Wednesday, May 28, 2014

PUJA : Bab 2 dan Bab 3


Bab 2:

Kampung Silak Tua.
MAHU tidak mahu, Bahiyah terpaksa pergi juga. Walaupun terasa berat hati namun Bahiyah terpaksa akur. Sambil menghela rasa yang terbeban dalam hati, dia lantas menyarung selipar dan menuju ke belakang rumah.
Pada waktu itu muram senja sudah tiba. Lantai tanah mulai gelap dan sejuk. Dingin malam berlajar singgah. Pokok-pokok mula berbalam. Hutan di pinggiran tidak sanggup dipandang.
Krek! Pagar kayu yang hampir reput berkeriut semasa ditarik Bahiyah.
Bahiyah acuhkan sahaja. Sebaik sahaja masuk, dia terus melangkah laju menuju ke sudut sebelah kiri kebun kecil yang berpagar itu. Di situ ada tiga batang pokok terung yang sedang berbuah. Lantas, dia menarik dua biji terung lalu berpatah semula.
Rasa dingin senja yang menerpa, membuatkan dia berasa seram sejuk. Apatah lagi apabila angin menghantar bau busuk seperti bau bangkai mereput ke hidungnya dengan tiba-tiba. Kembang tengkuknya menahan rasa loya.
Krek! Pintu pagar berbunyi lagi apabila ditolak kali kedua.
Bahiyah terus tinggalkan tempat itu. Makin lama langkahnya makin laju. Malah kini dia mula berlari-lari anak. Perasaannya semakin tidak enak. Tengkuknya meremang. Bulu romanya tercacak tegak. Sayangnya ketika dia tiba berdekatan sebatang pokok keranda yang tidak berbuah, langkahnya terus terhenti. Nafasnya tertahan.
Seorang lelaki tua berwajah aneh sedang berdiri tegak di tengah laluan.
Semakin lama dipandang, semakin dia nampak jelas. Ulat putih sebesar beras berebut-rebut keluar dari rongga mata yang sudah tidak bermata. Juga dari rongga hidung, mulut dan pipi yang melopong. Kesemuanya jatuh berguguran ke tanah. Bergaul dengan nanah, darah dan cebisan daging yang turut meluruh. Bau busuk semakin kuat.

Bahiyah jadi kaku. Dia tidak mampu bergerak. Makin lama makin fikirannya terawang-awang. Pandangan matanya berpusing. Dia hanya sempat menjerit sebelum tergolek mencium tanah. Terung yang dipegang tercampak ke bawah rumpun keladi hutan.

BACA SAMBUNGAN DI SINI:  BAB 2 (tekan)

Bab 3
Keesokan harinya…
Pinggir Bukit Tinggi
KABUS di perbukitan menghalang pandangan. Sambil membetulkan jaket yang dipakai, Jimmy menyambung menungannya yang panjang di beranda apartmentnya. Semalaman tidak tidur menyebabkan tubuh badannya agak lesu. Ditambah kerisauan memikirkan apa yang bakal dihadapinya sebentar lagi, dia benar-benar rasa dihempap batu besar. Angin sejuk yang menghilir dari arah perbukitan itu pun tidak mampu lagi menghadirkan rasa damai.
“Cepat bangun?” tegur Manjoy yang menggeliat ala-ala kucing jantan di muka pintu gelonsor. Tubuhnya yang tidak berbaju menampakkan tubuhnya yang kurus namun keras, hasil latihan tomoi yang berterusan.
Suara Manjoy membuatkan Jimmy menoleh seketika. “Dah pukul berapa?”
Manjoy menoleh ke arah dinding di dalam rumah, kemudian menoleh ke arah Jimmy semula.
“Pukul 7.”
“Cepat bangun?” Jimmy pula bertanya. Terdetik rasa hairan kerana selalunya kalau belum pukul dua belas tengah hari, Manjoy tidak akan buka mata.
“Nak terkencing.” Manjoy tersengih sebelum tergesa-gesa meninggalkan Jimmy sendirian semula di beranda itu.
Jimmy menarik nafas panjang, kemudian kembali termenung. Apa yang menganggu fikirannya jelas terbayang di ruang mata. Mampukah dia berdepan semula dengan semua yang telah ditinggalkan sejak 15 tahun yang lalu? Mahukah mereka menerima semula dirinya dengan baik? Bagaimanakah sambutan mereka? Dia rasa terhukum oleh pelbagai persoalan yang tidak ada jawapannya.
“Dah packing baju?”
Spontan Jimmy menoleh. Nampaknya Manjoy sudah kembali ke situ. “Belum,” jawabnya sepatah.
“Aik? Kenapa tak packing lagi?” Manjoy tarik sebuah kerusi besi di tepi pintu lalu duduk bersilang kaki bagaikan senang hati. “Bukan selalu balik pun… seingat aku… aku tak pernah ingat kau pernah balik kampung. Sebut pasal mereka pun tak pernah.”
“Pernah aku tanya pasal keluarga kau?”
Manjoy terdiam.
Jimmy mengeluh perlahan. Bukan niatnya mahu menyakiti hati Manjoy tetapi Manjoy bukan tidak tahu. Soal keluarga adalah satu soal yang tidak akan didedahkan oleh mana-mana ahli kumpulan mereka termasuklah dia dan Manjoy sendiri.
Mereka hidup bagaikan anak-anak terbuang, jauh dari keluarga masing-masing. Sejujurnya dia sendiri tidak tahu Manjoy berasal dari mana. Manjoy juga tidak pernah pulang ke pangkuan keluarga. Bercerita apatah lagi.
“Sorry, aku…” Setakat itu Manjoy bersuara. “Tak apalah. Kau baliklah dulu… kalau ada apa-apa masalah telefon ajelah.”
Sehabis berkata-kata Manjoy bangkit lalu melangkah perlahan masuk ke dalam rumah semula.
Jimmy tidak menoleh sedikit pun. Dia tahu Manjoy bukanlah lembik bagaikan budak hingusan. Setakat kena herdik, kena maki, kena sepak terajang sudah tidak jadi hal. Ini kan pula setakat berbalas kata. Tetapi kalau semua itu benar, kenapa hatinya sendiri terasa amat runsing. Ada perasaan malu yang teramat malu menguasai dirinya. Patutkah dia pulang?
BACA SAMBUNGAN DI SINI:  Bab 3 (Tekan)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.