Tuesday, June 12, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 12


Hampir lapan tahun yang lalu…
Di Kuala Lumpur.

Suasana rumah dua tingkat berbumbung biru itu muram dan pilu. Di mana-mana kelihatan wajah-wajah murung dan sedih. Bacaan al-Quran pula berlagu tanpa henti silih berganti.
        Hanisa yang baru tiba ke situ, disambut oleh Mak Som, pembantu rumah itu dengan pelukan erat. Di bahu Mak Som dia menangis teresak-esak melepaskan kesedihan hatinya yang bertandang sejak dia menerima berita itu beberapa jam yang lalu sewaktu mengikuti lawatan di sebuah syarikat farmaseutikal.
    “Sabarlah, dik,” pujuk Ikram sebaik sahaja menyedari kepulangan Hanisa. “Bawa mengucap.”
    Dia memandang Ikram yang juga berwajah sugul. Walaupun banyak perkara yang ingin diluahkan tetapi semuanya hanya tersekat di dadanya. Sesungguhnya pemergian ayahnya itu amat memilukan hatinya.
Selepas waktu Asar, jenazah ayah mereka selamat dikebumikan di tanah perkuburan. Hanya Ikram dan sanak saudara lelaki yang mengiringi jenazah. Hanisa, Mak Som serta saudara-mara sebelah perempuan tinggal di rumah menunggu.
Hanisa masih termangu di tepi pintu. Sejak jenazah ayahnya dibawa keluar, dia merasakan kekosongan yang teramat sangat. Sebuah perasaan yang aneh. Seolah-olah segala dinding dan lantai menjadi lutsinar. Tiada tempat berpaut dan tiada tempat berpaling. Dia tenggelam di dalam lubuk kesedihan yang dalam. Dia terkapai-kapai dan membiarkan saja dirinya hanyut dibawa perasaan sedih. Fikirannya menjadi kosong, sekosong jiwanya yang kini keseorangan.
Seminggu Hanisa bercuti dari kuliah. Dia hanya termenung di bilik tidurnya. Dia masih bingung. Masih mencari kekuatan untuk meneruskan langkah. Kalau dahulu ayahnya menjadi penguat semangat kini dirasakan kakinya telah lumpuh. Dia tidak berdaya untuk bangun dan melangkah. Sehinggalah pada suatu hari, dia memaksa dirinya untuk meneruskan hidup dengan tabah. Sayangnya hari itu juga menjadi noktah kepada secebis harapan yang masih ada.
“Hani, abang nak cakap sikit.” Ikram menarik sebuah kerusi di sebelah kerusi Hanisa yang sedang menyuap nasi di meja makan.
Hanisa terkebil-kebil. Nada suara Ikram terlalu pelik di pendengarannya seperti ada sesuatu yang terlalu berat ingin diluahkan. “Cakaplah.”
Ikram merenung tajam ke wajahnya.
Hanisa semakin gelisah direnung sebegitu. Dadanya berdebar-debar. “Cepatlah cakap, lepas makan ni Hani nak balik kampus.”
“Hani dah habis cuti? Tak nak bercuti satu semester?” tanya Ikram pula yang seakan terperanjat dengan keputusan Hanisa itu.
“Cukuplah. Kalau bercuti seumur hidup pun, bukannya ayah akan hidup semula,” jawab Hanisa perlahan. Air matanya mula menari-nari di kelopak mata.
“Baiklah, nanti abang hantar Hani. Tunggu abang balik kerja.”
“Tak apalah, bang. Tadi Kak Farah kata nak pergi shopping barang baby. Nanti dia tertunggu-tunggu pula. Hani boleh naik teksi saja.”
Ikram termenung jauh.
“Cakaplah. Tadi kata ada hal nak cakap,” gesa Hanisa pula.
Ikram meletakkan telefon bimbit yang dipegangnya ke atas meja makan. Dengan perlahan dia mengeluarkan sekeping sampul surat berwarna putih yang lusuh dari poket kemejanya. Diselitkan di bawah jari kiri Hanisa.
Apa pula ni? Hanisa mengangkat kening tanda tidak faham. Jari kirinya terkial-kial cuba membuka sampul surat itu. Sekeping gambar kecil berwarna hitam putih dikeluarkan dengan perlahan. Mulutnya berhenti mengunyah. “Gambar apa ni, bang?”
“Bukan gambar apa tapi gambar siapa,” jawab Ikram dengan perlahan namun jelas. Matanya lurus memandang meja.

Hanisa terlopong. Matanya terkelip-kelip memerhati wajah Ikram yang leka merenung meja. “Gambar siapa?”
Ikram mengangkat muka lalu menatap wajah Hanisa dalam-dalam. Dengan terketar-ketar, bibirnya bersuara. “Itulah gambar mak dan ayah Hanisa yang sebenar.”
“Apa abang merepek ni?” Dahi Hanisa berkerut. Tangannya tidak jadi menyuap lagi.
Ikram terus-terusan merenung wajah Hanisa seperti tidak tahu bagaimana lagi dia harus menerangkan perkara seberat itu. “Abang sendiri susah nak percaya tapi mahu atau tidak, amanah ayah mesti abang tunaikan juga.”
Hanisa memalingkan mukanya. Tiba-tiba ada rasa benci melihat wajah Ikram. Pandangan matanya beralih semula kepada gambar hitam putih itu. Seorang lelaki yang kurus tidak berbaju sedang memangku seorang bayi. Seorang wanita berbaju lusuh pula duduk di sebelahnya. Wajah-wajah mereka begitu sayu. Hati Hanisa tersentuh tetapi apa kaitannya pula dengan dirinya?
    “Merekalah mak dan ayah Hani yang sebenar.” Ikram menarik nafas.
“Abang! Jangan merepek macam tu. Ayah baru saja dikebumikan, abang sudah mula membuat cerita yang bukan-bukan,” bantah Hanisa. Nasinya sudah kering di jari.
“Gambar ini arwah ayah yang serahkan kepada abang sebelum ayah meninggal. Abang pun tak pernah tahu sebelum ini. Ayah suruh abang serahkan kepada Hani. Hani fikir abang sesaja buat cerita? Untuk apa?”
Hanisa terlopong lagi sekali. Betapa dia inginkan kata-kata itu hanyalah gurauan. Lalu dia meluru masuk ke dapur mencari Mak Som.
“Mak Som, apa yang berlaku ni?” Tangan mak Som digoncang-goncang.
Mak Som tersentak apabila tangannya digoncang oleh Hanisa yang bercucuran air mata. Mak Som tercengang-cengang apabila tubuhnya dipeluk pula. “Apa dia, Hani?”
Hanisa meleraikan pelukannya. Dengan mata yang basah dia menatap wajah Mak Som sedalam-dalamnya. Mak Som adalah seorang insan yang tidak pernah berbohong kepada dirinya selama ini. “Betulkah ayah bukan ayah kandung Hani?”
Air muka Mak Som berubah pucat. Serta-merta lidahnya menjadi kelu. Dia menatap wajah Hani sepuas-puasnya, mata Mak Som bergenang. Tubuh kecil Hani dipeluknya erat. “Siapa cakap?”
“Abang Ikram.”
Belum sempat Mak Som bersuara, dia sudah diheret ke ruang tamu. Ikram menoleh sekilas lalu melemparkan pandangannya semula ke arah gambar itu.
“Cakap semula kepada Mak Som, apa yang abang cakap tadi,” bentak Hanisa dengan garang apabila tiba di hujung meja.
Ikram tidak mengangkat mukanya. “Mak Som lebih tahu daripada kita. Mak Som yang sepatutnya menerangkan soal ini kepada kita,” katanya dengan senafas.
Hanisa tercengang. Dia menoleh ke arah Mak Som yang tunduk memandang lantai. Wajah Mak Som yang berusia hampir 60 tahun itu ditatapnya lama-lama. “Mak Som?”
Mak Som mengangkat muka dengan perlahan. Pandangannya dan pandangan mata Hanisa beradu.
“Mari sini Mak Som ceritakan kepada kamu berdua.” Mak Som memimpin tangan Hanisa ke meja makan. Mereka duduk berhadapan bertiga. Pinggan Hanisa ditolak ke tepi walau nasinya baru luak separuh.
Mak Som memandang ke arah Hanisa dan Ikram silih berganti. “Kebenaran tetap kebenaran walaupun pahit untuk diterima. Memang benar arwah ayah itu bukan ayah kandung Hani. Dan Ikram bukan abang kandung Hani.”
Jantung Hanisa terasa berhenti berdegup. Untuk seketika dia terpana. Matanya buntang memandang wajah Mak Som. Hanisa menggeleng. Air matanya kembali mengalir laju.
“Sampai hati, Mak Som kata macam ni.” Hanisa berlari laju menaiki tangga.
“Hani! Tunggu dulu!” panggil Ikram.
Hanisa tidak menoleh lagi. Di atas tangga dia terserempak dengan Farah, isteri Ikram yang tersenyum sinis. Hanisa tidak menunggu lagi, pintu bilik dihempasnya sekuat hati bagaikan satu laungan protes terhadap semua itu. Ini semua tak mungkin berlaku. Tak mungkin dia anak angkat!

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.