanya Aril pula. Wajahnya pucat.

Datuk Ramli hanya mengangguk lemah. “Seperti yang saya katakan tadi, saya harap kamu terus bersama saya di atas kapal ini. Jika tidak, kapal ini akan tenggelam dengan lebih cepat. Tetapi saya faham perasaan kamu, terpulanglah kepada kamu untuk mengambil apa-apa keputusan nanti.”

Bilik mesyuarat itu menjadi senyap sunyi.
*****
“MATI kita macam ni, Zaffri. Mati!” kata Aril sebaik  sahaja masuk semula ke dalam pejabat Zaffri. Pintu pejabat itu ditutup rapat-rapat di belakangnya. Dahinya berpeluh, matanya tidak fokus.

“Apa yang kau sebut ni? Siapa yang mati?” Zafri menjawab acuh tidak acuh.

Dia duduk di hadapan komputer lalu menghidupkannya. Banyak perkara yang memenuhi kepalanya saat itu. Sebagai ketua yang mengetuai bahagian pemasaran, dia sedar banyak kerja yang perlu dilakukan. Dia tidak ada masa untuk berlengah. Bahagian pemasaran selalu dilihat sebagai bahagian yang paling banyak membazirkan duit, dia tahu bahagian itu dulu yang akan menjadi mangsa budget.

“Siapa yang mati?!” Aril bertanya balik. Sambil bercekak pinggang dia mundar mandir di hadapan Zaffri yang leka membaca data. “Kitalah yang mati.”

Zaffri ketawa kecil. Gelagat Aril yang kelam-kabut itu menggelikan hatinya. Tanpa memandang ke arah Aril dia berkata. “Kenapa pula sampai nak mati ni?”

Langkah Aril terhenti. Dia menghempaskan punggungnya ke atas kerusi. Wajahnya cukup berserabut sekali. Dia melontarkan pandangan yang tajam ke arah Zaffri. “Macam mana kau boleh tenang? Kau dah dapat kerja baru ke?”

“Aku belum dapat. Percayalah,” balas Zaffri.

Dia faham, Aril sudah salah sangka. Dia tenang bukan kerana dia sudah dapat tempat berpaut yang baru tetapi dia cuba bertenang kerana memikirkan nasib orang bawahannya yang mungkin lebih awal terkesan oleh masalah itu berbanding dia. Bagaimana dengan kontrak yang telah dipersetujui, bagaimana dengan penajaan di sekolah-sekolah? Akhirnya dia menjawab.

“Aku belum buat apa-apa pun lagi.”

“Aku dah tanya kawan-kawan aku tapi belum dapat feedback lagi. Kalau kau tahu mana-mana tempat nak pakai pegawai macam aku, kau beritahu aku ya?” balas Aril dengan bersungguh-sungguh.

“Kau kelam-kabut sangat ni, kenapa Aril? Kau ada masalah ke?” tanya Zaffri. Perlahan-lahan dia mula berasa simpati terhadap Aril.

Aril mengeluh berat. “Orang rumah aku memanglah bekerja tapi pinjaman rumah dengan kereta aku tu, aku tanggung sorang. Orang rumah aku pula bayar keretanya sendiri, tanggung adik-beradik dia lagi. Kalau kilang ni tutup dan aku tak dapat cari kerja lain, mati aku. Zaffri. Macam mana aku nak bayar semua tu?”

“Aku tahu. Tapi janganlah sebut soal mati macam tu. Kau ada anak, lagilah kau harus kuat. Kalau kau lemah atau kau mati, macam mana nasib dia? Berusaha dan berdoalah, moga-moga esok lusa kau dapat kerja baru,” pujuk Zaffri. Terasa sedikit jengkel dengan sikap Aril yang mudah berputus asa.

“Kau? Kau tak nak cari kerja lain? Enam bulan tu bukannya lama. Dalam soal ni, kau kena pentingkan diri kau dulu. Datuk tu dah sedia kaya, dia tak susah kalau kilang ni tutup, yang kita ni dia tak peduli. ” Aril pandang muka Zaffri.

“Biarlah dulu.” Zaffri sudah malas melayan karenah Aril. Tidak pasal-pasal, dia sudah mula berasa cemas sekali.

“Biar? Mana boleh biar? Kau pun dah beli rumah, kan? Kereta kau mungkinlah dah habis bayar,” balas Aril.

“Nantilah aku fikirkan soal tu. Ni soal kerja ni bertimbun-timbun nak diuruskan dulu. Baik kau balik pejabat kau dan uruskan pasal pekerja-pekerja kilang tu. Bila-bila masa sahaja akautan panggil kita.”

Aril ketawa.

“Kenapa kau ketawa?”

“Kapal dah nak tenggelam, Zaffri. Buat apa kita susah payah lagi cuci dek, cuci sauh semua? Buat apa-apa pun, tenggelam tetap tenggelam,” jawab Aril. Masih lagi ketawa seorang diri.

“Lantak kaulah, Aril. Aku nak siapkan kerja aku dulu. Nak tenggelam ke, nak terbalik ke… kerja tetap kerja. Sekurang-kurangnya aku tak tenggelam dengan rasa bersalah.”

“Okey.” Aril angkat tangan tanda mengalah. Dia bangkit meninggalkan kerusi lalu menuju ke pintu.  “Tapi kalau ada mana-mana lubang, beritahu aku tau. Jangan lupa.”

Zaffri angguk sahaja. Matanya tetap lurus memandang skrin. Dia termenung melihat segala perancangan yang telah diaturnya untuk tempoh setahun. Dia tidak menyangka kilang tempatnya berkerja sejak tujuh tahun lalu, kini seumpama kapal yang bergerak tanpa enjin. Jauh di sudut hatinya timbul rasa sedih. Tidak usahkan mahu meminang Merlina, mahu meminang Nora pun dia rasa tidak layak. Hatinya mula sebak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.