Monday, April 14, 2014

Rahsia gadis VIP: Bab 11


Terbitan: Aurora Creative
ISBN 978-967-10077-5-4
~Adakah Tuhan akan mengampunkan saya, umi?~

*Ia merupakan sebuah novel soft-mystery

Sekarang…
RUANG TAMU rumah Sofia seakan-akan menjadi saksi bisu kepada apa yang berlaku di situ. Kesemuanya bagai dihentak satu kenyataan yang mengejutkan. Kesemuanya terlopong kecuali Tengku Mazwin dan Mak Wiyah.
Linda terkedu mendengarnya. Perasaannya seperti baru jatuh ke dalam gaung. Terhenyak. Terduduk. Buang bayi? Mayat bayi? Naik seram sejuk badannya. Tegak semua bulu roma. Dan yang pentingnya siapa yang buat kerja gila tu?
“Betul ke ni, Mak Wiyah?” Dia akhirnya dapat bersuara.
Kerut di dahinya masih belum hilang. Debar di dada masih kencang. Tetapi yang selebihnya dia masih tidak percaya dan masih buntu.
“Tak ada satu pun apa yang diceritakan oleh puan itu tak betul.” Mak Wiyah memandang tepat ke arah Linda.
“Mayat bayi tu dikebumikan di mana?” tanya Linda lagi.
Melihatkan kesungguhan Linda, semua yang ada di situ memandang ke arahnya.
“Kenapa pandang-pandang?” Linda mula rimas. Baru dia sedar, kesungguhannya bertanya telah mengundang persepsi yang salah kepadanya. “Jangan fikir aku yang buat ya. Aku cuma nak tahu.”
“Mak Wiyah dah uruskan dengan pihak surau kampung sebelah. Bayi tu dah dikebumikan dengan baik. Kalau ada sesiapa nak melawat kuburnya, Mak Wiyah boleh tunjukkan sebab Mak Wiyah selalu singgah di sana. Semasa puan sihat dulu pun, puan juga selalu melawat.” Mak Wiyah toleh ke arah Tengku Mazwin untuk pengesahan.
Tengku Mazwin angguk.
“Umi tak pernah pun cerita pada saya.” Dengan semena-mena, Sofia bersuara. Dia juga tampak bingung.
Tengku Mazwin pegang tangan anaknya. “Sengaja umi dan Mak Wiyah tak cerita pada Sofia. Pada masa tu kamu kan sibuk belajar? Nak ambil SPM. Nanti terganggu pula fikiran kamu.”
Sofia tidak bersuara lagi. Dia termenung jauh.
“Sekarang kita semua dah berkumpul kat sini, semua dah tahu hal ini. Jadi umi harap siapa yang buat tu, mengaku ajelah pada umi. Bukan umi nak marah tapi umi nak ada yang bertanggungjawab pada bayi tu. Itu anak kamu.”
Linda dengar satu persatu apa yang keluar dari mulut umi. Dia juga merasakan apa yang dikatakan oleh umi itu betul. Kenapa bayi itu dibuang? Adakah semasa bayi itu dibuang, dia masih hidup? Tidak adakah secebis rasa kasihan? Tetapi hendak mengatakan yang dia ataupun Shereen yang melakukannya juga tidak wajar.
“Bagi saya, tak ada apa yang saya patut mengaku. Sebab, saya tak buat. Saya pun tak pernah mengandung,” jawabnya. “Kalau tak percaya mari pergi hospital, doktor ada cara nak tahu semua tu.”
“Saya pun tak buat.” Shereen terus bersuara.
“Kalau salah seorang daripada kamu berdua tak buat… siapa lagi yang buang bayi tu?” tanya Sofia dengan lantang.
Linda terus angkat tangan.
“Aku tak tahu. Mungkin juga… bayi tu bukan bayi penghuni Raphael’s Cottage. Manalah tahu kalau-kalau…”
“Buat apalah, orang datang jauh-jauh untuk buang bayi di belakang Raphael’s Cottage? Kau ingat tak, berapa kilometer Raphael’s Cottage tu dari jalan besar yang berpagar tinggi tu?” Jazz bersuara setelah lama mendiamkan diri.
Linda menoleh lama ke arah Jazz. Kata-kata Jazz memang logik. Siapa yang datang dan keluar dari kawasan yang berhektar-hektar luasnya itu semuanya akan dikesan oleh pengawal di pintu pagar. Jadi, ini mesti kerja orang dalam. Masalahnya siapa?
“Tapi aku boleh pastikan aku dan Shereen tak mengandung waktu tu.” Linda bersuara tegas.
Shereen spontan menoleh ke arah Linda. Dia menyetujuinya.
“Macam mana kau boleh yakin sangat?” tanya Sofia.
“Kami kan tinggal sebilik? Jazz aje yang duduk di bilik lain. Kau pun di bilik lain.”
Tengku Mazwin, Mak Wiyah dan Datuk Razif memerhatikan sahaja perbincangan yang semakin tegang itu.
“Tapi itu masih boleh dipersoalkan,” jawab Sofia dengan sinis. “Mungkin juga kau orang berdua bersubahat. Mana tahu?”
Linda sudah tidak dapat mengawal kemarahannya lagi. Dia segera bangun dan mencapai beg tangannya.
“Cepat pulangkan telefon bimbit aku! Semua ni tak masuk akal,” katanya kepada Sofia.
Tindakannya diikuti oleh Shereen dan Jazz yang turut sama bangun serentak. Walaupun masih terkejut dengan cerita itu namun disuruh ber-tanggungjawab untuk perkara yang tidak dilakukan bukan dia orangnya. Dia ada harga diri.
“You can run but you can’t hide,” balas Sofia sambil menghulurkan telefon bimbit masing-masing yang sekian lama berada dalam beg tangannya.
Linda berdengus. Tanpa mengucapkan selamat tinggal kepada sesiapa pun, dia meluru ke luar dari rumah Sofia sambil diikuti Jazz dan Shereen. Di luar rumah, dia arahkan pemandu Sofia menghantarnya ke bandar semula.
Sofia mengizinkan tapi sebelum ketiga-tiganya masuk ke dalam keretanya dia sempat berpesan. “Aku beri kau orang bertiga masa seminggu aje. Kalau salah seorang tak datang mengaku….”
“Shut up, Sofia!” tengking Jazz. Dia masuk ke sebelah pemandu dan lantas menutup pintu dengan kuat.
 “Wait and see,” kata Sofia sambil terus tersenyum. Sebelum Linda menarik pintu kereta, dia bersuara lagi.  “Ingat… seminggu aje. Aku akan selalu hantar reminder. Kalau tak melalui e-mel, telefon, SMS mungkin juga… surat khabar.”
Di dalam kereta, Linda memejamkan matanya rapat-rapat. Terasa hidupnya makin sukar. Terasa dia terperangkap oleh jaringan hidup yang berbelit-belit.


BEBERAPA minit selepas itu kereta milik Sofia terus meluncur laju menghala balik ke ibu kota. Suasana yang gelap dan jalan yang agak licin, membuatkan pemandu sangat berhati-hati. Perjalanan juga menjadi bertambah panjang. Di dalam kereta, mereka bertiga masih senyap sunyi.
“Kau datang naik kereta ke?” Akhirnya Linda membuka mulut bertanya kepada Shereen yang duduk di sebelahnya. Kalau Shereen tidak ada kenderaan untuk balik ke Kaula Lumpur, dia sanggup tumpangkan Shereen. Tidak ada masalah pun pada dia.
“Aku bawa kereta. Parking dekat Rawang.”
“Kalau macam tu aku turun dulu.”
Shereen terus diam. Termenung.
Linda menarik nafas. Terasa lambat benar kereta itu bergerak. Walaupun dia sudah terlambat untuk menghadiri majlis itu namun itu tidak menjadikan hatinya lega. Malah, menjadi tambah berserabut dengan masalah yang tiba-tiba melanda itu.
Rupa-rupanya reunion itu hanyalah satu perangkap yang dipasang oleh umi dan dia yakin Sofia sendiri tidak sedar. Sofia sendiri nampak panik.
“Kau rasa dia akan kotakan kata-katanya ke?” Dengan tiba-tiba sahaja Shereen bertanya.
“Kau?” balas Linda dengan suara yang sama perlahan. Dia tidak mahu pemandu kereta itu mendengar ataupun faham apa yang dibincangkan.
“Of course she will.” Shereen renung muka Linda.
Linda menelan air liur.
“Tahu siapa yang buat?” bisik Linda lagi.
Shereen lantas menggeleng. “Yang pastinya bukan aku,” katanya.
“Aku juga.”
“Jadi siapa yang buat?”
“Kenapa kau rasa aku tahu siapa yang buat?” balas Linda dengan pantas.
Mata bulat bercelak Shereen terkebil-kebil.
“Apa yang penting sekarang, kita perlu bersedia,” tambah Linda.
“Untuk apa?”
“Kau juga yang kata dia akan kotakan apa yang dikata. Maknanya… kita semua ada tempoh seminggu aje untuk menyerahkan satu nama kepada umi. Apa yang kita patut buat?”
“Kita patut berbincang,” kata Shereen.
Linda angguk.
“Turunkan kami atas bumbung pasaraya depan tu,” arahnya kepada pemandu.


“EH! Aku…,” kata Jazz sebaik sahaja ditarik turun dari kereta Sofia. Dia terpinga-pinga dan tidak tentu hala.
“Aku tahu,” balas Linda dengan cepat. “Kau masuk dalam kereta aku dulu.”
Tanpa berlengah. Dia menarik lengan Jazz dan Shereen ke arah keretanya yang sudah sedia terparkir di atas bumbung sejak beberapa jam yang lalu. Disuruh mereka berdua masuk ke dalam keretanya dengan segera. Jazz kelam-kabut masuk di tempat duduk belakang kereta Linda.
“Kereta aku dekat …,” kata Jazz lagi.
“Nanti aku hantarlah kau ke sana. Kita kena berbincang dulu,” balas Linda sambil menghidupkan enjin kereta dan memasang penghawa dingin keretanya kuat-kuat.
“Nak bincang apa? Perkara ni tak ada kena-mengena dengan aku,” balas Jazz.
Spontan, Linda dan Shereen menoleh ke belakang. Walaupun lampu tidak dipasang namun dalam samar-samar, mereka berdua dapat melihat wajah Jazz yang begitu bersahaja.
“Baik, kalau itu yang kau fikir. Lebih baiklah aku hantar kau balik aje.” Linda menoleh semula ke arah depan dan lantas menggerakkan keretanya. Shereen pula termenung jauh.
Jazz tarik nafas panjang. Kedua belah tangannya disilang ke dada. Dia memandang ke luar.
“Kau orang berdua pun tahu, aku tak terlibat dengan hal tu,” katanya.
“Sekurang-kurangnya kau tolonglah kami fikirkan jalan bagaimana nak selesaikan masalah ini,” jawab Shereen.
“Jalan apa pula? Kalau salah seorang daripada kau orang berdua mengaku pada umi, selesailah masalah.”
“Masalahnya… bukan kami berdua yang buat.” Terus Linda menjawab dengan lantang. “Kau faham tak apa masalahnya?”
“Kalau bukan kau orang berdua, siapa lagi? Mak Wiyah?” kata Jazz.
Ketiga-tiganya kembali senyap.
“Masalah ni takkan selesai kalau kita bertiga asyik bertengkar.” Linda bersuara. Keretanya menuju ke arah Kuala Kubu Bharu di mana kereta Jazz diletakkan. Dia mula sedar yang Jazz mahu berlepas tangan dalam soal itu. “Dan untuk pengetahuan kau, Jazz. Aku tak percaya langsung Sofia akan melepaskan kau begitu aje.”
“Tak payahlah kau cuba takutkan aku.” Jazz tersenyum sinis.
Linda menggeleng sendiri. Kecewa betul dia dengan sikap jazz. Shereen hanya menjeling.
“Aku tak paksa kau percaya. Kalau kau tak nak percaya, kau punya pasal. Tapi kau belum cukup kenal siapa Sofia kalau kau percaya dia akan lepaskan kau walaupun bukan kau yang buat. Kau tengok ajelah nanti.”
“Aku akan berbincang dengan dia pasal ni,” jawab Jazz.
“Well.. goodluck!” kata Linda sewaktu menghentikan keretanya di tepi jalan. Jazz terus melompat keluar dan menutup pintu dengan kuat.
Linda terus menggerakkan keretanya ke arah bandar pula. Dia tidak mahu fikirkan pasal Jazz lagi. Hatinya sakit.


ALANG-ALANG sudah lambat, biar lambat terus, kata hati Linda. Lalu, dia mengajak Shereen makan malam bersama di sebuah kedai makanan barat di tepi sebuah jalan.
Sambil menunggu makanan yang dipesan tiba, mereka berbual apa sahaja. Namun, mereka sama-sama tahu tidak ada topik yang lebih penting daripada topik itu.
“Kau fikir siapa yang buat?” tanya Shereen selepas puas bermenung.
Linda cuma menggeleng.
“Yang pentingnya bukan kita berdua yang buat,” balasnya. Itu yang dia tahu.
 “Tapi sekarang semua orang tuduh kita berdua.”
“Dan kita dituduh bersubahat,” sambung Linda. Sesungguhnya tuduhan itu amat menyakitkan hatinya tetapi dia sedar tidak ada apa yang boleh dibuat kerana tiada bukti. “Tapi aku percaya lambat laun, rahsia itu akan terbongkar juga. Kita mesti berdoa semoga Tuhan tunjukkan kebenaran.”
“Terima kasih sebab percayakan aku. Dalam keadaan macam ni… aku rasa kau aje yang percayakan aku.”
“Aku tak tahu apa niat umi membangkitkan soal ini tapi aku rasa kita akan berhadapan dengan masalah besar kalau hal ini diketahui orang lain.” Linda pandang Shereen sekilas.
“Aku cakap terus-terang pada kau, ayah aku nak buat come back pada pilihanraya akan datang. Kalau perkara ni sampai ke pengetahuan orang atas, habislah peluang ayah aku.
Pihak lawan akan gunakan hal ini habis-habisan untuk menjatuhkan nama dia sekali lagi. Dan yang pasti kena bunuhnya, aku,” jawab Shereen sambil menggeleng. Wajahnya betul-betul muram.
“Aku kesian pada kau. Tapi aku sendiri pun tertekan,” balas Linda.
Dia faham apa yang ditakutkan Shereen. Dia juga ada banyak perkara yang perlu dipertahankan. Buku motivasi yang bakal terbit, nama baiknya dalam dunia bisnes dan nama baik ayah dan ibunya.
“Aku sedih perkara ini dibangkitkan sewaktu kita dah mula hidup baik-baik. Aku lebih rela kalau umi bangkitkan 10 tahun yang lalu. Di waktu kita masih tak ada apa-apa yang dirisaukan.”
“Aku tak tahu nak cakap apa dalam soal ini. Tindakan umi sangat mengejutkan.”
“Kecuali kita berikan satu nama kepada umi,” kata Shereen.
“Nama siapa?”
Pertanyaan itu tinggal pertanyaan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.