“Lelaki ni kalau kita tunjuk kita
sayang sangat dekat dia, dia mulalah buat perangai.” Nana luahkan pendapatnya
bersama hempasan punggung. Segelas susu sejuk dalam pegangannya langsung
diletakkan di atas meja, bimbang tumpas di atas sofa yang didudukinya bersama
Hawa.
“Entahlah, itu cuma pendapat
engkau. Aku pun tak pasti sama ada dia sayang aku ataupun tidak.” Hawa membalas
sambil menekan punat kawalan TV beberapa kali. Hatinya tertarik untuk menonton
sebuah filem cinta yang berjudul ‘Return To Me’, sinopsisnya menarik. Macam
cerita sedih sahaja.
“Kalau tahu dia tak sayangkan
engkau, kenapa masih tertunggu-tunggu dia?”
“Aku kata aku tak pasti,” ulang
Hawa. Kata-kata Nana semakin menyakitkan hati namun dia biarkan sahaja. Dia
faham, Nana hanya cuba membuat dia berfikir lebih matang.
“Kalau tak pasti, carilah
kepastian.”
Hawa langsung termenung. Cerita
‘Return To Me’ baru sahaja bermula, babak pertama dikejutkan dengan kematian
isteri watak utamanya. Ah! Hatinya makin terasa sedih. Sudahlah dia sedang
bersedih.
“Kenapa kau diam? Kau tak berani
tanya dia?” Nana bertanya tanpa memandang Hawa. Dia juga menumpukan perhatian
ke arah televisyen.
“Tak guna,” balas Hawa.
Jawapan Hawa membuatkan Nana
menoleh. “Tak guna kau kata? Kau mesti tahu di mana tempat kau di hati dia,
Hawa. Kau tak boleh biarkan dia mempermainkan engkau sekali lagi.”
“Mungkin dah nasib aku macam ni.”
Hawa bersuara perlahan. Jauh di sudut hatinya sendiri menangisi jawapan itu.
Nasib?
“Nasib kita takkan berubah kalau
kita tidak mengubahnya, Hawa. Tuhan suruh kita berusaha, bukan duduk diam saja
dan biar orang lain buat apa saja pada kita.”
Hawa membisu. Ada kalanya, dia
sendiri marah dan jemu dengan sikapnya sendiri. Dia tidak tahu kenapa dengan
mudah sahaja, dia jatuh hati kepada Adam sekali lagi. Padahal pernah suatu
ketika dahulu, dia kecewa apabila hubungannya dengan Adam berakhir begitu
sahaja. Kini, sekali lagi Adam muncul dalam hidupnya, dan dia... tidak dapat
menolak rasa cinta yang seolah-olah tidak pernah mati untuk Adam.
“Kau sudah lupa ke? Bertahun-tahun
kau cuba lupakan Adam, kan? Bahkan kau terima Hafiz semata-mata kerana kau sudah
berputus asa mencari dia?”
“Dan kau juga tahu yang akhirnya
Hafiz tak boleh menggantikan tempat Adam? Malah aku rasa tak ada sesiapa pun yang
boleh menggantikan tempat Adam dalam hati aku.” Hawa membalas setelah sekian
lama berdiam diri.
“Jadi? Kau nak biarkan Adam
mempermainkan perasaan kau sekali lagi? Hey, girl. Wake up. He’s married. Dia
ada isteri yang dia peluk setiap malam sedangkan kau di sini asyik bersedih
mengingatkan dia. Come on!Open your eyes!”
Hawa terdiam cuma air matanya
sahaja yang melebat.
“Sorry, Hawa. Kau berhak dapatkan
yang lebih baik.” Nana gosok bahu Hawa.
Hawa menggeleng. “Kau tak faham,
Nana. Kau tak faham.”
******
Dua hari selepas itu semasa mereka berdua
sedang menikmati makan malam di sebuah medan selera...
“Apa yang menarik sangat tu?” tegur
Nana. Dia baru kembali ke meja bersama sepinggan nasi beriani dan segelas air
tembikai.
Hawa alihkan pandangan matanya. Dia
tunduk menyedut air tembikai di dalam gelasnya. Apa yang dilihat, hampir lagi
membuat dia menitiskan air mata.
“Cakaplah. Kenapa kau sedih sangat
ni?” Nana pegang tangan Hawa sebelum terjenguk-jenguk ke arah yang dipandang
Hawa seketika tadi. Namun dia tidak melihat apa-apa yang pelik di situ selain
orang ramai yang lalu-lalang.
“Adam,” jawab Hawa. Dia cuba
menguatkan diri dengan bersikap seperti biasa sahaja. Mi goreng dalam
pinggannya disuap ke mulut perlahan-lahan namun rasa laparnya telah hilang.
“Adam? Kenapa tak panggil dia makan
sekali? Aku pun dah lama tak berbual dengan dia.” Nana teruskan suapannya.
“Dia datang dengan isteri dan
anak-anaknya.” Hawa pandang Nana.
Nana tergamam.
“Kau tak pernah jumpa isterinya?”
Hawa menggeleng. “Aku... tak tahu
macam mana nak berdepan dengan isteri dia.”
“Kau rasa bersalah?”
Hawa terus menggeleng, kemudian
mengeluh. Dia terpaksa mengakui hakikat itu. “Ya, sedikit. Sebagai seorang
perempuan tentulah aku rasa amat bersalah kerana mencintai suaminya. Tetapi dalam
sudut yang lain, aku rasa marah pada dia.”
“Kenapa pula?” Nana tersenyum
sinis. “Kerana bagi kau, Adam tu kau punya?”
“Kau silap, Nana. Apakah kau fikir,
aku ni seteruk itu?”
“Sorry.”
“Aku cuma marah kerana, dia telah
membuat Adam bersedih. Bukankah sepatutnya, dia menghargai apa yang dia ada?”
“Dari mana kau tahu?” Nana letakkan sudu dan
garfunya di sisi pinggan. Perbualan itu semakin menarik minatnya.
“Aku tahulah. Aku dah lama kenal
Adam, sejak kecil lagi. Adam, kalau dia suka seseorang, dia akan jaga baik-baik.
Dia akan sayang, dia akan berkorban apa saja. Ini kan pula isteri dia? Keluarga
dia?”
Nana mengeluh perlahan.
“Jadi kau cintakan Adam dan Adam?”
Hawa menggeleng lagi. Memang dia
cintakan Adam seperti dahulu namun dalam masa yang sama dia juga sedar Adam
bukan lagi Adam yang pernah dikenalinya. Adam kini, suami seorang perempuan
lain. Perempuan seperti dia juga, yang ada perasaan. Dan ayah kepada anak-anak
yang mengharapkan ibu bapa mereka kekal bersama hingga ke akhir hayat.
Kesemuanya mengharapkan sebuah keluarga yang ideal dan bahagia.
Lalu, apa fungsinya dia?
*****
Sebulan selepas itu...
“Dia takkan datang, Adam.” Nana
melangkah mendekati Adam yang duduk termenung di hadapan Laut Cina Selatan yang
terbentang luas.
Adam tergamam lama.
“Hawa sudah pergi...” tambah Nana.
Dia hulurkan sepucuk surat kepada Adam. “Hawa minta aku sampaikan surat ini
kepada kau.”
“Surat?” Adam ambil sepucuk surat
yang dihulurkan oleh Nana.
“Kau tahu sajalah Hawa tu, dia
old-fashion sikit. Orang lain dah guna Webchat, dia masih suka tulis surat
macam orang dulu-dulu.” Nana ketawa sumbang.
“Tapi dia ke mana? Kenapa dia tak
datang?” Adam renung muka Nana.
“Mungkin dalam surat tu dia ada
beritahu,” balas Nana sambil mengangguk beberapa kali. Setelah Adam mula
membuka surat bersampul biru itu, baru Nana bergerak pergi meninggalkan Adam.
Perlahan-lahan, Adam membukanya.
Lelaki yang aku cintai, dulu,
sekarang dan selama Tuhan menghadirkan rasa cinta ini dalam hati aku.
Tentu kau sudah tahu daripada Nana
yang aku tidak akan datang hari ini. Tidak juga esok, dan mungkin tidak juga
selama-lamanya kecuali Tuhan mengaturkan pertemuan kita sekali lagi.
Terlebih dahulu, aku ingin kau tahu
betapa aku menyayangi dan mencintai kau dalam apa pun situasi. Aku juga tidak
pernah mengharapkan apa-apa balasan daripada kau walaupun sepatah pun kata
sayang dan rindu kerana apa yang aku rasa terhadap engkau cukup ikhlas. Dan
kerana cinta dan sayang itulah, aku mengambil keputusan ini, Adam.
Dulu, aku menangisi perpisahan
kita. Aku kecewa bertahun-tahun sehingga hati aku sudah terasa lali untuk
mengingatimu dan merinduimu waktu itu. Dalam setiap diri lelaki yang aku jumpa,
aku tercari-cari bayangmu. Sungguh, aku tidak dapat melupakanmu walaupun pada
waktu itu, kau sudah melupakan aku. Tanpa engkau di sisi, aku lemah. Kau
kekuatan aku selain mama dan papa. Namun, aku sedar... ketentuan Tuhan sudah
begitu. Tuhan pisahkan kita, Tuhan ambil mama dan kemudian Tuhan ambil papa.
Tidak ada apa yang tinggal lagi, Adam. Aku lemah selemah-lemahnya waktu itu.
Aku merangkak sendiri untuk meneruskan kehidupan dan menjadi seperti aku yang
kau lihat kini.
Kemudian... Tuhan temukan kita
semula. Dan kali ini, kau hadir bukan lagi sebagai Adam yang pernah aku kenal.
Kau sudah lain, kau sudah punya isteri dan anak-anak. Kau sudah punya kehidupan
yang baik. Namun, maafkan aku Adam. Maafkan aku kerana... jauh di sudut hatiku
masih mencintaimu.
Sudah puas aku berfikir. Sudah puas
aku selami apa yang aku rasa dan akhirnya aku sedar, rasa cinta dan sayang ini
bukan sengaja aku ada-adakan. Ia nikmat Allah SWT untuk aku merasai kembali rasa
cinta yang aku fikirkan sudah tidak wujud lagi dalam hati aku. Namun, aku
bersyukur kerana Tuhan juga berikan aku iman dan akal. Maka, izinkan aku terus
menyayangimu hingga perasaan ini dihilangkan dari hatiku. Kau sepatutnya rasa
bertuah kerana selain isteri dan anak-anakmu, ada insan lain yang menyayangi dan
selalu mendoakan dirimu. Bukankah lebih baik diri kita disayangi daripada
dibenci sesiapa?
Satu perkara yang kau perlu tahu
ialah, kau selalu tidak pandai menghargai aku. Betapa aku mengharapkan kau sudah
berubah namun akhirnya aku sedar, kau tetap juga begitu. Kau selalu fikir, aku
akan selalu ada di sisimu. Kau selalu fikir, masa itu masih panjang, sedangkan
sepatutnya sudah tahu, masa itu selalu ada tempohnya. Dan hidup ini bukan kita
yang mengaturnya. Kau harus merebut peluang yang datang, namun kau seperti
dahulu juga. Membiarkan aku lemas dalam perasaan aku sendiri. Maka tidak hairan
jika sekali lagi, aku membawa diri aku jauh darimu. Kerana hati aku
mentafsirkan bahawa,
kau sebenarnya tidak mencintai aku, Adam.
Betapa aku mengharapkan engkau
menghargai peluang kali kedua ini, sayangnya kau masih seperti dahulu dan
akibatnya... kau juga akan kehilangan aku sekali lagi. Kau tak kisah, kan?
Bersama pemergianku ini, aku
titipkan doa semoga kau bahagia di sisi Ana dan anak-anakmu. Seikhlasnya aku
mendoakan kebahagiaanmu kerana aku tahu, di hujung usia nanti, semua sudah
tidak bererti lagi selain kehidupan yang bahagia menanti masa tua.
Biarlah aku bawa diri aku jauh-jauh,
Adam. Tidak ada gunanya aku hadir lagi dalam hidup kau. Mungkin sekarang kau
masih sudi mendekati aku, tetapi nanti apabila hidup kau sudah bahagia semula,
aku tidak berguna lagi. Aku sedar di mana kedudukan aku dalam hidup kau. Tidak
pernah ada tempat, kan?
Dan Adam, biarpun nanti semasa tua
aku hidup keseorangan dan kau juga hidup berseorangan... tak perlulah kau cari
aku lagi selagi kau tak pandai menghargai aku dalam hidupmu. Apa yang engkau
perlu tahu ialah, cinta aku terhadapmu ikhlas. Kau akan tetap ada dalam doaku
selagi aku masih bernafas. Dengan itu, aku sudahi surat ini.
Selamat tinggal, sayang. Semoga kau
bahagia setiap masa.
Adam termangu. Surat itu pun
diterbangkan angin ke tengah laut...