Tuesday, July 24, 2012

GLAS--Z : Bab 1


PROLOG
Masa: Kira-kira 15 tahun yang lalu
Lokasi: Di sebuah jalan kecil menuju ke sebuah kampung di pedalaman Pahang….
JALAN kecil itu hanya diterangi lampu kereta. Di kiri-kanan suasana gelap pekat menelan bebayang pokok-pokok getah tua. Di hadapannya seolah tidak berpenghujung. Di belakangnya juga sama. Jalan itu seolah jalan yang tidak pernah dilalui oleh sesiapa kecuali mereka berempat.
 Kereta itu terus meluncur laju tanpa suara. Di dalamnya lebih sunyi dari apa yang dibayangkan. Razlan menoleh ke wajah isterinya yang resah gelisah. Kedutan di dahi isterinya tidak mampu dihilangkan dengan sebarang kata-kata. Dia tahu, isterinya runsing, takut dan hanya akur kepada keputusannya sebagai seorang suami.
“Where are we going, honey?” tanya Fara dengan slang Inggeris New Orleans yang masih pekat walau sudah hampir enam tahun menetap di Malaysia.
Soalan yang sudah diulangnya beberapa kali sejak mereka meninggalkan rumah hampir empat jam yang lalu. Kini jam di papan pemuka kereta sudah menunjukkan waktu hampir ke pukul 2.00 pagi. Dan dia masih belum tahu akan dibawa ke mana.
“Ke sebuah kampung lama. Abang sudah uruskan tempat tinggal di sana. Seorang kawan lama abang akan menjaga kita di sana sementara kita jumpa tempat lain yang lebih selamat.”
Razlan akhirnya mengalah juga. Akhirnya diceritakan juga lokasi yang dituju. Lokasi yang dirahsiakan daripada pengetahuan Fara sejak mendapat berita daripada Johar petang semalam.
Fara menarik nafas seakan bosan. Kepalanya disandarkan ke cermin tingkap.
“Sabarlah, Fara.”
Razlan mengangkat tangannya lalu menggenggam erat tangan isterinya. Dia tahu apa yang sedang berlagu di hati Fara namun dia sendiri sudah tidak berdaya mengawal keadaan. Hanya itu yang termampu dilakukan sebagai seorang suami dan juga ayah kepada dua orang anak yang masih kecil. Keselamatan Fara dan anak-anaknya berada dalam tangannya. Dia akan buat apa sahaja untuk melindungi mereka bertiga.
“Berapa lama lagi kita harus hidup macam ni?”
Terasa kerongkongnya sempit. Pertanyaan itu amat sukar untuk dijawab. Lantas Razlan menggeleng. Dia sendiri tidak tahu. Dia sendiri setiap saat berdoa semoga ada cara untuk mengakhiri semua masalah itu.
“Yang pentingnya kita kena pastikan nyawa Fara dan dan anak-anak kita selamat dulu. Yang lain tu kita fikirkan kemudian.”
“Tapi sampai bila? Lambat laun anak-anak kita akan membesar juga, mereka mesti bersekolah dan bergaul dengan kawan-kawan yang lain. Kita tak boleh asyik berpindah-randah seperti ini, bang. Fara dah penat.”
“Abang tahu. Abang juga berharap biarlah tempat ini akan menjadi tempat terakhir untuk kita,” jawab Razlan dengan sepenuh harapan.
Sudah puas dia memikirkan satu tempat yang terpencil. Tempat di mana dia sekeluarga boleh hidup aman sambil melihat anak kembar mereka membesar. Apabila dihubungi oleh Johar tadi, dia rasa masanya sudah tiba untuk memulakan perjalanan yang terakhir.
Fara diam, dengan perlahan dia menoleh ke belakang. Adrianna dan Adrian sedang tidur nyenyak di kerusi belakang kereta mereka. Dia menghulurkan jarinya untuk membetulkan selimut Adrian yang sudah melorot jatuh ke kaki.
“Anak-anak tidur?” tanya Razlan.
Betapa dia mengharapkan sepasang kembar berusia hampir lima tahun itu tidak mengingati kesukaran yang telah mereka tempuhi sejak dilahirkan. Dia juga rasa bersalah. Bukan kehidupan seperti itu yang dia inginkan semasa berkahwin dengan Fara enam tahun yang lalu. Tapi, itu semua di luar bidang kuasanya. Dia tidak minta diburu. Dan dia sendiri tidak menyangka keadaan akan berubah seteruk itu.
Fara mengangguk, baju sejuk yang menyaluti tubuhnya ditarik erat. Suasana semakin dingin, jalan di hadapan mula diselaputi kabus nipis.
“Jauh lagi ke?”
“Mungkin dalam sejam lagi kita akan sampai,” jawab Razlan. Dia teringatkan seseorang lalu menekan nombor telefon. “Joe, aku dah nak sampai. Kau tunggu aku di simpang. Aku tak tahu di mana rumah tu.”
Setelah mendengar jawapan Johar, dia mematikan talian. Sekejap saja lagi, baru mereka boleh berehat panjang walaupun entah sampai bila.
Fara hanya menjeling suaminya namun sepantas kilat juga air mukanya berubah. Darah terasa menderu ke serata arah. Jalan yang tadinya gelap gelita kini seolah-olah bermandi cahaya. Kereta mereka kini terang-benderang disuluh dari arah belakang.
“Abang!” Dia memanggil sambil tangannya mencengkam lengan Razlan.
Panggilan Fara tidak dijawab. Razlan menoleh ke arah cermin pandang belakang, darahnya tersirap. Stereng dipegang kuat. Dia cuba memecut meninggalkan sebuah pacuan empat roda di belakang mereka. Namun nafasnya terhenti.
“Jaga anak!” tempiknya.
Sebuah kereta lagi muncul dari sebuah simpang di sebelah kanan dengan tiba-tiba. Razlan terpaksa membelok ke sebelah kiri jalan. Kereta yang dipandunya menggelongsor masuk ke dalam sebuah terusan yang curam di tepi jalan. Jeritan Fara bergema dan kemudian beransur senyap.
Razlan membuka matanya perlahan-lahan. Paling akhirnya yang dirasakan adalah tubuhnya diheret keluar dari kereta dan yang paling akhir yang didengarinya adalah suara-suara tangisan anak-anaknya yang nyaring. Selepas tembakan yang bertalu-talu, alam menjadi sejuk, gelap dan sunyi. Dia hanya sempat menyebut nama Tuhan di dalam hati.

BAB 1
Masa : Sekarang.
Lokasi: Institut penyelidikan Betha (IPB)

“BREK! BREK!” jerit seorang pemuda sambil tangan kanannya memegang stereng.
ARI kelam-kabut menekan brek dan kereta yang dipandunya berhenti dengan mengejut di hadapan sebuah tembok batu yang kotor dan berlumut. Ruang kosong di antara kereta dan tembok itu cuma dua inci. Dia berpeluh sejuk. Sekujur tubuhnya menggigil dari kepala hingga ke hujung jari kaki.
“Dari tadi aku kata tekan brek, kau tekan minyak buat apa?” tanya lelaki di sebelah Ari dengan nafas yang sama tercungap-cungap. Dadanya turun naik apabila melihat keretanya hampir remuk menghentam tembok itu.
“Aku panik,” balas Ari. Kini barulah mereka berdua ketawa berderai-derai sambil menyapu peluh yang merenik-renik di dahi masing-masing.
“Kau dah boleh bawa kereta tapi jangan panik. Pastikan kau ingat di mana brek, di mana minyak. Kalau tertukar susahlah.” 
“Maaflah, Jeff. Tadi entah ke mana fikiran aku melayang. Tiba-tiba saja aku lupa nak pijak yang mana,” balas Ari. Ketawanya masih bersisa. Geli hati pula apabila diingatkan insiden tadi.
“Dah. Undur cepat sebelum ayah aku nampak. Nanti dengan aku, aku sekali kena leter.” Jeffri toleh ke arah institut, kelihatan dari situ, beberapa orang petugas di institut itu sudah keluar menjenguk. Mungkin kerana terdengar bunyi tayar yang terseret ke tanah.
Ari patuh kepada arahan Jeffri. Dia mengundurkan kereta Jeffri hingga memasuki jalan bertar semula. Menukar gear dan berpusing balik arah ke bangunan utama institut itu. Jaraknya kira-kira 100 meter. Sebaik sahaja tiba di situ, dia menarik nafas lega. Tidak ada apa-apa yang dilanggarnya kali ini. Jika dulu, pasti ada pasu bunga yang pecah.
“Kau kena yakin pada diri kau. Ingat, apa-apa hal, jangan panik. Kau kena sentiasa sedar yang kau sedang bawa kereta. Jangan berkhayal.” Jeffri bersuara semula sambil membuka tali pinggang keledarnya.
“Terima kasih,” balas Ari. Dia tersenyum lebar. Mujur Jeffri tidak mengamuk.
“Kau senyum ni kenapa?” tanya Jeffri. Dia masih belum keluar dari kereta. Senyuman di wajah Ari membuatnya hairan.
“Sebab kau nak hadiahkan aku kereta ni, kan?” Ari ketawa kecil.
Entah bagaimana. dia seolah tahu apa yang berada di dalam kepala Jeffri. Itu membuat hatinya berbunga-bunga.
“Cantik betul?” Jeffri ketawa sekali. Tangannya menyeluk poket seluarnya lalu mengeluarkan sebentuk kunci. “Aku cuma nak beri kau ni,” katanya sambil menghulurkan kunci itu.
 “Kunci saja?” Dia tersengih. Dia bukan tidak tahu, dia cuma mengusik. Dia belek kunci itu depan belakang. Perasaannya sukar digambarkan. Suka dan terharu.
Jeffri tersenyum tenang.
“Aku tahu kau sukakan kereta ni tapi kau juga tahu apa kata ayah aku jika aku beri pada kau. Mulai hari ini, kereta ni kita kongsi dua. Bila-bila kau nak pandu, pandulah. Aku izinkan.”
Ari terangguk-angguk. Memiliki kunci itu, satu penghargaan yang besar buat dirinya. Dia pun tahu, dia tidak mungkin memiliki lebih daripada itu. Dia siapa, Jeffri pula siapa. Dia bersyukur kerana Jeffri selalu mahu berkongsi pelbagai perkara dengannya. Itu sudah cukup untuk dia yang serba kekurangan.
“Terima kasih, Jeff.”
Ucapannya berhenti setakat itu walau dia ingin mengatakan lebih banyak. Dia ingin mengatakan dia terharu dan sayang kepada Jeff yang sudah dianggap sebagai abang. Namun mungkin kerana rasa ego, semuanya hanya terpendam di dalam hati. Esok lusalah, fikirnya.
“Ari, kau tahu tak yang kau istimewa?” tanya Jeffri sambil melepaskan keluhan yang dalam. Dia tidak memandang Ari tetapi sebaliknya merenung taman kecil di hadapan institut itu. Taman, di mana dia dan Ari selalu bermain sorok-sorok semasa kecil dahulu.
“Apa yang istimewanya? Bawa kereta pun sampai nak langgar tembok,” balas Ari. Dia juga memandang ke arah taman itu. Banyak kenangan mereka tersimpan di situ.
“Satu hari nanti kau akan tahu apa keistimewaan kau tetapi aku harap, pada waktu tu kau tetap anggap aku kawan kau.” Jeffri tersenyum penuh makna.
Ari garu kepala. Dia tidak faham langsung apa yang dikatakan oleh Jeffri namun untuk membantah, dia rasa tidak wajar. Jeffri bukan sahaja kawan malah sudah dianggap seumpama abangnya di situ. Mereka membesar bersama-sama malah hanya pada Jeffri dia berkongsi segala rahsia dan rasa. Jika dia menolak pujian itu, tentu Jeffri akan terasa hati.
“Kalau benar, kaulah orang pertama yang akan tahu,” balasnya.
“Aku dah lama tahu.” Jeffri pandang muka Ari lama-lama. Di wajahnya tergambar pelbagai perasaan. Dalam senyuman seolah ada tangisan yang tersembunyi. Dalam suka ada derita yang terselindung.
“Esok, kau nak ke bandar, kan?” Ari cuba ubah topik.
Entah kenapa petang itu dirasakan sangat berbeza. Jeffri kelihatan sedih di matanya, dia tidak suka. Dia tidak senang dengan situasi itu. Jeffri adalah seumpama dirinya yang sempurna. Lelaki itu periang, kacak, bijak dan baik hati. Dia tidak mahu lelaki yang menjadi idolanya itu berubah menjadi dirinya pula. Anak yatim piatu yang hidup menumpang di situ kerana tidak ada tempat lain untuk dituju.  
Jeffri angguk. “Kau nak kirim apa-apa?”
“Makanan Mr. Ugway dah tinggal sikit,” balas Ari sambil cuba tersenyum. Dia tahu, Jeffri juga sayangkan Mr. Ugway, kura-kura yang dibela oleh mereka berdua sejak setahun yang lalu.
“Okey,” Itu sahaja jawapan Jeffri sebelum membuka pintu kereta. Tetapi dengan tiba-tiba dia berpatah balik. “Jangan beritahu ayah aku tentang kunci tu,” katanya sambil merenung wajah Ari.
 “Aku tahu,” balasnya. Dia simpan kunci itu baik-baik dalam poket seluarnya.
“Esok tahun baru. Anggap saja itu hadiah daripada aku,” balas Jeffri sebelum menutup pintu kereta.
Ari hanya tersenyum. Entah kenapa perasaannya jadi berbaur, ada suka dan sedih yang terasa. Kali pertama, dia mendapat hadiah dalam hidupnya. Kali pertama dia terasa memiliki sesuatu yang benar-benar kepunyaannya.
******
MALAM itu suasana di Institut Penyelidikan Betha (IPB) begitu meriah. Sempena kedatangan tahun baru, mereka mengadakan majlis makan malam istimewa. Semua petugas di institut itu hadir kecuali Dr. Sid, ketua penyelidik di situ yang juga ayah kepada Jeffri.
“Takkan dah nak tidur?” tanya Jeffri apabila Ari bangkit meninggalkan kerusi.
“Penat,” jawab Ari.
Satu jawapan yang selamat. Padahal, dia sebenarnya kurang suka majlis keramaian seperti itu. Dia tidak rasa mahu bergembira atau meraikan apa-apa dalam hidupnya seperti orang lain. Pada dia, tahun baru atau tahun lama tidak ada bezanya selain tarikh. Hari ini dan esok hanya dipisahkan malam, selain itu hidupnya tidak berubah juga.
“Tunggulah sekejap lagi,” sampuk Faruk. Salah seorang rakan rapat mereka berdua juga malah sudah berada di institut itu sejak kecil juga. Bezanya Faruk berkelulusan luar negara dan kini menjadi penyelidik kanan Dr. Sid. Bagaimanapun persahabatan mereka bertiga tetap kukuh.
“Aku dengan Jeffri baru nak pasang bunga api.”
Ari tetap menggeleng. Dia bukan tidak tahu apa aktiviti Jeffri dan Faruk setiap malam tahun baru. Mereka akan memasang bunga api yang sebesar  dua genggam di taman sehingga menggegarkan bukan kawasan istitut malah hingga terlihat di sekitar kampung di situ. Sekali pandang memanglah cantik tetapi itu untuk orang macam mereka, bukannya dia. Dia tetap tidak suka.
Langkahnya diatur tenang. Satu demi satu anak tangga dipijak hingga tiba di tingkat dua bangunan C, iaitu bangunan yang menempatkan kediaman Dr. Sid. Tempat di mana dia dibesarkan sejak dia boleh mengingat segala-galanya. Di situlah dia diasuh dan dijaga oleh beberapa orang petugas di situ. Malah di situ juga tempatnya belajar dan menjadi dewasa. Ya, di situlah segala-galanya bagi dia, yang tidak dibenarkan keluar langsung daripada pagar institut itu.
Institut itu adalah dunianya. Berbeza dengan Jeffri yang dibenarkan keluar dan bersekolah di luar institut, sebaliknya dia terkurung di situ bagaikan tawanan oleh Dr. Sid yang mengawal dan memerhati setiap gerak-gerinya dengan bantuan petugas dan penyelidik di situ. Hanya Jeffri, Faruk dan Rita yang melayaninya seperti seorang manusia. Selebihnya seolah-olah menganggapnya sebagai bahan ujian yang perlu diawasai. Dia sendiri tidak tahu kenapa.
Setibanya dia di hadapan bilik, dia menolak pintu bilik tidurnya perlahan-lahan. Cahaya yang terang menjadikan segalanya jelas dipandang. Sebuah bilik tidur yang sederhana besar. Lengkap dengan katil, almari, kerusi dan sebuah televisyen untuk memainkan cakera padat filem-filem aksi dari Barat. Semuanya sudah diulang tonton sampai bosan.
“Ugway!” Dia mengetuk akuarium kecil yang menempatkan seekor anak kura-kura bercengkerang hijau lumut. Dia mencampakkan beberapa butir palet ke dalam akuarium itu dan menutupnya semula rapat-rapat.
 “Ugway! Kau cepatlah besar. Bila kau besar, aku suruh Jeffri hantar kau ke tasik. Kau mesti hidup bebas, berkawan dengan kura-kura lain. Kau mesti tengok dunia. Jangan jadi macam aku,” katanya sambil menahan perasaan sebak di dada.
Selepas jemu melihat Ugway, dia mencapai earphone yang terletak elok di situ. Sesekali entah kenapa, Dr. Sid akan meminta earphone itu untuk diperbaiki. Dia tidak pernah membantah kerana dia tahu segala-gala yang ada di situ adalah milik Dr. Sid. Dia hanya meminjam seperti dia meminjam kereta dan buku-buku Jeffri selama ini. Dia juga sedar segala-galanya boleh ditarik balik pada bila-bila masa kerana dia tidak pernah memiliki apa-apa.
“Jangan sentuh! Itu milik Jeffri. Kalau Jeffri beri kau pinjam, baru kau boleh ambil.” Itulah kata-kata Dr. Sid sewaktu dia berumur 7 tahun. Dia tidak akan melupakannya kerana dia tidak boleh lupa kepada sinar kebencian yang terpancar dari mata Dr. Sid sewaktu mengucapkan kata-kata itu. Sejak itu dia faham apa yang dilihat, didengar, dirasa dan disentuh itu adalah milik orang lain. Dia tidak berhak ke atas apa-apa pun di situ.
Dia menekan suis ON pada earphone di telinganya. Dalam masa tidak sampai dua saat, sudah kedengaran lagu-lagu di telinganya. Semuanya lagu Inggeris yang lama terutamanya lagu-lagu dendangan Lousie Armstrong . Bagaimanapun lagu yang bertajuk ‘What a beautiful World’ paling diminatinya. Adakah benar…dunia ini seindah yang digambarkan?
Dalam leka melayan lagu tersebut, matanya menjadi kuyu. Perlahan-lahan dia hanyut ke dunia mimpi. Dunia di mana dia bebas, sebebas-bebasnya. Dunia di mana dia boleh melihat lebih dari apa yang disajikan kepadanya di dunia realiti.

******
LANGIT ungu kebiruan. Bulan berpasangan. Bintang berguguran.
Ari mendongak ke langit, menyaksikan fenomena yang tidak pernah disaksikan selama ini. Angin kuat yang bertiupan pun tidak mampu menggoyah keasyikannya saat itu. Ianya terlalu indah untuk dipandang dan dilepaskan walau sesaat. Dia senang di situ. Jiwanya rasa bebas tetapi keadaan berubah dengan tiba-tiba.
Sebutir bintang bagaikan jatuh dari langit. Makin lama makin dekat kepadanya. Dia melompat ke sisi, masih tergamam dengan apa yang baru berlaku. Sedar-sedar sahaja dia terjatuh ke atas tanah berumput yang basah dan sejuk. Apabila dia mengangkat muka, dia melihat bintang tadi jatuh melanggar sebuah bangunan batu sebelum bangunan itu terbakar dengan api yang marak menjulang. Cahayanya menerangi permukaan air di sekelilingnya. Dia terpegun, tidak tahu apa yang harus dilakukan dan bahang api itu seakan cuba memanggang tubuhnya hidup-hidup. Di dalam kekagetan itu, dia terasa seperti ditarik oleh seseorang.
Ari tersentak. Dia terduduk di atas rumput sambil mendongak. Pandangan matanya terpaku ke seraut wajah seorang perempuan bermata aneh. Dia lagi sekali terpegun dan tidak mampu bergerak.
“Ari! Bangun!”
Sayup-sayup dia terdengar satu suara yang memanggilnya. Sayangnya dia bagaikan ditahan oleh satu kuasa yang sangat kuat. Dia hanya mampu pasrah apabila tubuhnya seakan ditarik oleh dua kuasa yang bertentangan arah.
“Ari! Bangunlah!”
Suara itu menyeru lagi. Kali ini lebih kuat dan mendesak. Dia seolah tersepit di antara dua keadaan. Di sana ada yang memanggil, di sini ada yang menahan.
“Lepaskan aku,” rayunya meminta simpati kepada perempuan yang berada di hadapannya. Dia yakin perempuan itulah yang menahannya di situ.
“Kita baru saja berjumpa. Masih banyak lagi yang kau harus tahu.”
“Aku akan datang lagi,” balas Ari. Kata-kata perempuan itu membuatkan dia serba-salah. Apa yang perempuan itu mahu dia tahu?
“Tapi kita mungkin takkan berjumpa lagi.”
“Aku janji aku akan datang lagi. Percayalah.”
Perempuan itu diam bagaikan berat hatinya untuk memenuhi permintaan Ari.
“Tolonglah. Aku akan datang lagi.” Ari ulang janjinya. Dia sudah tidak tahan berasa sakit. Pertarungan dua arah itu membuatkan dirinya tersiksa. Salah satu pihak perlu mengalah.
“Baiklah, aku akan lepaskan kau kali ini. Tapi aku tak pasti sama ada kita akan bertemu lagi. Tapi jika kau mahu mencari aku, kau carilah tempat ini.”
Sebaik sahaja perempuan itu habis berkata-kata, bangunan batu yang terbakar tadi kini menjadi terang-benderang semula. Dia hanya dapat memandang bangunan aneh itu sehinggakan tidak sedar perempuan itu telah menghilangkan diri di dalam kegelapan malam. Dalam kebingungan, dia terasa bahunya digoyang keras.
“Ari! Aku kata bangun, bangunlah!”
Kini dia tahu suara itu suara siapa tetapi dia seperti tersesat di dalam kabus yang semakin tebal. Dia merayau-rayau sehinggalah terasa satu tamparan keras hinggap di pipinya. Matanya terus terbuka dalam keadaan bilik yang terang-benderang sambil dikelilingi oleh Faruk dan beberapa orang petugas institut itu.
“Puas aku kejut. Kau tak bangun-bangun,” bebel Faruk sambil berkerut muka di hadapannya.
Ari menyapu pipinya yang terasa perit.
“Kenapa kau orang kejut aku pagi-pagi ni? Hari ni kan cuti?” Dia mengecilkan matanya semula.
“Ari! Dah dekat pukul 9.00 pagilah. Bangun!” Faruk tarik lengan Ari sehingga kepala Ari terpisah daripada bantalnya.
“Apa ni…” Ari menolak tangan Faruk. Dia tidak senang diganggu dalam keadaan kepalanya yang mula berubah bengang. Apatah lagi selepas didatangi mimpi yang penuh tanda tanya.
“Ari, aku pun tak ingin kacau kau tidur tapi…” Faruk diam.
Ari membuka matanya semula. Dia merenung wajah Faruk lama-lama. Wajah itu muram, tiada lagi wajah yang nakal dan suka membuat kacau di institut itu. Dia segera tahu ada yang tidak kena.
“Kenapa?”
“Jeff,” balas Faruk.

5 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.