AMAT RINDU KAMU ~ merupakan sebuah kisah semi-realiti masyarakat. Ia mengisahkan bagaimana seorang gadis bernama Hana telah kehilangan anak patung kesayangannya yang bernama Mr. Teddy. Dalam tempoh pencarian ini, Hana akan bertemu dengan pelbagai pengalaman baharu. Mr. Teddy pula menjadi saksi kepada satu demi satu pengalaman apabila jatuh ke tangan orang lain. Apakah Hana dan Mr. Teddy akan bertemu di akhir cerita? Mari kita ikuti kisah ini.
Bab 2
*****************************************
Bab 2
RUMAH
dua tingkat bercat hijau muda itu kelihatan sunyi dari luar. Hanya lampu di
bilik tidur tingkat atas yang menyala. Kedengaran suara dua orang manusia
sedang berbual-bual di bilik itu. Satu suara perempuan dan satu suara lelaki.
“Saya
cuma risau…”
“Risaukan
apa? Dia dah besar panjang. Tahulah dia jaga diri dia,” jawab Othman sambil mengambil
kopiahnya yang tersangkut pada dinding. Hajatnya mahu ke surau berdekatan untuk
berjemaah tetapi melihatkan wajah isterinya yang muram membuat hatinya
berbolak-balik.
“Tapi
dia pergi tu dengan hati yang rajuk. Entah ke manalah dia pergi agaknya,”
sungut Aminah sambil melipat kain-kain di atas katil. Ingatannya tertumpah
kepada anaknya yang entah di mana.
“Abang
bukan marahkan diri dia. Abang cuma tegur sikap dia aje. Kalau itu pun nak
merajuk, macam mana nak berdepan dengan cabaran di luar sana? Kita ni mak bapa
menegur kerana sayang. Tapi orang di luar belum tentu.”
“Ya,
saya tahu bang…”
“Geram
rasanya. Asyik melepak di rumah siang malam, makan tidur, makan tidur aje
kerjanya.” Kalau dia sudah mula berleter begitu, susah hendak berhenti.
Seakan-akan peluru yang tersendat dalam dada selama ini meletus tanpa dapat
ditahan-tahan lagi. “Asyik menambahkan gemuk dia aje.”
Di
matanya kini, terbayang wajah Badrul yang bertubuh bulat itu. Anaknya memang
bertubuh gempal sejak kecil kerana kuat makan. Seleranya sungguh tidak terlawan
oleh sesiapa yang sebaya dengan dia pada waktu itu. Sekali minum susu mesti tiga
botol baru boleh tidur.
“Gemuk,
gemuk pun anak kita juga,” kata Aminah.
Dia
faham perasaan suaminya. Dia sendiri bimbang melihat Badrul pada waktu itu.
Seperti ada yang tidak kena. Tetapi selepas Badrul keluar dari rumah, hatinya
juga yang tidak tenteram. Asyik teringatkan Badrul.
“Abang
bukan kata dia bukan anak abang. Cuma abang mahu dia buat kerja sambilan
sementara tunggu kerja yang entah bila dapat tu. Zaman gawat macam ni, apa pun
kerja kita kena buat untuk teruskan hidup. Untuk cari pengalaman.”
“Saya
pun dah puas pujuk dia. Ada aje alasan dia.”
“Masa
berjalan. Dari sebulan dah ke tiga bulan. Dia tetap juga tak bergerak-gerak.”
“Dah
bergeraklah tu,” balas Aminah. Sekarang ingatannya makin kuat. Entah di mana
Badrul sekarang. Entah hidup entahkan mati.
OTHMAN bangkit menuju ke beranda di luar bilik
tidur. Perbincangan itu membuatkan perasaanya berbaur. Sedikit sebanyak dia
rasa bersalah kerana menyebabkan Badrul meninggalkan rumah tetapi apa yang
dilakukan itu hanyalah kerana kasih sayangnya sebagai seorang ayah. Dia tidak
mahu melihat anaknya terus tercicir dan terlalu mengikutkan perasaan.
“Bad,
abah dah carikan kau kerja di kedai cermin mata dekat dengan tempat kerja abah,”
kata dia apabila balik dari kerja pada petang itu.
Badrul
hanya menoleh sekilas, lepas itu kembali tekun menatap skrin televisyen di
hadapannya. Langsung tidak menjawab apa-apa.
Melihatkan
tiada tindak balas dari Badrul, dia naik ke tingkat atas untuk mandi dan
bersolat.
Lepas
solat Maghrib dia turun menuju ke bilik makan. Badrul sudah ada di situ, sedang
mengunyah nasi dengan berselera. Pada malam itu, anaknya menambah nasi sampai
tiga kali. Dia hanya makan secukupnya lalu bangun ke dapur membasuh pinggan
sebelum duduk di ruang tamu.
“Bad,
selepas makan, abah nak cakap dengan Bad,” kata Aminah selepas dia menjauh.
“Alah,
ni tentu pasal kerja di kedai cermin mata tu kan?” tanya Bad. Matanya tunduk
memandang nasi.
“Penat
abah kau tanya ke hulu ke hilir. Harapkan engkau…entahlah.”
Badrul
menghabiskan nasi di pinggan lalu mengangkat ke sinki. Dari jauh lagi Aminah
memandang ke arahnya.
“Bad,
mari duduk sini sekejap.” Dia memanggil Badrul. Dia tahu dengan adanya dia di
ruang tamu, anaknya akan berkurung di dalam bilik tidur pula. “Dah kenyang?”
“Dah
ayah, sedap betul emak masak malam ni.”
“Engkau
tu memang dari kecil macam tu, apa saja yang mak kau masak engkaulah dulu yang
habiskan,” sampuk dia sambil tersenyum.
Teringat
semasa Badrul kecil, dia dan adiknya Badri suka berebut ayam goreng sampai
bergaduh-gaduh. Semua itu sudah lama berlalu kini Badrul dan Badri sudah
sama-sama dewasa. Badrul sudah tamat berlajar dan tinggal Badri di tahun kedua
pengajian.
“Abah
nak cakap apa, bah?”
“Pasal
kerja tu la. Bad nak tak kerja situ dulu?”
“Erm,
Bad malaslah bah. Biarlah dulu…”
“Biar
dulu? Biar sampai bila? Dah tiga bulan Bad berehat di rumah,” bantahnya
Badrul
terdiam. Tergaru-garu kepala dan kaki.
“Bad
cubalah dulu kerja situ, bukan susah sangat pun,” pujuk Aminah yang baru tiba
dari dapur.
“Okeylah.
Bad cuba dulu.”
Dia
tersenyum. Gembira hatinya kerana akhirnya mahu juga Badrul bekerja sementara.
Dia yakin selepas itu Badrul akan dapat kerja lain yang lebih baik.
“Esok
engkau bangun pagi-pagi, abah hantar kau ke situ dulu sebelum abah ke pejabat.”
Dalam kepalanya sudah tersusun rancangan untuk menghantar dan menjemput Badrul
balik kerja. Buat sementara mereka terpaksa berkongsi kenderaan.
Badrul
sekadar mengangguk. “Bad naik atas dulu ya mak, abah”
“Ha,
jangan tidur lewat sangat, esok dah nak bangun pagi,” pesan Aminah. Sama
bersemangat seperti dia juga.
Keesokkan
paginya, dia bangun lebih awal daripada biasa. Selepas solat Subuh, dia ke
bilik Badrul.
“Bad,
bangun. Solat Subuh dulu.” Dia tinggalkan Badrul selepas Badrul terjaga. Dia
terus ke biliknya semula untuk bersiap-siap sementara Aminah sibuk menyiapkan
sarapan di dapur.
Selepas
selesai sarapan, muka Badrul tetap tidak muncul-muncul di meja makan. Dia mula
risau. Bimbang terlambat.
“Mana
si Bad ni? Dah lambat ni.” Dia belek jam tangan.
Mendengarkan
rungutan dia, isterinya terus berlari naik ke tingkat atas. Tidak lama kemudian
isterinya masuk semula ke bilik makan.
“Mana
dia?”
“Bad…
Bad belum bangun, bang. Lepas solat tadi dia tidur balik,” jawab isterinya
takut-takut.
“Tidur?”
Pada waktu itu rasa marahnya sudah sampai ke kepala. Dia punyalah teruja mahu
menghantar Badrul ke tempat kerja, Badrul boleh pula buat seperti itu. Dia
betul-betul kecewa. Lalu tanpa sepatah kata dia tinggalkan rumah pagi itu.
Pada
sebelah petangnya dia balik ke rumah dengan sisa-sisa perasaan marah yang masih
ada. Dia sendiri rasa tidak tahu bagaimana mahu berdepan dengan anaknya lagi.
Dia takut dia akan hilang sabar.
“Bah,
Bad minta maaf. Pagi tadi Bad…”
“Tak
nak kerja cakaplah tak nak kerja,” balasnya apabila Badrul mencarinya pada
sebelah malam di bilik tidurnya.Melihat muka anaknya, darahnya mula mendidih
semula.
Anaknya
terdiam lama.
“Ikut
engkaulah, Bad. Abah dah habis ikhtiar dah. Lantak engkaulah nak jadi apa. Nak
jadi tilam ke, nak jadi bantal ke dalam rumah ni. Abah dah tak nak ambil tahu.
Abah boleh bekerja lagi. Abah boleh cari duit beli beras untuk mak engkau.
Kalau abah mati esok, ada duit KWSP abah untuk tanggung mak kau. Tak payahlah
engkau fikir apa-apa pasal kami. Fikir diri sendiri pun tak lepas.”
Anaknya
terus meninggalkan bilik.
Dia
tarik nafas dalam-dalam. Memang dia kesal berkata begitu tetapi dia sudah
kehabisan cara. Anaknya bukan kecil lagi. Sudah habis belajar. Sudah ada
ijazah. Kenapa tidak mahu bekerja? Sekurang-kurangnya cukup untuk beli sabun
mandi sendiri pun jadilah.
Keesokannya
pula, semasa di pejabat dia menerima panggilan telefon. Isterinya mengatakan
yang Badrul telah keluar rumah dengan sebuah beg pakaian. Dia tidak menegah.
Cuma sedih kerana sehingga hari ini Badrul masih belum menghubungi isterinya.
Dia
faham isterinya bersedih dan mungkin sedikit sebanyak menyalahkan dia. Dia
sendiri rasa sedih kerana kehilangan seorang anak dengan cara begitu. Tetapi
dia berharap, di mana pun Badrul sekarang, anaknya selamat dalam perlindungan
ALLAH swt. Dan satu hari nanti anaknya akan faham erti sebuah kehidupan dan erti
kasih sayang seorang ayah dan seorang ibu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.