Tuesday, October 9, 2012

GLAS-Z - BAB 18



Bab 18
PERJALANAN ke Hanoi tanpa henti, mengambil masa kira-kira hampir tiga jam setengah. Mereka tiba di Lapangan Terbang Noibai, kira-kira pada pukul 7.00 petang ataupun pada pukul 6.00 petang waktu tempatan kerana perbezaan waktu selama satu jam  antara Malaysia dan Vietnam.
“Selepas ni kita nak ke mana pula?” tanya Ari sambil mengekori sahaja langkah Nella dan Maznah yang macam lipas kudung, mencelah-celah di tengah-tengah penumpang yang lain. Dia terpaksa mengejar kerana takut kehilangan mereka berdua. Pengalamannya kali pertama naik kapal terbang tadi pun sudah cukup menakutkan.
“Kak Maznah kata ada orang yang akan jemput kita,” balas Nella sambil terus berjalan mengekori Maznah yang sudah jauh ke hadapan.
Ari diam. Asalkan Nella tidak hilang dari pandangan matanya, dia akan ikut ke mana sahaja. Tidak lama kemudian, dia terlihat Maznah disambut oleh dua orang lelaki Vietnam. Seorang sudah agak berusia dan seorang lagi muda dan kurus. Mungkin pembantu lelaki yang tua.
“Ini, Prof. Lam.” Maznah memperkenalkan kawannya kepada Ari dan Nella. “Prof. sudah sediakan kita tempat penginapan.”
Ari dan Nella angguk sahaja. Tidak lama selepas itu mereka beransur meninggalkan lapangan terbang untuk menuju ke Jalan Tran Vu.
“Seronok, kan?” tanya Nella. Laju langkahnya menuju ke arah sebuah van yang sudah bersedia untuk membawa mereka ke pangsapuri yang sudah disediakan oleh Prof. Lam.
Melihatkan sneyuman yang tersungging di bibir Nella, Ari tidak sampai hati mengatakan apa yang sedang bermain di kepalanya. Kenapa dia rasa seperti pernah ada di situ? Dejavu?
*******
Hampir sejam kemudian, mereka tiba di Jalan Tran Vu namun Ari lebih terkesima melihat sebuah tasik yang menghijau yang terbentang di tepi jalan. Walaupun remang senja sudah berlabuh di atas air, namun tasik itu masih mampu memukau pandangan matanya.
“Itu Tasik Truc Bach,” kata Maznah apabila menyedari keasyikan Ari terhadap tasik itu. “Nanti, kamu berdua pergilah melawat tasik-tasik di sini. Ada banyak tasik dan ada banyak sejarahnya.”
Nella angguk sambil tersenyum. “Kakak tak akan tinggalkan kami berdua sahaja, kan?”
“Ada kemungkinan,” balas Maznah dengan serius.
“Ada kemungkinan?”
Maznah angguk. “Mungkin akak terpaksa mengikut Prof. Lam ke tapak arkelogi kerana artifak yang dijumpainya itu belum dibawa keluar lagi.”
Air muka Nella berubah keruh. “Bagaimana dengan kami?”
“Pergilah bersiar-siar tapi kakak akan cuba balik sebelum malam.” Maznah senggol bahu Nella.
Nella tersenyum.
“Jaga diri baik-baik kalau berjalan di sini.”
Ari dengar sahaja perbualan itu, matanya asyik memerhati apa yang seperti pernah dilihatnya.
“Mari. Tempat penginapan kita di tingkat 13,” kata Maznah sebaik sahaja van yang membawa mereka bertiga berhenti di bawah sebuah pangsapuri yang tinggi.
******
SEBAIK sahaja pintu terbuka, Ari berasa lega. Tempat penginapan yang disediakan oleh Prof Lam tidak jauh bezanya dari rumah Maznah di Kuala Lumpur. Sebuah rumah yang moden dengan lantai ubin terracota. Sekali pandang, dia tidak melihat sebarang ciri-ciri tradisional Vietnam di situ. Dia tidak terasa janggal.
“Rumah ni ada tiga bilik tapi… akak rasa lebih baik Nella tidur sebilik dengan akak,” kata Maznah sebelum membawa beg pakaiannya ke bilik yang paling dekat dengan dapur.
Nella ketawa kecil. “Beres,” katanya sambil menyonsong Maznah.
Tinggal Ari di situ, lalu dia mendekati beranda di hujung ruang tamu. Di situ dia dapat melihat Tasik Truc Bach yang sedang diserkup kegelapan malam. Sekali lagi dia terpana memandang bagaikan ada sesuatu yang memaku ingatan dan pandangannya di situ.
“Kak Maznah suruh mandi, solat dan siap-siap… sebab lepas tu Prof. Lam nak bawa kita makan malam,” tegur Nella dari belakang.
Ari tergamam. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah Nella yang tampak lebih gembira dan tenang. Dia lalu bertanya, “Nella… apa itu solat?”
Nella terus kelu.
******
TIDAK lama selepas itu, Nella kembali ke dalam bilik. Dia termenung di atas katil. Pertanyaan Ari tadi, membuatnya bingung.
“Kenapa termenung lagi?” Maznah yang baru selesai mandi menegur. Dia mula membuak beg pakaiannya yang terhampar di sudut bilik.
Nella tidak terus menjawab. Wajahnya tetap muram menekur lantai bilik yang dilapisi panel kayu dari dinding ke dinding.
“Kenapa ni?” Maznah seakan perasan perubahan air muka Nella.
Nella geleng. Sesungguhnya dia tidak tahu apa yang harus diterangkan kepada Maznah.
“Cakaplah. Tadi happy, lepas tu monyok pula.”
“Ari,” kata Nella.
“Kenapa dengan dia?”
Nella angkat bahu. Sesungguhnya dia benar-benar bingung. Seumur hidupnya, dia tidak berjumpa dengan seorang lelaki seperti Ari.
“Cakaplah kenapa?” Suara Maznah mula meninggi. Direnungnya wajah Nella lama-lama.
“Dia tanya Nella….” Nella menelan air liur.
Maznah angguk. “Dia tanya apa?”
“Dia tanya Nella, apa itu solat,” jawab Nella sebelum kembali tunduk termenung.
Mata Maznah terkelip-kelip. Lama dia terdiam, menjadikan ruang itu ikut bungkam.
“Dia… tak tahu solat ke?” Perlahan sahaja pertanyaan itu meluncur keluar.
“Agaknya.”
“Macam nilah. Apa kata kalau Nella ajar dia sikit-sikit pasal solat, sejauh mana yang Nella tahu? Kemudian bila kita balik semula ke KL, kita carikan dia ustaz yang boleh bimbing dia betul-betul dalam bab agama ni.”
Nella angguk.
“Apabila dia datang kepada kita… kita tak boleh biarkan saja. Apatah lagi mentertawakan dia kerana tak tahu. Belum tentu pengakhiran kita lebih baik daripada dia nanti,” nasihat Maznah lagi sambil memaut bahu Nella. “Tapi kan… kenapa Nella pula yang monyok semacam? Ada apa-apa yang akak tak tahu?”
Nella tidak menjawab. Dia lantas bangkit dan mencapai sehelai tuala putih yang ada di atas katil. Di dalam bilik air, dia termenung lagi.
Dia teringatkan mata Ari yang berair… dia teringatkan lontaran suara Ari yang bergetar. Entah kenapa, hatinya turut sama menangis….

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.