PETANG bertamu
dengan pantas, bagaikan berebut-rebut dengan matahari yang masih belum jemu
bercumbu dengan bumi. Lalu petang itu terang-benderang dan masih panas walaupun
jarum jam sudah menunduk hampir ke pukul 6.30 petang.
Setelah Maya
pulang, Anis dan Damien bagaikan dua orang budak kecil yang bermain
pondok-pondok. Habis satu rumah besar itu digeledah dan dilawati tanpa jemu.
Semua bilik besar dan kecil dimasuki dan akhirnya mereka keluar ke sebuah
anjung batu yang terletak di luar rumah itu dengan wajah yang gembira dan puas.
Anjung batu itu
berbentuk empat persegi bujur dan dibina di atas sebuah bongkahan batu besar.
Hujungnya betul-betul berada di atas gigi pantai. Ketinggian tempat itu ke
dasar pantai lebih kurang 30 kaki. Jika dijenguk ke bawah, hanya hamparan bongkahan
batu-batu besar dan kecil yang menanti.
“Cantik tempat
ni,” kata Anis sambil tersenyum.
Dia berasa puas
hati dengan rumah itu luar dan dalam. Anjung batu yang dibina di atas bongkahan
batu itu yang paling disukainya. Ia unik dan agak terlindung daripada jalan
oleh sebuah hutan kecil yang tumbuh semulajadi di tepi lereng pantai di sebelah
kiri rumah.
Damien bersandar
di penghadang anjung batu yang diperbuat daripada besi yang berukir awan larat.
Dia memandang ke arah Villa Helena.
“Apa rancangan
Anis sekarang?”
“Rancangan?”
Anis termangu. Dia tidak memikirkan apa-apa selain mahu ke situ dan
menghabiskan masa bersama Damien.
“Anis nak
tinggal di sini?” Damien toleh ke arah Anis.
Anis tergamam.
Itu sesuatu yang tidak pernah terlintas langsung di fikirannya. Dia lantas
menggeleng.
“Abang dan abah
tinggal di KL, takkan Anis nak tinggal sorang di sini?”
Damien
tersenyum. Sambil memandang wajah Anis dia berkata, “Kami akan ikut ke mana saja
Anis tinggal. Asalkan Anis gembira.”
“Itu kata abang.
Abah pula gembira di Rumah Marzita. Itu kan cinta hati, abah? Abang dah lupa?”
balas Anis pula.
“Kenapa Anis
harus menolak?”
Anis terdiam
seketika sebelum membalas, “Bukan menolak cuma Anis tak mahu mementingkan diri
sendiri. Kerana kegembiraan Anis, kegembiraan orang lain terkorban. Ini pun
sudah banyak Anis menyusahkan abang dan abah.”
“Tapi kalau Anis
nak tinggal terus di sini pun abang tak kisah. Abang boleh buka satu cawangan
di sini. Beroperasi dari sini pula.”
“Anis rasa lebih
baik kita jangan terburu-buru. Sehari mungkin suka, sebulan? Setahun? Belum
tentu,” jawab Anis.
“Tapi abang
sayangkan Anis sampai bila-bila…,” kata Damien sambil mendekatkan bibirnya ke
telinga Anis.
Anis ketawa.
Lain yang dibincangkan lain pula yang difikirkan oleh Damien.
Damien yang melihat,
terus sahaja memaut bahu Anis. Mereka berdiri bersebelahan sambil memandang ke
arah rumah seperti tadi juga.
“Kita fikir
kemudian sajalah,” kata Damien pula.
Anis menarik
nafas. Apa lagi yang boleh dikatakan? Dia memang tidak ada rancangan untuk rumah
itu. Mungkin belum ada hari ini, mungkin akan ada esok lusa. Dia berserah
sahaja. Yang pentingnya, buat masa ini dia mahu jauh dari Kuala Lumpur dan
wajah-wajah yang boleh membuatkan hatinya terluka.
“Anis perasan tak… rumah Anis ni bukan dua
tingkat?” tanya Damien pula.
“Bukan dua
tingkat ke?”
“Kalau campur
dengan loteng tu, jadi tigalah,” jawab Damien sambil menunjukkan jarinya ke
arah rumah. Dari situ kelihatan sebuah tingkap kecil terletak di atas bilik
tidur mereka.
Anis merenung
rumah itu betul-betul. Kini dia nampak tingkap kecil empat segi yang
ditunjukkan Damien.
“Tingkap sahaja
kut?” Itulah apa yang difikirkan. Mungkin tingkap itu tidak lebih daripada
sekadar penambah seri kepada rumah itu.
“Loteng,” balas
Damien sambil berpeluk tubuh pula. Masih bertegas dengan pendapatnya.
“Tingkap.” Anis
yakin itu cuma tingkap kerana memang tidak ada tangga naik ke atas rumah itu.
Damien mengeluh
pendek. Akhirnya dia menjawab sambil tersenyum. “Tak kisahlah loteng ke, bilik
ke… yang pentingnya Anis suka.”
Anis juga ikut
tersenyum. Sejuk hatinya mendengar kata Damien. Dia memang sukakan rumah itu.
Malah Vila Helena jauh lebih besar dan cantik daripada apa yang dibayangkan
selama ini. Dia bersyukur.
“Mari kita
periksa. Kalau loteng, Anis belanja abang makan ikan bakar malam ni. Kalau
tingkap, abang yang belanja,” ajak Anis. Tangan Damien ditarik.
Damien tidak
membantah. Mereka berdua berkejar-kejaran pula ke dalam rumah dan matahari pun
mengalah kepada aturan Tuhan.
*****
“ABANG patut
minta pelan rumah ni dari abah,” kata Anis. Riak wajahnya menunjukkan dia
sedang runsing melihat kelakuan Damien yang seperti orang gila. Ketuk sana,
ketuk sini.
Damien tarik
nafas. Perasaan geramnya bertambah. Dia belum mahu mengaku kalah. Bukan takut
mengeluarkan duit seseratus dua membayar harga ikan bakar tetapi ini soal
kepuasan hatinya. Hatinya yakin di atas bilik tidur mereka itu ada lagi sebuah
bilik lagi.
“Sudahlah tu,
bang,” tegur Anis apabila Damien masih lagi mundar-mandir tidak henti-henti.
Damien mendongak
ke atas, kemudian memandang ke sekeliling. Akhirnya dia masuk ke bilik yang
bersambungan dengan bilik tidurnya. Bilik yang dikhaskan untuk menyimpan beg
dan pakaian mereka. Sayangnya setelah puas dia membelek setiap almari dan
mengetuk sana sini, dia tetap tidak menjumpai apa-apa pintu rahsia ataupun
tangga yang boleh naik ke atas. Dia bertambah bengang.
Semasa dia
keluar dari bilik kecil itu, dia dapati Anis sudah bercekak pinggang berdekatan
katil. Tetapi dia masih belum mahu mengalah. Dia keluar daripada bilik itu pula
dan memerhati siling rumah itu.
“Nak cari tangga
loteng macam rumah orang putih dalam TV tu ke?” tegur Anis yang mengekori
Damien dengan rapat.
Damien angguk.
Dia melangkah laju dari bilik ke bilik di tingkat atas itu yang mempunyai empat
bilik besar kesemuanya. Setelah puas
diperiksa, dia masih hampa. Semua siling ditutup dengan plaster ceiling yang kemas. Tidak ada sebarang lubang.
“Puas hati?”
tanya Anis di tepi tangga.
“Abang tahu di
atas ni ada sebuah bilik lagi. Mungkin bukan satu… mungkin dua atau mungkin
tiga.” Damien menjawab tanpa memandang Anis. Dia bingung kerana kata hati dan
bukti tidak selari.
Anis menggeleng
beberapa kali.
“Anis tak
percaya? Satu hari nanti abang akan dapat juga naik ke loteng tu.”
“Bukan tak
percaya tapi tak payahlah beria-ia macam tu. Kalau jumpa loteng tu pun kita nak
buat apa?” Anis tersenyum pula.
Damien terdiam
seketika.
“Semasa abang
kecil dulu, abang suka duduk atas loteng. Abah siapkan loteng tu jadi tempat
bermain abang dan Danny. Kadang-kadang… kami jadikan tempat tu tempat menyorok
bila takut kena marah oleh arwah mak.”
“Jadi Rumah
Marzita pun ada loteng? Kenapa Anis tak tahu pun?”
“Sebab abang tak
cerita,” balas Damien.
Dalam usia
perkahwinan mereka yang baru mencecah enam bulan itu masih terlalu banyak
perkara yang belum diceritakan kepada Anis. Lebih-lebih lagi apabila Anis
dilanda kemurungan selepas itu. Tetapi jauh di dasar hatinya, dia ingin sekali
Anis tahu segala-galanya tentang dia dan masa lalunya.
“Sekarang abang
cari loteng tu sebab nak ajak Anis main di situlah?” Anis ketawa kelucuan.
Damien turut
ketawa. Pertanyaan Anis tadi mencuit hatinya.
“Kalau Anis
sudi,” balasnya sebelum menarik Anis masuk ke dalam bilik mereka semula.
Kakinya sudah letih dan mahu berehat sahaja. Namun ada jawapan yang tidak
berani disuarakan… jawapan yang sebenarnya.
“Yey, Anis
menang! Malam ni abang belanja ikan bakar!” kata Anis sambil merebahkan
tubuhnya ke atas tilam.
Damien senyum sahaja.
Dia gembira apabila Anis gembira. Kemenangannya tidaklah penting tetapi hatinya
tetap merintih. Dia pun ingin bermain di atas loteng bersama anak-anaknya satu
hari nanti… tetapi semua itu tidak mampu disuarakan. Lalu dia masuk ke bilik
air, menyapu air matanya. Dia segera mandi dan berwuduk untuk menunaikan solat
Maghrib, mungkin dengan itu kesedihannya akan gugur satu persatu.
*****
DARI atas bukit,
seorang perempuan tua menyaksikan segala-galanya. Sebuah kereta Hummer dan dua
orang manusia baru sahaja tiba di Villa Helena itu beberapa jam yang lalu. Dia
yakin, daripada gaya mereka, rumah itu akan kembali bercahaya pada malam itu
seperti beberapa tahun dahulu. Tetapi dia juga yakin cahaya itu akan malap
semula tidak lama kemudian seperti yang berlaku saban waktu.
“Hei! Apa
intai-intai orang ni?” sergah seorang anak muda berambut panjang paras bahu
beberapa tahun yang lalu.
Anak muda itu
adalah anak sulung daripada tiga beradik yang menghuni Vila Helena pada waktu
itu. Sekali pandang wajah anak muda itu seiras wajah seorang gadis dengan
rambut panjang terurai separas bahu jika tidak terlihat biji halkumnya yang
besar dan menonjol.
Dia diam sahaja.
Sergahan itu tidak dijawabnya. Namun hatinya kuat merasakan, kedatangan
keluarga itu di Vila Helena tidak akan lama.
“Berambuslah!
Buat apa tengok rumah orang ni?” kata anak muda itu lagi sambil membuka pintu
pagar Villa Helena. Daripada gayanya, anak muda itu ingin keluar bersama
adik-beradiknya yang lagi dua orang.
Dengan
terketar-ketar, dia menghayunkan langkah meninggalkan pagar rumah itu. Dia
datang hanya untuk memberi amaran tetapi oleh kerana begitu sambutan yang
diterimanya, niat hatinya dipendam sahaja. Biarlah mereka sekeluarga ditelan
keangkuhan mereka sendiri, kata hatinya. Lagipun sudah tujuh keluarga diberikan
amaran namun tidak ada satu pun yang mahu mendengar nasihatnya. Semua
menganggap dia seorang perempuan gila yang tinggal di atas bukit ataupun
seorang peminta sedekah yang hina-dina.
Hari ini… dia
melihat sebuah lagi keluarga menginap di Villa Helena. Jika mereka hanya
menginap semalam dua, mereka mungkin akan terselamat. Jika lebih daripada itu,
dia sendiri tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku. Apatah lagi jika
mahu mendiami rumah itu. Villa Helena bukan mudah untuk dijinakkan.
Tatkala dia
mendongak melihat lembayung senja yang mula merangkak tiba di kaki langit, dia
terpandang ke arah pokok besar di halaman rumah Vila Helena. Matanya terpaku
melihat berpuluh-puluh ekor burung belibis yang bermata merah sedang bertenggek
di segenap cabang dahannya. Lalu dadanya bagaikan dihentak pukulan yang amat
kuat. Nafasnya tercungap. Dia segera tahu masa yang dinantikan telah tiba.
Lantas, dalam
bunga senja yang kian kelam, dia melangkah pulang selaju yang boleh. Dia tidak
sanggup lagi berlama-lama di situ. Dia tahu Vila Helena akan mengamuk buat
sekian kalinya….
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.