Thursday, January 3, 2013

PERCAYALAH SAYANG : Bab 21



Bab 21
 “DAH bangun?” Damien bertanya sambil memerhati Anis yang terkelip-kelip di atas katil. Tidak sangka pula dia, Anis sudah terbangun. Mungkinkah Anis terdengar bunyi mangkuk yang pecah tadi? Berdebar hatinya, apa yang harus diterangkan nanti?
Anis menggumam. Sambil menolak selimutnya hingga ke hujung kaki dia berkata, “Dah tak larat tidur. Badan pun dah berpeluh.”
“Kalau dah bangun, makan sikit bubur ni ya?” Damien membawa mangkuk bubur bersama air kosong ke katil. Mungkin Anis tak dengar apa-apa, fikirnya.
“Bubur? Abang masak bubur?” Mata Anis membesar.
“Maya yang masakkan,” balas Damien. Dia faham kenapa Anis seolah-olah tidak percaya. Dia sememangnya seorang lelaki yang tidak pandai hal-hal di dapur. Itu memang kekurangannya.
“Maya?”
“Abang turun tadi dia dah siap masakkan bubur ni. Nasi dan lauk pun ada.” Damien pandang muka Anis. Dia tidak tahu untuk menjangkakan apa-apa. Anis suka ke… Anis marah ke? Dia hanya menunggu. Mangkuk berisi bubur nasi berlaukkan ikan bilis itu disuakan ke arah Anis.
“Uwekkk…”
Anis terjeluak sambil menutup mulut dan hidungnya dengan tangan kanan. Tangan kirinya pula menolak mangkuk bubur itu. Kepalanya menggeleng laju dengan mata yang berair. Muka Anis merona merah bak udang bakar.
Damien tergamam. Teruk betul demam ni… itu yang dia faham.
“Kenapa Anis? Nak muntah?”
“Bubur apa ni, bang? Busuk betul macam bau….” Anis terdiam tetapi terus menutup hidung dan mulutnya bagaikan takut dipaksa.
“Busuk? Mana ada busuk?” Damien cium mangkuk itu. Tidak ada pun apa-apa yang berbau busuk. Pelik betul, Anis ni….
Anis masih menggeleng laju dan tangannya masih menolak-nolak mangkuk bubur itu.
“Abang boleh buang bubur ni tak? Kalau tak pun tolong bawa keluar dari bilik ni. Anis tak tahan, rasa nak muntah sangat.”
Damien termenung seketika. Ingin dia memujuk lagi agar Anis mahu menjamah sesudu dua tetapi dari nada suara Anis dia tahu, pujukannya tidak akan berjaya. Akhirnya dia mengalah.
“Okey, abang hantar bubur ni ke bawah. Anis nak makan apa-apa tak? Abang boleh pergi beli.”
“Anis tak lapar lagi, bang. Kalau Anis lapar nanti Anis cakap. Abang tak lapar ke? Abang dah makan?” tanya Anis pula.
Damien menggeleng perlahan. Dia berasa begitu kasihan kepada Anis. Sudah dapat rumah yang begitu cantik, demam pula.
“Abang tak lapar. Abang hanya akan makan bila Anis makan.”
Anis tersenyum kelat. “Kalau Anis sihat… malam ni kita pergi makan ikan bakar lagi, nak?”
“Anything you wish, sayang,” balas Damien. “Tapi… selepas kita pergi klinik.”
“Hah?” Anis terkejut.
“Demam Anis belum kebah ni. Tengok nasi pun nak muntah… mesti belum sihat betul. Kita jumpalah doktor minta ubat yang lebih baik,” pujuk Damien sambil membelai rambut Anis. Perasaannya yang telah tenang tadi kembali berserabut. Dia yakin demam Anis pasti berpanjangan. Sedang dia membantu Anis supaya baring semula, telefon bimbit Anis berbunyi.
******
ANIS menyambut telefon yang dihulurkan oleh Damien. Selepas menekan butang ‘answer’ dia terus memberi salam walaupun suaranya masih serak-serak basah.
“Mak nak cakap sikit ni.” Menderu sahaja suara ibu tirinya masuk ke telinganya.
“Apa, mak?” Dia menunggu.
“Engkau ada duit tak? Mak nak duit.”
Dahi Anis langsung berkerut. Rasa pening yang masih bersisa terus berdenyut kuat. Bukan mahu bertanya khabar dirinya dahulu, terus melulu meminta duit. Ingin sekali dia menjerit kuat-kuat.
 “Mak nak buat apa? Banyak ke?” Dia tidak berani memandang wajah Damien.
“Lima belas ribu. Bukan nak buat apa pun, tapi nak bayar tanah rumah ni yang digadai dulu tu. Tanah ayah kau juga.”
Untuk sesaat Anis terdiam.
“Orang lain yang bergadai orang lain yang kena bayar? Apa ni, mak? Suruhlah adik tu bayar,”
“Eh! Kalau dia ada duit, tak adalah aku minta duit kau. Kalau kau tak bayar, alamat lepaslah tanah dan rumah pusaka tu ke tangan orang. Kau nak?”
“Tapi kenapa mesti Anis? Duit tu kan mak guna untuk majlis perkahwinan dia?”
“Semuanya salah kau juga. Kalau kau tak tolong hari tu, tak payahlah sampai mak nak bergadai-gadai tanah tu. Ini kau beri seribu dua saja, mana cukup?”
Anis hanya mampu menggeleng. Belum sempat dia menjawab lagi, telefonnya sudah dirampas oleh Damien.
“Berapa yang mak nak?”
“Lima belas ribu. Kau banyak duit, kan? Kau beri duit tu pada Anis. Aku nak tebus tanah ayah dia.”
Anis tercengang melihat kelakuan Damien. Dia cuba menghalang Damien daripada terus berbual dengan ibu tirinya tetapi Damien tetap memegang telefon itu erat-erat.
“Nanti saya hantar cek,” balas Damien.
“Kalau pos lambat, biar aku ambil daripada Anis.”
“Tapi kami bukan di KL, mak. Kami di Melaka.”
“Kalau macam tu, biar mak ke sana saja. Nanti kau berikan alamat.”
Damien pandang Anis. Anis sudah menggeleng laju. Apa pun yang dibincangkan di antara Damien dan ibu tirinya, dia tidak bersetuju.
“Yalah. Mak nak bercakap dengan Anis lagi? Dia demam.”
Panggilan terus terputus. Damien dan Anis saling berpandangan dalam diam.
******
“JANGAN risau apa-apa, okey?” kata Damien sambil tersenyum tenang.
“Mak tak patut buat macam tu. Dia yang bergadai kenapa kita pula yang kena tanggung masalah tu?”
“Tak apalah, mungkin mak tak ada arah lain nak minta tolong.”
“Tapi nanti…dia pandang kita ni macam mesin ATM. Cucuk saja keluar duit,” balas Anis.
“Abang tak mahu Anis fikirkan sangat. Nanti abang beri cek, Anis serahkan pada dia.”
“Membazir saja,” balas Anis. Dia masih rasa tindakan ibu tirinya itu tidak betul. Malah semasa majlis perkahwinan adik tirinya yang serba mewah dulu pun, dia tidak bersetuju langsung. Padahal majlis dibuat di rumah pusaka sahaja pun.
“Yang pentingnya ketenangan Anis. Kalau rumah tu berubah tangan kepada orang lain, Anis juga yang tak senang hati, kan?”
Anis diam.
“Abang tahu, Anis sayangkan rumah dan tanah tu walau Anis tak duduk di situ.” Damien belai rambut Anis. “Tak ada yang lebih berharga pada abang selain kegembiraan dan ketenangan hati Anis. Duit boleh dicari.”
Mata Anis mula bergenang tanpa malu-malu. “Anis minta maaf kerana mak tiri Anis menyusahkan abang.”
Damien menggeleng. “Abang tak rasa susah pun. Abang buat untuk Anis bukan untuk dia.”
“Terima kasih, bang. Tapi…betul ke abang nak beri alamat rumah ni pada mak?”
“Biarlah dia datang sini. Boleh dia tengok rumah Anis, kan?”
“Kalau macam tu kata abang, tak apalah. Harap dia tak ganggu kita saja. Abang tahu sajalah mak tu macam mana. Semua benda tak betul.”
“Sekarang Anis isteri abang, kalau dia melampau, siaplah dia,” balas Damien. “Anis jangan fikirkan sangat soal ni ya? Jom, kita pergi klinik. Lepas tu kita pergi makan.”
“Maisara macam mana?”
“Berhenti fikirkan pasal orang lain boleh tak?” balas Damien.
Anis tidak berani berbunyi lagi.
******
DENGAN rasa berat hati, Anis bangkit juga meninggalkan katil. Pergi ke klinik, bukanlah idea yang dia suka tetapi membantah arahan suami juga bukan satu sikap yang betul. Lebih-lebih lagi arahan untuk kebaikan dia juga. Lalu sambil memujuk hatinya sendiri, dia membersihkan badan dari kesan peluh yang mencurah-curah tadi.
Di bawah pancuran air yang suam-suam kuku, dia menghimpun kekuatan yang bersisa. Dia tidak mahu percutian di situ rosak hanya kerana kerenah tubuhnya yang tidak begitu memberikan kerjasama. Entah apa kenanya, sejak masuk ke rumah itu, dia terasa tidak begitu sihat sekali. Lebih tidak sihat daripada semasa berada di Rumah Marzita tetapi dia mendiamkan sahaja perkara itu daripada pengetahuan Damien.
Jam di tangannya sudah pukul 5.00 petang sewaktu dia menutup pintu di belakangnya. Damien yang sentiasa berada di sisi memegang erat tangannya bagaikan tidak mahu dia berubah fikiran. Dia tahu Damien amat memahami perasaannya terhadap klinik, hospital dan segala apa yang berkaitan dengan perkara itu.
 “Abang nampak Maya?” Dia tertinjau-tinjau untuk mencari kelibat Maya tetapi tidak ada. Rumah itu terasa amat kosong. Maisara pun masih berkurung di bilik.
“Entahlah.” Damien ikut memerhati sama. “Dah balik kut? Dia ada kunci sendiri, biarlah.”
Kali ini Anis tidak bertanya lagi. Itu pun satu soal yang berlegar dalam fikirannya kini. Bubur apa yang dimasak oleh Maya untuknya? Kenapa bau bubur itu amat busuk dan meloyakan? Kenapa bubur itu rupanya amat kelabu dan menjijikkan? Malah dia seolah terlihat cacing halus bergerak-gerak di dalamnya. Keseluruhannya bubur itu berbau seperti bangkai. Huk! Teringatkan sahaja, perutnya bergelora semula.
“Anis tak apa-apa?” tanya Damien sebaik sahaja menyedari perubahan air muka Anis.
“Anis… Anis nak muntah.” Serentak dengan itu, dia menpercepatkan langkahnya menuruni tangga dan meluru mencari sinki. Di situ air liurnya terlambak bersama angin perut yang bergelora keluar. Untuk beberapa saat dia rasa urat perutnya kejang.
Damien mengurut belakang Anis beberapa kali. Dia memandang Anis dengan pandangan sayu.
“Kalau Anis tak larat sangat, biar abang beli sajalah makanan. Anis tunggu di rumah. Boleh?”
Terus Anis menggeleng. Tunggu di situ pun rasanya tidak banyak membantu keadaannya. Dia bukan tidak larat cuma dia rasa meloya apabila teringatkan semula bubur yang masak Maya tadi.
“Abang boleh tolong tak?”
Damien segera mengangguk.
“Tolong buang semua bubur yang dimasak Maya tadi. Buang juga semua makanan yang dimasak dia. Anis tak tahanlah. Anis meloya,” kata Anis dengan bersungguh-sungguh sebelum melangkah keluar meninggalkan dapur. Damien tinggal di situ melakukan apa yang dipinta Anis.
Sebaik sahaja, Anis meninggalkan dapur, dia menuju ke arah pintu hadapan dan membukanya. Udara petang yang segar membuatkan dia rasa lebih bertenaga. Gelora di dalam dadanya juga telah beransur pulih.
“Dah?” Dia bertanya apabila Damien datang semula kepadanya.
“Dah tapi….”
“Tapi?”
“Tak ada apa pun di dapur. Dalam periuk tak ada, dalam peti ais tak ada, bawah tudung saji pun tak ada,” jawab Damien. “Cuma ada bubur semangkuk yang abang bawa naik ke atas tadi saja. Tapi itu abang dah buang.”
Anis tidak tahu mahu menjawab apa. Esoklah dia bertanya kepada Maya.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.