Satu KUIZ soalan terkumpul akan diadakan (bermula pada 16/4-20/4) berdasarkan bab-bab novel DATANG PADA WAKTUNYA yang tersiar di blog ini. Ia terbuka kepada semua ahli MKFC sahaja dan menawarkan 5 buah novel ini secara PERCUMA.
Untuk menjadi ahli MKFC tekan SINI
Jangan lepaskan peluang ini! Hanya untuk yang tinggal di Malaysia sahaja ya!
2
Kuala Lumpur, Jun 2010
KERJA! Kerja! Kerja! Edri menolak beberapa buah
fail ke tepi meja dengan sikunya. Sambil mengeluh kasar dia bersandar semula ke
kerusi, bersilang tangan di kepala.
Dia memejamkan matanya yang terasa
pedih. Kepalanya pening, hatinya pedih. Siap satu, tambah satu. Kadang-kadang
belum siap satu, sudah tambah dua tiga lagi fail dan projek. Huh! Mengalahkan
kerja kuli ladang tebu! Dia merungut lagi di dalam hati. Walaupun
jari-jemarinya terasa sejuk tapi hatinya sentiasa panas. Panas! Tiba-tiba,
pintu pejabat dikuak lebar. Rakan sekerjanya, Azim, masuk sambil
tersengih-sengih.
“Relaks betul? Dah habis kerja?”
Pintu ditutup semula. Pejabat yang semak
dengan pelbagai kertas itu menjadi sunyi dan hambar.
“Tunggu habis kerja, sampai kepala aku
botak pun tak dapat,” balas Edri.
Azim ketawa kecil. “Kau dah siap semak
pelan yang aku hantar tu?”
Tanpa mengangkat muka Edri bersuara.
“Aku sedang semaklah ni. Buka-buka saja terus nampak salah. Apa yang kau buat, aku
pun tak tahu. Dulu kau habis belajar ke tak?”
Sindiran Edri membuatkan wajah Azim
bertukar merah padam. “Salah?”
Dia menggaru kepala. Dengan perlahan dia
menarik kertas pelan yang sedang terbentang lebar di atas meja kerja Edri.
“Kau dah pergi periksa mata? Atau cermin
mata kau dah habis power? Bukankah
kawasan di sebelah Tenggara ni berbukit?” Lurus telunjuk Edri menunjuk ke
bahagian Tenggara pelan perancangan bandar baru itu. Matanya menatap tajam ke
wajah Azim yang terkulat-kulat bagaikan budak kecil yang tahu dirinya bersalah.
“Bukit?” Azim tercengang. Dia
membetulkan kedudukan cermin matanya yang terlondeh ke atas batang hidung.
“Ya. Kau tak pergi periksa, kan?”
“Tak cukup kakilah. Pembantu aku yang
pergi.” Azim terkulat-kulat cuba membela diri.
“Kau nak cari masalah? Kau harapkan
pembantu kau dan juruukur pergi periksa kemudian rujuk pada sekeping peta?
Macam-macam boleh jadi di pertengahan jalan. Kawasan ini bertindih dengan sekolah
lama di atas bukit itu. Baik kau pergi periksa betul-betul. Kalau runtuh
sekolah tu nanti, macam mana kau nak ganti nyawa anak orang?”
“Mana kau tahu ni, Ed?”
“Aku ada kawan yang buka business di situ. Aku telefon dan dia
sahkan di situ ada sebuah sekolah lama.”
“Macam mana penanda penting macam tu
boleh tak wujud pada peta aku?”
Edri cuma menggeleng. “Kau mesti faham,
banyak benda yang boleh hilang sebelum sampai ke tangan kita. Sebab tu kau
mesti lebih peka. Jangan cepat percaya pada semua laporan dan data-data yang
sampai ke meja kau.”
Azim terdiam. Matanya terpaku lagi
kepada pelan tersebut. Daripada raut mukanya, dia seolah-olah mengakui
kesilapan besar yang telah dilakukan. Tanpa bersuara dia bangkit semula. Riak
bengang terpalit jelas pada wajahnya.
Edri hanya mengekori langkah Azim
meninggalkan bilik itu dengan ekor mata. Percaya lagi kepada orang, sendiri
susah. Hatinya mengomel. Matanya kembali khusyuk membaca laporan kajian
perancangan bandar yang sedang diperiksa. Dengan tiba-tiba bunyi penanda SMS
masuk menerjah gegendang telinganya. Dia mengeluh sebaik terbaca SMS daripada
Adam, rakan serumahnya.
Balik kerja nanti jemput
aku di ofis. Kereta aku rosak. Masuk bengkel.
“Adam! Kau balik naik teksilah.” Edri
menyergah Adam sebaik sahaja panggilannya bersambung. Jarinya masih lagi
memicit-micit tengkuknya yang terasa berat. Bagaikan sebaldi air tergantung di
situ.
“Lecehlah. Kau datanglah jemput aku.”
“Aku lagi leceh nak ke Gombak sana
jemput kau.”
“Alah, Ed, bukan selalu. Sini kalau petang-petang
susah dapat teksi. Selalu hujan pula tu.”
“Itu yang aku tak suka tu, tersangkut
kereta aku dalam banjir tu macam mana?”
“Apalah kau ni, Ed. Aku baru cakap hujan
kau dah cakap banjir. Aku tak kira. Petang nanti kau jemput juga,” kata Adam
sebelum mematikan panggilan.
Edri terdiam. Ingat aku kuli dia
agaknya. Dia mula merungut-rungut. Hatinya makin sakit. Sudahlah kerja macam
air banjir, melimpah-limpah tidak surut-surut, ini lagi tambah satu lagi beban.
Hendak dibuat tidak tahu, kesian pula kalau Adam ternanti-nanti hingga ke
malam.
Matanya merenung meja kerjanya. Timbul
perasaan mual yang bergelora. Di atas meja itu pelan-pelan baru
berlambak-lambak. Kertas kajian masih banyak belum disemak. Dia segera tahu
tekanan darahnya sudah mula naik.
Rasa menyesal mula menerjah fikirannya.
Menyesal menerima tugas di situ sebagai Pegawai Perancang Bandar, tujuh bulan
yang lalu. Walau gajinya lebih besar, kerjanya tiga kali ganda lebih banyak.
Bila difikir-fikir balik, seperti tidak berbaloi juga walau syarikat itu sungguh
gah namanya sebagai syarikat perunding yang terkenal.
Ya, siapa yang tidak kenal dengan Syarikat
Perunding Aorora dalam sektor pembangunan dan hartanah. Tiba-tiba deringan
telefon menyentak tumpuan fikirannya.
“Edri, petang ni awak jangan tinggalkan
pejabat. Saya ada hadiah untuk awak.”
Dahi Edri berkerut. Hadiah? Jari-jemarinya
sudah beralih dari tengkuk ke dahi pula. Apa yang nyata, tekanan darahnya
semakin naik.
EDRI menarik laci meja di sebelah kanannya. Dia
mengeluarkan satu papan ubat darah tinggi berwarna merah hati. Ditelannya
sebiji bersama air mineral yang sememangnya tersedia di tepi mejanya. Tidak
dapat tidak, fikirannya sedikit terganggu.
Agak-agaknya apa yang mahu diberikan oleh
Encik Amin kepada dia? Edri mula mencongak-congak. Hadiah apa dan kerana apa?
Hendak dikatakan hadiah hari jadi, rasa-rasanya Encik Amin tersilap tarikh.
Hendak dikatakan hadiah lain, tidak ada pula yang istimewanya. Suara Encik Amin
pun tidaklah terlalu gembira atau mengucapkan apa-apa. Dia mengeluh lagi.
Permainan seperti itulah yang sangat dibencinya selama ini. Meneka dan
menunggu.
Jangan-jangan…Encik Amin hendak
berkongsi duit kopi? Isy! Hatinya terasa tidak sedap. Dia memang pantang kalau
dihulurkan duit haram macam itu. Bukannya dia tidak pernah ditawarkan tetapi
dia belum gelap mata. Pesanan daripada ibunya dulu sentiasa dijadikan azimat. Jangan
makan duit haram! Jangan beri mak makan duit haram! Rasa hendak mengalir air
matanya apabila dikenang nasihat itu.
Kalau itulah hadiah yang dimaksudkan
Encik Amin, dia lebih rela untuk tidak masuk campur. Manusia tidak sama. Warna
rambut pun sudah tidak sama warna, apatah hati di dalam. Kalau Encik Amin
menganggap dia sama dengan pekerja yang makan suap, Encik Amin memang tersilap.
Kerana dia lelaki yang ada prinsip dan Encik Amin mesti menghormati prinsip
dia.
Setelah penat mencongak-congak daripada
segala sudut, dia cuba menumpukan fikiran kepada kerja-kerjanya semula. Sebuah
perancangan bandar baru di sekitar Shah Alam. Sudah hampir tiga bulan dia
mengerjakan kajian perancangan itu. Sudah jenuh dia pergi balik melawat kawasan
dan berjumpa pihak-pihak lain. Tidak banyak lagi kerja yang harus dibuat. Cuma
untuk benar-benar melepaskan kajian projek itu, dia belum bersedia kerana dia
seorang yang teliti. Masih ada beberapa aspek kecil yang masih belum memuaskan
hatinya.
“Kenapa muka kau macam orang kalah
judi?” Azim melangkah masuk semula. Kali ini di tangannya tergenggam beberapa
helai peta dan kertas pelan.
“Macam mana aku boleh kalah, kalau aku
tak main?”
Azim tergelak. Dia segera melambakkan
kertas-kertas yang dibawa ke atas meja kerja milik Edri, di sebelah kanan bilik
itu. “Aku kata macam, bukan kata kau main.”
“Kau tak nampak ke yang bilik aku ni dah
macam bilik pengumpulan kertas terpakai? Yang kau longgok lagi dengan
kertas-kertas tu kenapa? Nak buat tempat ayam bertelur ke?” Edri merenung tajam
ke arah Azim.
“Dua tiga helai sajalah. Encik Amin
suruh aku siapkan juga perkara ini menjelang hari esok. Silap-silap mahu aku
terus tidur di sini malam ini. Kau tolonglah aku sikit.”
“Kalau kau nak tidur sini, itu kau punya
pasal. Aku nak balik macam biasa. Aku dah tak larat dah ni. Lagipun aku kena
ambil Adam petang nanti.”
“Adam? Mana pergi kereta dia? Dah kena
tarik ke?”
Edri ketawa kecil. “Rosak. Masuk
bengkel.”
Azim hanya mengangguk seraya melangkah
untuk mengambil pelan bandar yang sedang disiapkan.
“Berapa lama kau dah kerja di sini?” tanya
Edri sebaik Azim menarik kerusi di hadapannya.
“Lima tahun yang gilang-gemilang.”
Edri menggeleng perlahan. “Aku tanya
betul-betul ni, bukan bergurau.”
Kali ini giliran Azim pula ketawa. “Kau
ingat aku tipu ke?”
“Pernah tak Encik Amin beri kau hadiah?”
“Hadiah? Orang ketua kedekut tu? Setakat
pemegang kunci bila dia ke luar negara tu pernahlah sekali dua. Kenapa?”
Edri hanya termenung jauh. Mungkin Encik
Amin hanya bergurau. Entah-entah dia nak beri satu projek lagi untuk diuruskan.
Otaknya sudah mula berasap bagaikan asap keretapi. Akhirnya dia menggeleng.
“Kau macam ada masalah saja. Encik Amin
ada kata apa-apa?”
“Dia ada telefon tadi kata nak beri aku
hadiah petang nanti. Entah apalah yang dia nak kenakan aku tu.”
Azim terdiam seketika. “Hadiah? Kau tak
tanya untuk apa atau benda apa?” Azim menjeling curi-curi.
Edri menggeleng. Matanya terkebil-kebil
memandang Azim yang tiba-tiba berubah laku. Azim cemburukah?
Azim menelan liur. “Aku…nak keluar
sekejap. Aku…nak jumpa pelukis pelan. Nak betulkan perkara-perkara ni semula,” kata
Azim lagi seraya bangkit, menolak kerusi. Dia kelam-kabut membuka pintu.
Edri tersentak. Belum sempat dia membalas
kata-kata Azim, rakan sekerjanya itu sudah pun hilang di balik pintu. Tinggal
dia terpinga-pinga. Nampaknya tentu besar sungguh hadiah yang akan diberikan
Encik Amin petang nanti. Belum apa-apa pun sudah ada yang cabut lari. Dia
menggeleng. Sedikit kesal jika hal itu boleh menimbulkan rasa cemburu antara
dia dan pekerja lain di situ. Tapi bukan dia yang meminta, Encik Amin yang
beri. Kenapa dia yang harus dipersalahkan?
Setelah berfikir masak-masak, dia sudah
buat keputusan. Apa pun yang akan diberi oleh Encik Amin nanti, dia akan
selesaikan dengan cara baik. Kalau duit kopi, dia akan tolak walaupun dia suka
minum kopi. Duitnya masih cukup. Kalau projek baru, dia juga akan tolak. Kerana
dia bukan mesin, dia manusia yang ada had. Apa yang sudah sedia bertimbun di
atas mejanya itu sudah cukup banyak. Tidak perlu menjadi tamak sehingga tidak
terlayan.
Dia berasa lega. Dia cuba menumpukan
semula perhatiannya kepada kerja-kerjanya sementara menanti tibanya hadiah yang
dimaksudkan Encik Amin tadi. Agak-agaknya apa ya? Dia tetap berdebar dan
tertanya-tanya.
“ENCIK EDRI pernah melihat hantu?”
“Hantu?” Edri menggeleng. Namun anak
matanya masih merenung wajah ketuanya dalam-dalam. Dengan perlahan, dia
mengukir senyuman bersahaja. Nak kenakan akulah ni, bisik hatinya pula. Otaknya
ligat bersedia, cuba berfikiran positif. Bimbang terkena.
“Saya ada hadiah untuk awak,” kata
lelaki yang kepalanya hampir botak, sindrom Propecia. Gejala kebotakan yang
hampir melibatkan 95 persen kaum lelaki apabila mendekati umur 50-an.
Edri tetap tenang. Sudah dua kali dia mendengar
ayat yang sama. Dia cuba untuk tidak terperanjat atau terlalu teruja dengan
kata-kata Encik Amin itu. Namun hatinya tetap tertanya-tanya. Selain sebuah
fail, tidak pula kelihatan Encik Amin masuk membawa apa-apa yang lain. Pena
mata bulatnya diletak ke tepi. Kini dia memberi segenap perhatian.
“Hadiah? Bukan hantu, kan?”
Encik Amin tidak menjawab apa-apa. Namun
sebuah fail berwarna biru yang berlilit kemas diletakkan di atas meja kerja
Edri. Fail yang kelihatan sarat dan berat dengan dokumen. Berikat kemas dengan
seutas tali yang berwarna kekuningan. Sejurus itu, Encik Amin menarik sebuah
kerusi di hadapan meja Edri lalu duduk tanpa membuang masa.
Edri masih terpinga-pinga. Sebagai orang
yang agak baru di situ, dia kebingungan dengan tingkah laku Encik Amin.
“Fail? Fail apa ni, encik? Projek baru?”
tanyanya sambil cuba menyentuh fail itu. Namun sebelum sempat tapak tangannya
mendarat, fail itu sudah dipegang kemas oleh Encik Amin semula. Edri tambah
terkulat-kulat.
“Sebelum awak buka fail ini, saya mahu
awak jawab soalan saya.” Encik Amin menatap tajam ke wajah Edri bagaikan
renungan sang helang terhadap mangsanya.
“Apa jawapan yang Encik Amin maksudkan?”
“Encik Edri pernah melihat hantu?” tanya
Encik Amin sekali lagi.
Edri tergamam. Sudah dua kali juga soalan
itu ditanyakan kepada dia. Dia semakin keliru.
“Apa kena-mengena kerja saya dengan
hantu, Encik Amin? Saya bukan Ghostbusters.” Dalam ketawa yang dibuat-buat, dia
cuba berseloroh.
“Jawab soalan saya dulu.” Kali ini suara
Encik Amin semakin garau dan dalam walaupun tidak sampai membentak.
Senyuman Edri memudar. Dengan perlahan-lahan
dia menggeleng. Kepalanya mula pening. Hendak diteruskan kerja atau melayan
celoteh Encik Amin yang sibuk dengan hantu? Dia semakin tertekan kerana masanya
mula terasa dibuang begitu sahaja.
“Tak pernah? Tapi awak percaya tak yang
hantu wujud?”
Lagi sekali Edri terkelip-kelip. Dia
mengeluh perlahan. Tubuhnya disandarkan ke kerusi. Nampaknya cerita pasal hantu
akan berpanjangan petang itu. “Sebagai seorang Muslim, saya percaya terdapatnya
mahkluk lain selain manusia, Encik Amin. Walaupun saya bukanlah orang yang
berpeluang atau bernasib baik untuk melihat atau bertemu dengan mereka.”
Terasa seram sejuk sebaik sahaja dia menuturkan
kata-kata itu. Adakah dia angkuh atau besar diri? Isy! Dia tidak bermaksud pun
begitu. Tetapi kalau terjumpa, dia tidak akan lari.
“Awak takut tak kepada mereka?”
“Kita orang Islam, Encik Amin. Mana
boleh kita takutkan mereka? Kita hanya takut kepada Tuhan sahaja.”
Encik Amin mengangguk. “Kalau macam itu,
tentu awak tak tolak kalau saya arahkan awak menguruskan satu tugas khas ini,
kan?” katanya sambil menepuk-nepuk fail biru itu.
“Tugas khas?” Edri mula dapat menangkap
maksud Encik Amin sedikit sebanyak. Itulah hadiah yang disebut-sebut dari pagi
tadi. Hadiah? Itu bukan hadiah, itu beban namanya.
“Tapi, Encik Amin, saya dah tak menang
tangan dengan projek-projek lain tu. Macam mana nak tambah satu lagi projek
besar macam ni?” Kali ini dia memberanikan diri mempertahankan dirinya. Dia
hanyalah pekerja bukannya kuli atau merelakan dirinya dibuli.
“Kan saya dah kata, ini tugas khas? Saya
tak serahkan kepada Azim atau orang lain. Awak faham tak?” Kini Encik Amin
merenung Edri dengan dahi yang berkerut. Pada wajahnya terbayang kehampaan.
Mungkin kecewa dengan jawapan Edri tadi.
“Projek yang lain tu, macam mana?” Edri
menggaru kepalanya yang terasa bagaikan mahu meletup. Sememangnya sudah
mencapai tahap maksima kapasiti keupayaannya waktu itu. Kalau ditambah lagi,
dia mungkin pengsan terus.
“Ini tugas khas. Keutamaan untuk kes ini
adalah sepuluh kali ganda daripada projek mega tu.” Suara Encik Amin begitu
tegas. Rupanya seperti mahu menelan Edri hidup-hidup di situ.
“Ha?” Edri ternganga. Sukar untuk dia mempercayainya
apa yang dia dengar. Kenapa sampai begitu sekali? Apa yang istimewa sangat
dengan kes itu? Hatinya jadi tertarik.
“Awak bukan sahaja dapat gaji, malah
syarikat sanggup bayar awak bonus bila kes ini dapat diselesaikan,” pujuk Encik
Amin lagi. “Lagipun bila kes ini selesai, saya mahu cadangkan nama awak untuk
menggantikan tempat saya. Saya mahu bersara.”
Edri tambah terlopong. Kulit mukanya
terasa membahang di bawah alat hawa dingin. Benarkah apa yang didengarnya?
“Kenapa awak diam? Awak tak percaya?”
“Bukan tak percaya, Encik Amin. Cuma
terkejut. Tinggi betul kepercayaan Encik Amin kepada saya.”
Wajah Encik Amin tetap bersahaja. “Awak
mahu terima atau tidak?”
“Saya melihatnya sebagai cabaran. Saya
akan terima jika ada kelonggaran tugas-tugas yang lain,” jawabnya dengan yakin
walaupun masih berdolak-dalik.
“Bagus. Semangat itulah yang saya mahu. Jadi
saya serahkan tugas dan fail ini kepada awak. Minggu hadapan awak pergi ke sana
dan cari jawapan yang saya minta.”
“Pergi ke mana? Jawapan? Saya tak
faham.”
“Ke Bandar Durian Lima. Sebuah bandar
kecil, di tepi Sungai Pahang. Projek pembinaan jambatan ini sepatutnya sudah 41
tahun lalu dibina di bandar itu, tetapi sampai sekarang projek itu
terbengkalai. Padahal peruntukan sudah diluluskan. Syarikat perunding sudah
bertukar-tukar, namun projek itu tetap tidak boleh dilaksanakan sampai
sekarang. 15 tahun yang lalu kerajaan menyerahkan projek ini kepada syarikat
kita namun tidak ada pegawai yang mampu menguruskannya sampai sekarang.”
“41 tahun yang lalu? Sekitar tahun 1969?
Mengapa pula tertangguh begitu lama?” Edri tambah tertarik. Bahkan setiap fakta
yang disampaikan selepas ini adalah sangat penting kepadanya.
Encik Amin menggeleng. “Entahlah, setiap
kali pegawai kita dihantar ke sana, macam-macam hal yang berlaku. Akhirnya fail
ini terperuk sahaja tanpa diusik. Ada orang kata, bandar itu berhantu. Tapi
saya percaya itu semua cerita yang dibuat-buat untuk menakut-nakutkan orang
luar.”
“Bandar berhantu? Tidak pernah pula saya
dengar ada bandar macam tu di negara kita, Encik Amin. Kalau di negara lain
macam Taiwan tu, saya pernahlah baca tentang bandar San Zhi. Sebuah bandar
futuristik yang telah diabaikan kerana berlaku banyak kematian semasa
pembinaannya.”
Encik Amin hanya mengangkat bahu. “Kalau
awak berjaya menyiapkannya, saya pasti pihak kerajaan sendiri berterima kasih
kepada awak. Awak pergilah ke sana secepat mungkin.”
“Tapi bagaimana dengan projek bandar
baru di Shah Alam Goldenplex yang sedang saya usahakan ini?”
“Saya dah kata. Kes ini adalah keutamaan
kita. Kes itu tangguhkan dulu. Lagipun awak bukannya pergi lama sangat.
Seminggu sahaja. Jika awak berjaya selesaikan kes ini nanti, kes-kes lain tu
akan nampak remeh sahaja.”
Edri mengangguk. Dia terasa teruja
dengan tiba-tiba. Kalau Encik Amin sendiri sudah memberi pelepasan tugas, apa
yang hendak dirisaukan lagi? Dia tidak ada hal. Apa yang susah sangat sampai 41
tahun tergendala? Dengan perlahan-lahan dia menarik fail plastik warna biru itu.
Hatinya semakin teruja untuk tahu. Apa yang susah sangat dengan projek jambatan
antara dua kampung itu? Dia tidak sabar-sabar untuk meneliti isi kandungan di
dalamnya.
“Encik Edri, selamat berjaya,” ucap
Encik Amin sebelum bangkit berdiri.
“Encik Amin! Bagaimana kalau…” Edri
terkebil-kebil.
Encik Amin seakan-akan mengerti. “Awak
hantar fail itu balik ke meja saya dengan surat peletakan jawatan sekali ya.”
Pintu bilik ditutup. Encik Amin hilang
entah ke mana.
Wah! Sampai begitu sekali? Ada emas ke
di kampung itu? Hati Edri tertanya-tanya. Untuk seketika, Edri merenung daun
pintu pejabatnya macam orang bodoh. Apa yang aku dah buat? Fikirannya kembali
waras. Fail biru di atas meja, ditarik rapat ke hadapannya. Cuba dibuka namun
tali pengikatnya begitu ketat. Ah! Nantilah, di rumah aku baca. Fail dibiarkan
sahaja. Fikirannya berbolak-balik. Kenapa aku yang dipilih? Aku bukannya lama
sangat kerja di sini. Kenapa tak pilih Azim? Setiap pertanyaan yang terlintas,
tidak ada jawapannya.
Kalau gagal? Kalau ditolak? Baru dia tersedar,
jawatannya juga sedang menjadi taruhan. Kalau begitu besar taruhannya untuk kes
itu, pasti ada sesuatu. Dia berdebar. Beranikah dia menyahut cabaran yang besar
ini? Dia berasa terperangkap. Terasa getaran halus sehingga ke hujung kuku.
Ah! Peluang bukan datang selalu. Pergi
sana, selesaikan dan balik. Hatinya pula memujuk. Duit dapat, pangkat dapat. Apa
yang dimahukan lagi? Dia termenung jauh. Kalau semudah itu, sudah lama kes itu
diselesaikan. Tidak perlu menunggu sehingga dia muncul di pejabat itu, bantah
akalnya pula. Dia mengeluh panjang. Akhirnya dia bangkit meninggalkan pejabat
itu bersama fail biru. Terasa-rasa kepulangannya kali ini bersama beban yang
teramat berat. Sedikit sebanyak hatinya berasa kesal kerana terperangkap dalam
situasi itu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.