Saturday, November 2, 2013

Sejak Kita Bertemu -Bab 2



Bab 2
Keesokan harinya…
ANIS baru sahaja selesai mengemas meja bersama Mak Bija di dapur. Walaupun Mak Bija pembantu rumah yang sudah bertahun-tahun bekerja di rumah ayah mertuanya, dia tetap rasa perlu untuk turun tangan membantu apa yang mampu. Sedang dia membasuh cawan di sinki, Mak Bija memanggilnya.
“Puan, Tan Sri panggil.”
“Tan Sri panggil? Kenapa dia belum pergi kerja lagi?”
Mak Bija angkat bahu dengan wajah tidak tahu apa-apa.
Melihatkan reaksi Mak Bija, Anis segera mengeringkan tangannya. Terdetik di hatinya bibit kerisauan, seandainya kelengahannya menyusahkan orang lain. Setibanya di ruang tamu, dia tergamam. Dilihatnya, selain Damien, ayah mertuanya turut berada di situ menunggunya dengan wajah yang serius. Berderau darahnya.
“Ada apa, abah?” Dia bertanya sambil mengambil tempat duduk di sebelah Damien di atas sofa. Entah kenapa terasa tubuhnya seram sejuk sahaja. Mungkin kerana debaran yang sedang mengasak dada.
“Anis tak sihat ke malam tadi? Cepat betul balik?” Tan Sri Dzairil terus bertanya walaupun dia belum menjawab pertanyaan Anis.
Air muka Anis terus berubah. Adakah Damien sudah memberitahu ayah mertuanya tentang apa yang telah berlaku pada malam tadi? Dia menggeletar halus. Risau sekiranya hal itu menjadi besar.
Damien pula hanya mendiamkan diri.
“Kalau tak sihat, pergilah jumpa doktor,” sambung Tan Sri Dzairil lagi apabila Anis terus tidak menjawab pertanyaannya.
“Sihat cuma malam tadi… Anis penat sikit,” balas Anis.
Dia benar-benar berharap tindakannya malam tadi tidak mengundang rasa marah atau jengkel di hati ayah mertuanya. Dia mula berasa takut. Rasa yang tidak pernah hadir sebelum ini. Dia takut ayah mertuanya membencinya pula. Sudahlah dia tidak dapat memberikan cucu yang diharap-harap selama ini.
“Kalau macam tu, tak apalah. Abah ingat Anis sakit. Pia pun ada cari Anis malam tadi.”
 “Nanti Anis telefon Kak Pia minta maaf,” jawabnya walaupun dia masih merasakan seperti ada sebab lain dia dipanggil ke situ.
Tan Sri Dzairil menyeluk kot yang dipakainya. Segugus kunci dikeluarkan dari poket lalu diletakkan di atas meja kopi di antara dia dan Anis. Kemudian dia mengangkat muka memandang wajah Anis dan Damien pula.
Anis terpinga-pinga. Namun dia terasa berat mulut untuk bertanya.
“Ambillah. Itu untuk Anis,” kata Tan Sri Dzairil lagi sambil memandang wajah Anis dengan tenang.
“Untuk… untuk Anis?” Anis seolah-olah tidak percaya. Dia menoleh ke arah Damien, namun Damien hanya buat tidak tahu.
Tan Sri Dzairil angguk.
“Ya, untuk Anis. Ambillah. Abah belikan Anis sebuah rumah di tepi laut. Abah harap Anis suka.”
Ha? Anis benar-benar tergamam. Sebuah rumah di tepi laut? Sedar-sedar sahaja bahunya dipaut Damien. Dia terpinga-pinga.
“Abah hadiahkan sebuah rumah untuk Anis. Hadiah perkahwinan kita,” terang Damien pula sambil tersenyum panjang.
Rasa tergamam Anis mula hilang. Perlahan-lahan dia dapat menerima kejutan itu. Akhirnya dia tersenyum dan berkata, “Terima kasih, abah. Besar sungguh hadiah abah, tak terbalas oleh Anis.”
Tan Sri Dzairil tersenyum nipis.
“Abah tak harapkan apa-apa balasan material. Cukuplah kalau Anis dan Damien dapat hidup berdua baik-baik. Saling mempercayai. Saling menjaga. Saling menghormati. Dalam rumah tangga, kepercayaan adalah asas. Kalau hilang kepercayaan, hilanglah pertahanan. Kalau hilang pertahanan, macam-macam perkara boleh berlaku. Anis kena tabah. Anis kena jaga rumah tangga Anis betul-betul. Jangan dengar sangat cakap orang.”
Anis tertelan air liur. Terasa benar dia disindir.
Mujurlah selepas itu ayah mertuanya beredar. Tinggal dia bersama Damien, sama-sama merenung segugus kunci di atas meja.
*******
“ANIS buat keputusan.” Dengan tiba-tiba Damien berkata. Suasana ruang tamu yang sunyi sepi tadi pun berakhir.
“Anis tak tahu,” balas Anis perlahan.
Matanya masih merenung gugusan kunci yang berada tidak jauh daripadanya. Sejak diletakkan di situ, dia belum lagi menyentuhnya. Bukan dia tidak teringin tetapi dia gementar.
“Itu kan Anis punya? Anislah yang kena buat keputusan.”
Anis tahu, ingin sahaja dia menjawab begitu tetapi bukan semudah itu untuk dia membuat keputusan. Ada sesuatu yang menghalang jiwanya daripada terus sahaja melompat dan mengambil kunci itu.
“Pada abang, ia tiba tepat pada waktunya.” Damien berkata dengan selambanya.
Anis menoleh ke arah Damien. Entah kenapa dia mula berasa curiga.
“Abang ada kena-mengena dengan soal ni?”
Damien menggeleng pula.
Jadi Damien pun tidak tahu apa-apa mengenai kunci itu? “Kalau abang pun tak tahu … kenapa abang cakap macam tu?”
Damien menghela nafas panjang. Kemudian dia tersenyum pula. “Apa kata kalau kita anggap saja yang kita pergi bercuti di sebuah resort?”
“Maksud abang?”
“Perkara ni bukan tak boleh dibawa berbincang lagi. Kalau kita pergi sana dan Anis rasa tak suka rumah tu, kita mungkin boleh buat sesuatu. Ubahsuai ke, atau jual saja dan beli yang lain,” jawab Damien.
“Boleh ke?” Anis hairan. Damien seolah-olah menganggap perkara itu begitu mudah. Sepertinya harga rumah itu hanya seseringgit dua.
Damien angguk. “Yang pentingnya, kita pergi tengok dulu rumahnya macam mana. Lagipun kalau Anis tak pergi tengok langsung, apa pula kata abah, kan?”
Anis terus terdiam. Rasa serba tidak kenanya timbul semula.
Menyedari hal itu, cepat-cepat Damien berkata, “Abang… abang tak paksa. Cuma itu saranan abang. Jangan Anis rasa terpaksa pula.”
Anis geleng. Entah kenapa sejak mendengar kata-kata Maisara semalam, hatinya mudah sahaja berasa cuak dan mencurigai semua perkara. Dia mula berfikir dan melihat keadaan keluarga itu dari sudut yang lain. Malah kini dia mudah berasa takut jika apa-apa yang dilakukannya di rumah itu mengundang rasa marah dan benci di hati ayah mertuanya.
“Kita pergi,” katanya perlahan.
“Macam kena paksa saja? Nak pergi tengok rumah sendiri kenalah gembira sikit.” Damien menegur.
“Sukalah ni…,” jawab Anis sambil cuba melindungi rasa serba-salahnya lagi. “Tapi abang perlu tolong Anis kemaskan baju.”
“Beres! Tak ada hal.” Damien tarik lengan Anis. Mereka berdua melangkah bersama naik ke tingkat atas.
******
BEBERAPA minit selepas itu, Damien meluru turun ke dapur. Ada sesuatu yang ingin dilakukannya.
“Macam mana? Menjadi tak?” Menerpa sahaja pertanyaan dari bibirTan Sri Dzairil sewaktu dihubungi melalui telefon.
“Nampaknya, okey. Dia sedang kemas baju kat atas.” Damien masuk ke ruang dapur, alasannya yang diberikan kepada Anis tadi ialah dia haus. Jadi dia ke situ untuk mendapatkan segelas air.
“Alhamdulillah. Abah harap gembira kat sana.”
“Mujur rumah tu dah siap,” balas Damien.
“Itulah abah ingat nak serahkan pada hari jadi dia nanti. Tapi dah jadi macam ni, lebih baiklah kita serahkan sekarang saja.”
“Saya harap dia faham kita sayangkan dia,” balas Damien.
Dia teringatkan apa yang telah terjadi pada malam tadi. Dia benar-benar tidak sangka, hingga ke tahap itu hati Anis terluka. Tetapi satu perkara yang orang lain mungkin tidak sedar, luka di hati Anis, luka juga di hati dia.
“Ini mesti kerja keluarga mak cik kamu. Kalau tak mak cik kamu, mesti mulut si Maisara tu. Mulut macam apa saja,” balas Tan Sri Dzairil.
“Itulah masalahnya, abah. Yang sudah tu, sudahlah. Saya dah pun berkahwin dengan Anis. Kak Pia pun dah kahwin, tak payahlah nak ungkit atau pandai-pandai aturkan jodoh orang. Lebih baik mereka sibuk carikan jodoh untuk Maisara tu pula.”
“Mereka ada cakap apa-apa ke pada Dami?”
“Pantang jumpa,” balas Damien. “Cuma saya kesiankan Anis. Kita mungkin dah biasa dengan Maisara dan keluarga dia tapi Anis tak.”
“Tak apalah. Nanti abah cuba nasihatkan mereka apa yang boleh. Tentang Anis tu, cubalah Dami pujuk dan yakinkan dia. Abah tak nak benda ni jadi luka, kemudian menanah.”
“Terima kasih, abah. Saya cuba,” balas Damien.
“Cuba itu sebahagian saja daripada ikhtiar, sebahagian lagi ialah doa. Usaha tanpa doa itu sombong namanya.”
“Baik, abah. Tapi kerja-kerja saya macam mana pula? Saya tak tahu abah nak serahkan kunci tu hari ni,” kata Damien semula sambil menjeling ke arah Mak Bija, yang sesekali mengangkat muka memerhati tingkah lakunya di dapur. Dia memberikan isyarat meminta segelas air sejuk untuk diminum. Sementara itu dia duduk di meja makan menunggu.
“Itu kamu jangan risau. Abah akan suruh penolong pengurus atau Maisara uruskan mana-mana yang penting dulu. Kamu ambillah cuti dua minggu.”
“Dua minggu?”
“Tak cukup? Berapa lama Dami nak?”
Damien ketawa kecil. Terasa di hatinya, betapa sayang ayahnya kepada Anis. Maklumlah menantu tunggal. Sejenak hatinya sebak. Kalaulah kembarnya, Danny masih ada…
 “Dami! Kenapa senyap? Berapa lama nak cuti?”
“Cukuplah dua minggu tu, abah. Itu pun Anis mesti terkejut, entah-entah dua hari saja dia dah nak balik ke sini,” jawab Damien kelam kabut.
Tadi semasa Anis bertanya berapa banyak baju yang perlu dibawa ke sana, dia hanya kata untuk tiga hari. Kalau sudah dua minggu, mungkin mereka perlu bawa lebih banyak.
“Pujuklah dia tinggal kat situ lama sikit. Tempat tu cantik. Tepi laut.”
“Abah pernah ke situ ke?”
“Pernah,” balas Tan Sri Dzairil. “Tapi dah lama dulu. Semasa abah dengar Anis suka rumah di tepi laut, abah terus teringatkan rumah tu. Mujurlah rumah tu pun memang nak dijual.”
“Berapa….”
“Itu Dami tak payah tahu,” sampuk Tan Sri Dzairil dengan cepat. “Asalkan Anis gembira semula, abah tak kisah.”
Damien tersenyum sebelum meneguk air sejuk yang dibawakan Mak Bija sebentar tadi. Sejuk tekaknya sesejuk jiwanya. Dia bersyukur kerana mendapat seorang ayah yang sangat memahami masalah mereka berdua.
“Terima kasih, abah.”
“Ingat pesan abah. Pujuk dia dengan lembut. Luka di luar kita boleh nampak, luka di dalam kita tak tahu berapa besarnya.”
Damien menarik nafas perlahan-lahan.
******
DI DALAM bilik tidur di tingkat atas, Anis membuat satu panggilan. Setelah tiga kali menekan nombor yang sama, barulah panggilannya dijawab.
“Maria!” katanya setelah Maria habis menjawab salamnya di hujung sana.
“Aku baru nak telefon kau,” balas Maria.
“Habis tu? Kenapa tak telefon?”
“Nak telefonlah ni tapi banyak benar pula kerja pagi ni. Sementara Cik Pia cuti kahwin kan, semua perkara aku yang kena handle.”
“Nasib engkaulah, Maria,” balas Anis.
Walaupun dia bersimpati dengan kesibukan Maria namun apa dayanya untuk menolong. Dia sudah pun berhenti kerja di situ sejak berkahwin dengan Damien enam bulan yang lalu.
“Apa hal engkau telefon ni?” tanya Maria pula.
“Aku nak beritahu, esok aku nak ke Melaka.”
“Buat apa? Damien ada mesyuarat di sana ke?”
“Taklah. Aku pergi bercuti.”
“Berdua saja?”
“Habis tu? Takkan nak angkut semua orang pula kut?”
Maria melepaskan tawa. “Manalah tahu, kalau-kalau ayah mertua kau pun ikut sekali. Selalunya kau orang jarang berenggang. Kemana-mana pun selalu pergi bertiga.”
Anis tersenyum. Kata-kata Maria memang betul. “Kali ni kami pergi berdua saja sebab ada hal lain sebenarnya.”
“Hal apa pula?”
“Sebenarnya aku nak pergi tengok rumah aku kat sana,” jawab Anis.
“Rumah kau? Bila masa pula kau beli rumah di Melaka? Kau tak pernah cerita pada aku pun.”
“Memanglah aku tak beli. Tapi tadi… ayah mertua aku hadiahkan aku sebuah di rumah di situ. Jadi aku kenalah pergi tengok. Kalau aku buat bodoh saja… nanti apa pula kata dia, kan?”
 “Really? Wah, bertuahnya kau! Jadi kau nak ke rumah itulah ya? Mesti cantik, kan?”
“Kata suami aku tadi, rumah tu di tepi laut. Kalau rumah tak cantik, laut tetap cantik.”
“Haah. Bestnya…. bolehlah aku bercuti ke sana juga nanti,” balas Maria lagi.
“Aku kena minta izin Damien dulu. Selepas tu, aku SMS kan alamat rumah tu pada kau. Bolehlah kau bawa anak kau sekali ya.” Anis sedar suaranya sedikit bergetar apabila menyebut soal anak.
“Tak ada masalah. Daniel pun dah lama tak jumpa mak angkat dia. Entah kenal entah tidak lagi,” jawab Maria sambil bergurau.
Anis hanya ketawa kecil menyambut gurauan Maria itu walau dalam hatinya cukup terasa pahit.
“Okeylah aku bukan nak ganggu kau kerja, aku  cuma nak bagitahu itu saja,” katanya untuk menamatkan perbualan.
“Anis,” panggil Maria. “Apahal semalam tu?”
Anis terdiam seketika. Kemudian dia menarik nafas panjang.

“Nantilah aku cerita,” katanya sebelum termenung jauh.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.