Monday, September 10, 2012

GLAS--Z : Bab 13



Bab 13
Bandar  Bahau, Negeri Sembilan.
Sudah hampir setengah jam, Ari dan Nella berada di situ. Mereka berdua baharu sahaja selesai minum di sebuah kedai makan berdekatan stesen bas. Dan kini sudah kembali semula ke dalam kereta untuk meneruskan perjalanan.
“Apa yang syok sangat tu?” tegur Nella sambil menepis surat khabar yang sedang dibaca oleh Ari di dalam kereta.
Ari tidak terkejut. Makin lama dia bersama Nella, dia makin faham sikap Nella yang lepas cakap dan agak kasar tingkahnya. Berbeza sedikit dengan Rita.
“Cuba baca ni.” Dia tunjukkan satu artikel kecil pada muka surat sebelas. Di atas artikel itu, terdapat sebuah gambar kemalangan yang melibatkan sebuah motor yang melanggar pembahagi jalan dan gambar kecilnya menunjukkan wajah pemuda yang menunggang motorsikal tersebut.
Nella angkat kening.
“Kenapanya?” Dia kembali menikmati ais krim di dalam tangannya bagaikan seorang budak kecil.
“Penunggang motorsikal.” Ari terdiam semula. Dia teringatkan sesuatu.
“Saudara kau ke? Aku tengok macam muka Melayu saja. Tak ada pun muka orang putih.” Nella melontarkan pandangan pula ke arah kenderaan yang bertali arus melalui jalan besar itu.
Ari menoleh ke arah Nella. Kadangkala dia tidak tahu apa yang gadis itu fikirkan, adakalanya gadis itu seperti bercakap lebih cepat daripada berfikir.
“Dialah yang menyelamatkan aku malam tu,” katanya perlahan. Kematian pemuda itu sedikit sebanyak menyentuh hatinya. Sesungguhnya dia terasa terhutang budi.
Nella tergamam. Ais krim di bibirnya hampir cair. “Kau tak salah orang? Macam mana dia boleh accident? Merempit ke?”
“Merempit?”
“Bawa motor laju-laju. Racing,” terang Nella.
Ari segera menggeleng. “Laporan ni menyebut, dia kena sakit jantung semasa bawa motor. Nasib baik dia cuma seorang saja.”
“Wah! Susah tu. Mujur dia tak kena sakit jantung semasa bawa engkau. Kalau tak… dengan engkau-engkau sekali jalan,” balas Nella sambil tersenyum sedikit.
“Aku tak pernah sangka soal mati boleh dibuat bahan gurauan,” kata Ari. Fikirannya jadi kusut setelah membaca berita itu. Dia terasa seolah-olah ada yang tidak kena di situ. Seolah-olah ada persamaan di antara kes pemuda itu dengan kes Jeffri. Muda-muda lagi sudah kena serangan jantung.
“Rilekslah, kita dah cukup tension ni, Sekarang kau nak sedih-sedih pula. Macam mana aku nak tanggung semuanya?”
Ari tarik nafas panjang. “Sorry, aku tak bermaksud nak menyusahkan kau. Aku cuma nak berkongsi cerita. Itu saja.”
Nella tidak menjawab. Dihidupkan sahaja enjin kereta lalu mereka mula meninggalkan bandar itu. Suasana di dalam kereta itu pun kembali menjadi sunyi.
Ari melontakan pandangan ke luar tingkap. Apa yang dilihat hanyalah deretan pokok-pokok getah di kiri-kanan jalan. Sesekali dia terlihat taman perumahan dan bandar kecil. Sesungguhnya perjalanan itu sangat menyeronokkan dia yang tidak pernah dibawa keluar daripada institut sejauh itu. Namun alangkah indahnya jika yang berada di sebelahnya adalah Jeffri dan bukannya Nella…
*****
KIRA-KIRA empat puluh minit selepas itu, kereta yang dipandu Nella membelok ke sebelah kanan jalan. Kini kereta Proton Saga putih itu bergerak masuk ke sebuah jalan tanah merah pula.
Ari segera menoleh ke arah Nella. Hatinya berdebar-debar. Adakah mereka sudah tiba ke tempat yang dituju?
“Di sini ke?” tanya Ari. Dia dapat melihat beberapa rumah kampung di kiri-kanan jalan merah yang berbukit-bukit itu.
Nella mengangguk. “Ikut alamat yang diberi, di sinilah.”
Ari diam sahaja. Jalan raya itu seolah-olah hanya muat untuk sebuah kereta melaluinya. Mujurlah selama mereka melaluinya, tidak ada kenderaan lain yang berselisih. Tidak lama kemudian, Nella memberhentikan kereta di tepi jalan.
“Kak Maznah. Nella dah sampai tapi tak nampak pun apa-apa khemah.” Nella bercakap dengan seseorang menerusi telefon bimbitnya.
Ari hanya mengerling sambil memasang telinga. Siapa pula Kak Maznah? Jantungnya mula berdegup laju.
“Selepas masjid? Nella rasa belum jumpa lagi apa-apa masjid,” kata Nella lagi sambil terjenguk-jenguk ke hadapan kereta. Tidak lama kemudian, Nella mematikan telefon dan meneruskan pemanduan. Beberapa minit selepas itu mereka melalui sebuah masjid berkubah hijau dan akhirnya bertemu dengan satu kawasan kelapa sawit yang dipenuhi khemah besar dan kecil.
Ari tergamam apabila melihat situasi itu. Lebih-lebih lagi apabila melihat kesibukan beberapa orang lelaki dan wanita di kawasan itu. Dia tidak faham apa yang sedang berlaku dan di mana dia berada.
 “Di sinikah?” Dia pandang Nella.
Nella angguk lagi. Enjin keretanya dimatikan segera.
“Ikut aku,” katanya lantas membuka pintu.
Ari tidak ada pilihan.
*****
DARI jauh lagi Nella sudah melayangkan senyuman paling manisnya untuk seorang wanita yang bertudung skaf biru. Wanita itu melangkah ke hadapan menyambut ketibaan Nella dan Ari ke situ. Mereka berpelukan erat buat seketika.
“Rupanya inilah projek kakak sekarang,” kata Nella seraya memerhati keadaan sekeliling ladang kelapa sawit itu. Di kiri-kanan mereka berderet lubang-lubang yang telah digali dengan cermat. Beberapa orang pemuda dan pemudi yang ada di situ seakan-akan tidak menyedari kehadirannya. Kesemuanya tekun bekerja.
“Dah dekat empat bulan kakak di sini. Baru sekarang Nella nak datang melawat kakak,” balas Kak Maznah. Bibirnya menyungging senyuman yang meleret.
Nella pegang lengan Kak Maznah, lalu mereka berjalan beriringan menuju ke sebuah khemah yang agak besar di sudut kawasan penggalian itu.
“Kak, Nella datang ni bukan sekadar nak melawat kakak,” katanya dengan teratur. Dia sedar, dia sepatutnya datang lebih awal ke situ.
“Nak jemput kakak datang kenduri ke?” Kini mereka berdua masuk ke dalam khemah yang pintunya terbuka lebar. Dari situ, mereka berdua dapat melihat semua aktiviti yang berlaku di situ dengan jelas.
“Kenduri apa pula?” Nella tarik sebuah kerusi plastik berwarna merah dan duduk tanpa dipelawa.
“Yang datang sekali tu siapa? Tak pernah pula Nella bercerita pada kakak. Pandai simpan rahsia,” balas Kak Maznah. Sebuah kerusi plastik ditarik berdekatan dengan Nella. Kini mereka duduk berhadapan.
Nella menarik nafas panjang. Pandangan matanya dilontarkan jauh ke luar khemah itu. Dari situ, dia dapat melihat Ari berpeluk tubuh di bawah pokok kelapa sawit dengan wajah yang muram. Dia tahu Ari sedang tertanya-tanya apa yang sedang berlaku di situ. “Tidak seperti yang kakak fikirkan,” katanya perlahan.
“Habis tu apa? Nella seperti ada masalah besar. Lagipun takkan Nella sanggup datang mencari kakak di sini jika tidak terdesak, kan?”
Nella angguk beberapa kali. Tidak guna dia menafikan itu semua namun dia benar-benar sudah terdesak. Dia bukannya kuat untuk menanggung semuanya seorang diri. “Dialah masalahnya.”
“Dia? Siapa dia?”
Nella menarik nafas dalam-dalam sebelum menceritakan segalanya kepada Kak Maznah. Untuk seketika Kak Maznah terdiam sambil mendengar dengan teliti segala yang diterangkan.
“Kenapa tak serah diri saja kepada polis? Biar polis siasat sama ada tuduhan itu benar ataupun tidak,” tanya Kak Maznah setelah Nella menamatkan cerita.
“Nak siasat apa kalau tak ada tuduhan atau laporan?” tanya Nella semula. Mereka beradu pandang buat seketika.
“Mereka tak melaporkan tuduhan itu kepada polis? Kata mereka ada bukti. Serahkan sahajalah.”
Nella menggeleng. “Jika itu yang terjadi, sudah lama polis tangkap dia. Nella pun tak akan susah payah bawa dia ke sini.”
Kak Maznah mengangkat tangan kanannya. “Jadi ini seperti soal dalaman sesebuah kumpulan? Dituduh dan diadili hanya di dalam kumpulan itu?”
“Mungkin. Nella bukan tahu sangat benda-benda macam ni, kak. Cuma sebab kakak Nella yang minta tolong, terpaksalah Nella tolong.”
“Habis tu kakak Nella tahu Nella datang ke sini?”
Nella segera menggeleng. “Belum lagi. Jika Nella telefon mereka pun, mungkin Nella akan beritahu yang Nella berada di Negeri Sembilan. Itu saja.”
Kak Maznah mengangguk faham. Kemudian dia berkata, “Jadi Nella bawa dia ke sini supaya dia boleh bersembunyi di sini. Macam tu?”
“Buat sementara waktu. Nella tak ada tempat lain nak pergi,” balas Nella.
“Nella yakin dia tak bersalah?” tanya Kak Maznah lagi. Dahinya berkerut.
Nella angkat bahu. “Kalau kakak Nella percaya pada dia, Nella terpaksalah percaya juga.”
Kak Maznah mengeluh perlahan. Peluh di dahinya disapu dengan sehelai tuala berwarna kelabu. “Kakak dah tak lama di sini. Dua tiga hari lagi, tapak penggalian ini akan ditutup. Kerja kakak dan kumpulan kakak dah selesai di sini.”
“Selepas tu kakak nak ke mana pula?”
“Balik KL. Nak ikut?” tanya Kak Maznah.
Nella mengangguk laju. “Jadi bolehlah kami menumpang di sini sementara waktu?”
Kak Maznah tersenyum. Nella memeluknya dengan perasaan yang lega.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.