AMAT RINDU KAMU ~ merupakan sebuah kisah semi-realiti masyarakat. Ia mengisahkan bagaimana seorang gadis bernama Hana telah kehilangan anak patung kesayangannya yang bernama Mr. Teddy. Dalam tempoh pencarian ini, Hana akan bertemu dengan pelbagai pengalaman baharu. Mr. Teddy pula menjadi saksi kepada satu demi satu pengalaman apabila jatuh ke tangan orang lain. Apakah Hana dan Mr. Teddy akan bertemu di akhir cerita? Mari kita ikuti kisah ini.
******************************************************
BAB
1
SEDAPNYA!
Bau yang menyerbak ke hidungnya membuatkan Hana tersenyum panjang ketika masuk
ke Restoran Janji Sayang. Perutnya yang sudah sedia lapar menjadi bertambah
lapar. Sudah terbayang-bayang roti banjir Abang Mat kegemarannya mencecah
lidah. Tanpa menghiraukan pandangan mata pelanggan yang memerhati, dia terus ke
belakang untuk mencari tempat duduk.
“Kenapa lambat?” tegur Puan Khalidah, ibu Hana
di kaunter. Tangannya ligat menekan mesin pengira untuk mengira bayaran makanan
pelanggan.
“Selepas
kelas habis ada perbincangan.”
“Di
kolej?”
“Haah.”
Hana tersenyum tawar. Dia tahu ibunya bukan marah tetapi mengambil berat. Dia
kembali membelek beg galasnya kerana ingin mencari beg dompet. Tiba-tiba, dia
tersedar sesuatu.
“Alamak!”
Dia
bingkas bangun dan membuka beg galasnya besar-besar. Menyelongkar satu-persatu
apa yang ada di dalam beg itu. Makin lama, makin yakin. Makin juga jantungnya
berdegup pantas. Dan air matanya sudah bersedia untuk menderu keluar.
“Kenapa?”
Puan Khalidah yang sejak tadi memerhati jadi cemas.
“Mak…
Mr Teddy Hana hilang!”
“Takkanlah
hilang. Ada dalam tu kut? Cuba cari betul-betul.”
Hana
mencebik. Air matanya sudah bergenang-genang di tubir mata. Dia sendiri tidak
mengharapkan sangkaannya itu berlaku.
“Cuba
cari dalam kereta. Mungkin tercicir.”
Tanpa
menunggu, Hana terus meluru keluar. Dia berjalan pantas ke arah keretanya yang
terletak di kotak parkir. Setibanya di situ dia mula menyelongkar keretanya.
Puas dia menjenguk ke serata tempat namun bayang Mr Teddy masih belum
kelihatan.
Air
mata Hana mula keluar. Dia tidak sangka perkara itu akan berlaku. Setelah puas
menangis sendiri, dia kembali melangkah balik ke restoran ibunya semula. Mungkin
ibunya boleh memikirkan sesuatu.
“Ada?”
Dari jauh lagi ibunya sudah bertanya.
Dia
menggeleng lesu.
“Hisy!
Tercicir di mana pula?” Puan Khalidah berkerut dahi seraya melihat sahaja Hana
melabuhkan punggung di kerusi semula.
Hana
tidak larat lagi untuk bersuara. Dia terlalu sedih.
Melihatkan
Hana begitu, Puan Khalidah mengeluh panjang. Dia tahu Hana sangat sayangkan
anak patung beruang sebesar bola kecil itu. Itulah hadiah terakhir yang
diberikan oleh arwah suaminya semasa Hana berumur 10 tahun.
Sejak
itu Hana dan anak patung beruang yang diberi nama Mr Teddy itu tidak pernah
berpisah jauh. Ke mana-mana Hana pergi, Hana akan membawa Mr Teddy bersama. Seolah-olah
Hana membawa semangat dan kasih ayahnya sentiasa. Dan kalau benar Mr Teddy
hilang, dia percaya hati Hana akan benar-benar terluka. Dia sendiri tidak tahu
bagaimana mahu memujuk Hana.
“Hana
nak pergi cari.” Selepas puas berfikir, Hana tidak boleh menunggu lagi.
Bagaimanapun dia mesti mencari Mr. Teddy sampai jumpa. Dia tidak boleh
kehilangan Mr. Teddy.
“Dah
petang, Hana. Hana nak cari ke mana?”
“Tak
kira, Hana nak pergi cari juga.” Hana tarik beg sandangnya dan lantas melangkah
ke pintu restoran.
PUAN
KHALIDAH pantas mengejar. Sikap Hana yang kelam-kabut menakutkan dia. Dia
bimbang Hana cuai dan terleka.
“Hana,
ajaklah Abang Mat temankan,” katanya apabila sempat mencapai tangan Hana.
“Tak
payahlah mak, semua orang sibuk. Waktu ni kan ramai pelanggan?” bantah Hana.
Dia tidak perlukan sesiapa pada waktu itu. Dia hanya perlukan Mr. Teddy.
“Hana…
mak takut tengok Hana macam ni. Tergesa-gesa bawa kereta tu nanti entah apa
jadi. Kalau tak, jangan pergi langsung,
Esok ajelah Hana cari di kolej.”
“Tak
boleh, mak.” Hana menggeleng keras. “Hana kena cari sekarang juga.”
Puan
Khalidah rasa hendak menangis. “Kalau macam tu biar mak ikut Hana.”
“Tak
payahlah, mak. Hana boleh pergi sorang.”
“Biar
saya temankan dia, mak cik.” Semena-mena satu suara lelaki mencelah
perbincangan mereka di kaki lima.
Hana
dan Puan Khalidah sama-sama menoleh. Berdiri berdekatan mereka, seorang pekerja
mereka bernama Badrul.
“Betul
ke ni, Bad?” Akhirnya Puan Khalidah bersuara. Dalam sedih tersirat rasa lega
apabila Badrul mahu membantu. Walaupun Badrul pekerja baharu di situ, dia
percaya Badrul seorang yang boleh dipercayai.
“Waktu
kerja saya dah habis,” jawab Badrul.
“Kalau
macam tu, pergilah ikut Hana sekejap. Dah petang ni, kolej pun dah tak ada
orang agaknya. Mak cik bimbang.”
“Saya
boleh temankan.”
Puan
Khalidah tersenyum lega. Dia menoleh ke arah Hana. “Pergilah cepat. Jangan
balik lambat sangat. Apa-apa hal telefon mak.”
Hana
tidak berdaya untuk membantah. Dia tidak suka Badrul mengikutnya ke kolej.
Dalam masa yang sama dia juga takut sekiranya tidak dibenarkan langsung ke
sana. Nampaknya terpaksa jugalah dia membawa Badrul bersama.
“Pergi
dulu, mak cik,” kata Badrul seraya tergesa-gesa mengejar Hana yang sudah
berjalan laju ke kereta.
Dari
tempatnya berdiri, Puan Khalidah hanya dapat menggelengkan kepala. Kasihan dia
melihat Badrul dipermainkan Hana.
SEBAIK sahaja Hana masuk ke dalam kereta, dia
terus menghidupkan enjin. Kemudian memasang penghawa dingin dan radio. Serentak
dengan itu, sebuah lagu Inggeris kedengaran lantang. Sehinggakan Badrul yang
baru duduk di tempat duduk terus menutupnya.
“Janganlah
tutup.” Hana menegur. Hampir lagi dia menepis tangan Badrul kalau tidak cepat
menahan diri.
“Perlahanlah
sikit. Terkejut abang.”
“Ikut
Hanalah nak pasang kuat mana pun.” Hana pulas volum radio itu sesuka hati.
Badrul
hanya menarik nafas. Dia buka tingkap.
“Heh!
Tutuplah tingkap tu.” Hana meninggikan suara. Dia tekan pula punat kawalan
tingkap di sebelahnya. Tingkap di sebelah Badrul naik semula. Lalu dikunci.
“Boleh
tolong perlahankan sikit radio ni? Sakit telinga.”
Hana
malas mahu berbalah. Dia perlahankan sedikit bunyi radio. Sedikit sahaja
asalkan Badrul duduk diam-diam.
“Apa
benda yang hilang?” Badrul pandang Hana. Dia sedar sesuatu telah berlaku
apabila terpandang Hana dan Puan Khalidah yang agak kelam-kabut di restoran
tadi.
“Mr
Teddy.” Hana menjawab acuh tidak acuh. Sejujurnya dia kurang suka sesiapa tahu
mengenai Mr Teddy. Dia yakin orang yang tidak memahaminya akan mentertawakan
dia.
Biar
betul? Badrul sukar hendak percaya. Mungkinkah dia tersilap dengar. “Apa
bendanya Mr Teddy ni? Macam anak patung beruang aje bunyinya?”
“Memang
la anak patung beruang.”
“Laaa…
yang kecoh-kecoh sampai nak nangis tu sebab anak patung hilanglah?” Badrul
tersenyum.
Hana
menjeling tajam. Kata-kata dan senyuman Badrul menyinggung perasaannya.
Nampaknya Badrul pun seperti orang lain juga. Tidak memahami dan selalu
mentertawakan dia. Walhal, Mr Teddy sangat penting kepada dia selain ibunya.
“Kalau
nak ketawa, pergi balik.” Dia sudah menekan berek untuk memberhentikan kereta
di tepi jalan. Pandai-pandailah Badrul cari jalan balik nanti.
“Eh!
Janganlah macam ni. Abang dah janji dengan mak cik tadi. Nanti dia marah kalau
abang tak temankan Hana ke kolej.” Badrul mula gabra. Dia tidak sangka Hana
terlalu sensitif dan ambil hati dengan kata-katanya tadi. Cemas rasanya.
“Kalau
nak ikut jangan ketawa. Tolong hormat sikit perasaan orang.” Hana teruskan
semula pemanduan. Puas hatinya sekarang.
“Okey,
maaf. Abang tak bermaksud nak sakitkan hati Hana.”
Hana
diam sahaja. Walaupun Badrul sudah meminta maaf namun apa yang telah terluka
akan tetap terluka.
“Maaf
ya?” ulang Badrul. Wajah tegang Hana benar-benar membuat dia rasa bersalah. Dia
sedar dia telah menyinggung perasaan gadis itu. Sesuatu yang tidak patut
dilakukannya.
“Anak
patung tu bukan sebarang anak patung. Jadi jangan berani-berani ketawakan dia.”
Badrul
menelan air liur. Dia angguk perlahan. Walaupun masih tidak begitu faham namun dia
yakin anak patung itu pasti sangat penting kepada Hana. Kalau tidak, tidaklah
Hana kelam-kabut berpatah balik ke kolej. Mungkin anak patung itu pemberian
daripada seorang yang istimewa. Kekasih mungkin…
“Abah
Hana yang beri anak patung tu.” Hana menambah. Dia tidak suka kalau Badrul
memikirkan yang bukan-bukan. Dia bukan gadis manis yang menerima anak patung
daripada teman lelaki. “Sebelum abah Hana meninggal.”
Oh!
Penjelasan Hana benar-benar membuatkan Badrul terdiam. Sekarang dia faham
kenapa Hana benar-benar tersinggung. Rasa bersalahnya mula berganda-ganda.
Menyesal kerana bercakap ikut sedap mulut.
Setibanya
di hadapan kolej, Hana memutar stering keretanya membelok ke kanan. Keretanya
menyusuri jalan kecil masuk ke sebuah kolej yang kelihatan sudah sunyi sepi. Dalam
hatinya berdoa semoga Mr Teddy ada di situ.
OLEH
kerana waktu kuliah sudah lama tamat, petak parkir banyak yang kosong. Hana
memilih petak parkir yang paling dekat dengan pintu masuk utama Kolej Tun Teja.
Selain keretanya terdapat sebuah kereta Naza Sutera dan sebuah kereta Honda
Civic. Dia percaya masih ada yang berada di dalam kawasan kolej dan itu
membuatkan rasa takutnya berkurangan.
“Nak
ikut ke nak tinggal sini?” Hana serba-salah sama ada mahu mematikan enjin atau
tidak.
“Ikut.”
Badrul lantas membuka pintu.
“Tunggu
ajelah dalam kereta.”
Badrul
tidak jadi melangkah keluar. Dia menoleh ke arah Hana. “Tak apalah. Biar abang
ikut.”
Hana
angkat bahu. “Terpulanglah tapi kalau penat nanti, jangan bising pula.”
Kali
ini Badrul tidak menjawab. Dia terus menolak pintu dan berdiri di luar kereta.
Itulah kali pertama dia menjejakkan kaki ke Kolej Tun Teja, sebuah sekolah
swasta di pinggir Bandar Melaka. Boleh tahan juga besarnya walau tidak sebesar
sebuah universiti awam.
Melihatkan
Badrul ingin mengikut juga, Hana matikan enjin dan mengunci kereta. Tanpa
mempedulikan Badrul, dia terus berjalan ke bangunan utama. Dia harap pintu
hadapan belum berkunci.Mujurlah sangkaannya tepat.
Badrul
pula tergesa-gesa mengejar Hana yang bergerak amat pantas bagaikan lipas
kudung. Mentang-mentanglah badan kecil molek, kata hati Badrul. Sejujurnya ada
rasa sedih yang menjalar ke lubuk hati. Dia sedar tubuh badannya yang besar
menyusahkan sedikit pergerakannya. Mungkin disebabkan itu Hana kelihatan tidak
selesa berdekatan dengannya.
Setelah
masuk ke dalam bangunan, Hana terus menuju ke arah café di sebelah kanan
bangunan. Di situ hanya ada dua orang pelajar berbangsa Cina sedang berbincang.
Meja yang lain semuanya kosong. Café juga sudah ditutup.
“Excuse me,”
Hana menegur pelajar perempuan Cina itu. “Ada nampak anak patung warna coklat
tak? Saya tertinggal dekat sini.”
Pelajar
itu langsung menggeleng.
Hana
rasa hampa. Setelah mengucapkan terima kasih, dia mula mencari di sekitar café,
sayangnya apa yang dicari terus tidak kelihatan. Kemudian, Hana menuju ke arah
tangga pula. Dia mahu mencari di kelas tutorial.
“Nak
naik atas ke?” tegur Badrul. Nafasnya sedikit tercungap.
“Kalau
tak nak ikut, tunggulah sini.” Hana terus menaiki tangga. Dia tidak mahu
menyusahkan Badrul. Tetapi Badrul tetap ikut juga. Setibanya di Tingkat 2, Hana
berhenti di hadapan bilik yang bernombor 211.
Dia
terus memulas tombol pintu, sayangnya berkunci. Ah! Tanpa dapat menahan dia
menendang pintu itu sekuat hati. Dia mencuba lagi dan lagi. Tetapi pintu itu
tetap tidak terbuka.
Badrul
yang baru tiba di situ terkejut melihat kelakuan Hana yang bagaikan orang
mengamuk.Dengan nafas yang putus-putus dia menegur.
“Sudahlah,
nanti sakit tangan tu,” pujuk Badrul. Kasihan pula dia melihat sikap Hana.
“Biarlah
sakit, tangan Hana. Bukan tangan abang,” jawab Hana sesuka hati. Badrul tidak
tahu apa yang dia rasa.
“Memang
tangan Hana. Tapi kalau tangan tu sakit nanti… macam mana nak bawa kereta cari
Mr Teddy?” tanya Badrul menggunakan logik akal. Gadis sebesar Hana bukan boleh
dilawan dengan kekerasan.
Kata-kata
Badrul membuatkan Hana terdiam. Tangan dan kakinya memang sakit tetapi hatinya
lebih sakit. Bagaimana dia mahu meneruskan kehidupan tanpa Mr Teddy selepas ini?
Dia belum bersedia.
“Huh!”
Tanpa sebarang isyarat, Hana terus berpaling dan berlari menuruni tangga. Air
matanya berderai di pipi. Di mana lagi dia harus mencari Mr. Teddy? Dia
bingung.
SETIBANYA
di luar bangunan, Badrul melihat Hana sudah pun termenung di dalam kereta.
Tingkah laku Hana meyakinkan dia yang hal itu amat besar ertinya bagi gadis
itu. Mungkin anak patung itu bukanlah setakat anak patung bagi Hana. Mungkin juga
ada sesuatu yang dia tidak tahu lantaran baru dua minggu mengenali Hana sejak
mula bekerja di Restoran Janji Sayang.
Dia
jadi sedar. Dia perlu lebih menghormati perasaan orang lain. Cuma apabila dia
masuk ke dalam kereta dan melihat pipi Hana yang basah, dia terus kehilangan
kata-kata untuk memujuk.
“Nak
balik kedai ke nak…” Hana menyapu pipinya yang basah. Apa-apa pun hidup perlu
diteruskan. Dia akan terus mencari Mr Teddy walaupun hingga ke hujung dunia.
Dia tidak mahu kehilangan Mr Teddy seperti dia kehilangan ayahnya.
“Kalau
boleh turunkan abang dekat pasar. Nanti abang boleh jalan kaki aje balik ke
flat.”
Dengan
jawapan itu, Hana menggerakkan keretanya. Setahu dia, Badrul menumpang di rumah
Abang Mat. Dan dia tahu di mana Abang Mat tinggal. Rasanya tidak mengapa kalau
dia terus menghantar Badrul hingga ke kaki flat. Bukan jauh sangat dari pasar
besar.
“Hana,”
tegur Badrul perlahan. Selagi tidak diluahkan selagi itu ada kesal yang berbuku
dalam hati.
“Ya,”
balas Hana.
“Maafkan
abang ya? Abang tak berniat nak ketawakan Hana tadi.”
Hana
diam sahaja. Sama ada orang ketawakan dia ataupun tidak, dia sudah tidak
peduli. Apa yang nyata sekarang, Mr Teddy sudah hilang.
“Esok
kita cari lagi ya?” pujuk Badrul. “Nanti abang cari di kedai pula. Mana tahu
kalau-kalau tercicir di kedai.”
Hana
tahu Badrul cuba menebus kesalahannya. Dia tidak kata apa-apa kerana dia tahu
Mr Teddy tidak mungkin berada di kedai. Dia yang bawa Mr Teddy ke kolej pagi
tadi. Kalau dia tidak menemui Mr Teddy di kolej esok hari bermakna Mr Teddy
boleh berada di mana-mana sahaja. Sesiapapun boleh mengambilnya.
“Insya-ALLAH
kalau masih ada rezeki Hana dengan Mr. Teddy, lambat atau cepat Hana mesti
jumpa semula,” kata Badrul lagi. Dia harap kata-katanya dapat membantu Hana
melihat masalah itu dengan lebih luas. “Semua ni ketentuan ALLAH. Semua ni
dugaan buat Hana. Kalau Hana bersabar, Insya-ALLAH Hana akan dapat sesuatu yang
lebih baik.”
Hana
tak nak yang lain, Hana nak Mr Teddy juga, balas Hana dalam hati. Air matanya
mengalir lagi.
Melihatkan
kesedihan Hana, Badrul kehilangan kata-kata. Dia faham bahawa Hana perlukan
lebih masa untuk menerima kehilangan itu. Dan dia akan cuba membantu apa yang
terdaya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.