Friday, October 17, 2014

Lelaki Bermata Aneh : Bab 2



*Novel Lelaki Bermata Aneh akan diterbitkan pada tahun 2015

ARIEL terus melompat dari katil dan berlari ke bilik Jeffri. Sewaktu dia tiba di situ, bilik itu sudah pun dikerumuni oleh penghuni institut. Baru dia sedar ramai yang sudah tahu perihal Jeffri, kecuali dia yang enak menyulam mimpi. Dia mula rasa marah kepada dirinya sendiri.
“Kenapa dengan Jeff?” tanyanya sambil menolak sesiapa sahaja yang ada di hadapan.
Faruk hanya kata ada yang tidak kena dengan Jeffri, Faruk tidak kata… Tanpa sempat ditahan, dia merentap kain selimut yang menutupi tubuh Jeffri.
Dia terpempan.
Wajah pucat Jeffri membuat sekujur tubuhnya menggeletar. Darah merah yang keluar daripada kedua belah hidung dan mulut Jeffri masih menitik ke atas cadar yang mula basah.
“Jeff! Bangun, Jeff!” katanya sambil menggoncang tubuh Jeffri yang semakin kaku. Dia bingung. Malam tadi mereka berdua baru sahaja makan malam dan berbual-bual, pagi ini…
“Jangan macam ni,” pujuk Faruk sambil memegang bahu Ariel.
“Jeff belum mati. Jeff…” Dia terduduk di atas lantai tanpa menghiraukan semua mata yang memandang. Dia tersedu-sedu sambil menutup mukanya dengan kedua belah tangannya. Jiwanya masih menolak. Tak mungkin Jeffri telah mati. Tak mungkin.
“Sudahlah, tak baik menangis macam ni,” pujuk Faruk lagi sambil menarik tubuh Ariel bangun dari lantai dan membawanya keluar ke beranda bilik. Lantas cahaya pagi menerpa ke wajah mereka berdua, menghantar sedikit kehangatan.
“Apa yang berlaku ni? Kenapa…” tanya Ariel sambil menahan perasaannya. Pandangan matanya masih dikaburi air mata. Puas disapu namun air mata itu tetap juga tidak berhenti mengalir.
“Tak pasti lagi tapi aku rasa dia kena serangan jantung,” balas Faruk dengan tenang. Dia melemparkan pandangan ke arah kebun getah di hadapan mereka. Suasana kehijauan itu nampak mendamaikan walau tidak cukup indah di saat itu.
“Jeff tak pernah sakit jantung. Lagipun umur dia baru 25 tahun.” Suara Ariel mula meninggi. Alasan itu sukar diterima olehnya walaupun dia tahu kematian itu bukan ketentuan manusia. Ada kuasa lain yang mengawal hidup dan mati.
Faruk angkat bahu.
“Sudah ajal dia macam tu. Kita nak kata apa?”
“Dr. Sid dah tahu?”
“Malam tadi kan malam tahun baru? Engkau bukan tak tahu ke mana Dr. Sid pergi selalunya? Tapi dia dah diberitahu. Dia dalam perjalanan balik.” Faruk mengerling jam di tangannya. Jam itu menunjukkan waktu baru hampir ke pukul 9.35 pagi.
Ariel diam. Setiap kali dia menoleh ke arah dalam bilik, perasaannya jadi pilu. Dia yakin Dr. Sid pasti akan lebih sedih lagi. Jeffri adalah satu-satunya anak Dr. Sid.
“Ayah kau mana?”
“Selepas kami dapat tahu tadi, ayah aku terus pergi jemput Dr. Sid. Ayah aku kata dia sendiri yang nak sampaikan berita ini. Mungkin sekejap lagi mereka sampai. Sudah lama ayah aku pergi.”
“Siapa yang jumpa Jeff?”
“Pengawal keselamatan yang meronda. Dia kata pintu bilik Jeff terbuka. Apabila dia masuk, dia jumpa Jeff dah macam tu.”
“Apa kita nak buat ni? Hubungi polis?”
“Ayah aku kata tunggu mereka balik dulu.” Faruk menggeleng.
“Kenapa baru sekarang kau beritahu aku?”
Air muka Faruk berubah. “Kau tahu tak, berapa lama aku kejutkan kau? Dah puas aku menjerit tapi kau tidur macam orang mati. Apa kena dengan kau?”
Ariel tarik nafas. Dia sendiri tidak tahu apa yang telah berlaku. Sehingga saat itu, kepalanya amat sakit sehinggakan terasa seperti hidungnya mahu berdarah. Dia juga berasa amat lemah seperti segala tenaga di dalam tubuhnya telah dihisap keluar. Walhal dia hanya tidur. Bukankah sepatutnya tidur itu merehatkan tubuh badan dan mengembalikan tenaga? Dia tidak dapat memahaminya. Otaknya begitu letih. 
Belum sempat dia membuka mulut untuk bertanya kepada Faruk, kedengaran pula bunyi riuh-rendah di pintu bilik. Masuk Dr. Uzair.

FARUK dan Ariel terus masuk semula ke dalam bilik Jeffri. Kehadiran Dr. Uzair di situ juga menandakan Dr. Sid sudah sampai.
“Ariel ikut saya.” Dr. Uzair berpatah balik keluar dari situ sebaik sahaja ternampak muka Ariel.
Ariel tercengang. Dia tidak sangka itu yang akan diucapkan oleh Dr. Uzair sebaik sahaja sampai ke situ. Dia menoleh ke arah Faruk. Bimbang kalau-kalau dia tersalah dengar.
Faruk juga terpinga-pinga.
Oleh kerana itu satu arahan, Ariel ikut sahaja langkah Dr. Uzair. Setelah berusaha mencelah di antara penghuni institut yang masih bersesak-sesak di pintu bilik Jeffri, akhirnya dia dan Faruk dapat keluar dari situ. Mereka mengikut Dr. Uzair turun ke tingkat bawah. Dari situ mereka menuju pula ke bangunan A.
Setibanya di sana Dr. Uzair melangkah pula ke pejabatnya tanpa sebarang suara. Pada waktu itu Ariel dapati dua orang pengawal keselamatan sudah berada di luar bilik Dr. Uzair. Sejurus dia masuk, kedua-dua orang pengawal keselamatan tadi juga ikut masuk dan berkawal di muka pintu.
Detik demi detik berlalu. Ariel masih tidak faham kenapa dia dipanggil ke situ. Dia pandang Dr. Uzair sayangnya Dr. Uzair yang bermata garang di sebalik cermin matanya, tidak langsung mengangkat muka memandangnya.
“Bawa dia.” Semena-mena, Dr. Uzair mengeluarkan arahan kepada pengawal keselamatan.
Serentak dengan itu juga kedua-dua orang pengawal keselamatan tadi terus memegang lengan Ariel dengan kuat.
Ariel tergamam. Tangan pengawal ditepis tetapi tidak cukup pantas. Akhirnya kedua belah tangannya dikilas ke belakang dengan kasar sehingga tangannya terasa kebas.
 “Doktor? A.. apa ni?” Dia mula panik. Bingung bertambah bingung. Rasa hendak pitam juga ada.
“Ayah, kenapa tangkap Ariel?” tanya Faruk pula. Dia pegang tubuh Ariel.
Dr. Uzair pandang muka Faruk. Dia mengeluh berat sebelum tertunduk semula memandang lantai.
“Kau tak perlu berpura-pura lagi, Ariel.” Dr. Uzair menikam wajah Ariel dengan pandangan mata yang penuh kebencian.
Dahi Ariel berkerut. Sudah terasa nafasnya panas.
“Berpura-pura apa? Kenapa saya dibuat macam ni?” Suaranya meninggi. Dia tetap cuba melepaskan tangannya dari pegangan pengawal keselamatan sayangnya gagal.
Mata Dr. Uzair terkelip-kelip.
“Malam tadi. Kau yang bunuh Jeffri, bukan?”
“Apa?” Ariel dan Faruk sama-sama bertempik.
“Kau boleh tak mengaku tapi… kami ada bukti.” Dr. Uzair memeluk tubuh.
“Mustahil!” Ariel cuba menerkam. Dia tidak faham apa yang sedang dikatakan oleh Dr. Uzair. Dia bunuh Jeffri?
“Sementara kami uruskan jenazah Jeffri, kau akan dikurung. Selepas itu nanti terpulanglah kepada Dr. Sid.”
“Ayah…” Faruk menerpa pula ke arah ayahnya yang sudah mahu meninggalkan bilik itu. Dikejar sampai ke luar.
“Ayah…,” katanya sambil menarik lengan Dr. Uzair.
Dr. Uzair berhenti melangkah. Dia pegang bahu Faruk yang pucat lesi.
“Jeff bukan kena serangan jantung yang biasa. Dia telah dibunuh. Kami ada bukti. Ariel yang bertanggungjawab.”
Mendengarkan kata-kata Dr. Uzair, Ariel yang sudah diheret ke muka pintu terus menjerit dan meronta.
“Aku tak bunuh Jeff, Faruk! Aku tak buat!”
Kemudian dia terasa satu pukulan yang keras hinggap di belakang kepala. Dia terasa amat sakit. Pandangan matanya mengecil dan langsung bertukar gelap. Fikirannya berhenti berfungsi. Tubuhnya melorot jatuh ke lantai. Perlahan-lahan dia diseret pergi oleh kedua-dua orang pengawal keselamatan.
Faruk yang melihat ingin mengejar tetapi dipegang Dr. Uzair.


BILIK itu kecil. Hanya ada sebuah tingkap dengan jeriji besi padu. Sebuah kipas di atas kepala yang berputar dengan kelajuan maksimum. Sebuah pintu yang berkunci. Selain itu tidak ada apa-apa di bilik itu yang boleh dirakam dengan mata kasar. Dan Ariel masih terlungkup di atas lantai. Baru sedarkan diri.
Sebaik sahaja dia membuka mata, perkara yang pertama dia lihat ialah lantai yang berhabuk tebal. Batuknya tersembur. Pembuluh nafasnya sesak. Dia batuk dan batuk sehingga dapat menghambur keluar segala habuk yang mendak di kerongkongan. Sayangnya belum lagi lega nafasnya dia terdengar derap tapak kasut menuju ke situ. Anak matanya melirik tajam ke muka pintu.
Sebaik sahaja daun pintu dikuak seseorang, Ariel memejamkan matanya. Berpura-pura bagaikan belum sedar. Walhal jantung berdegup bagai kuda dipacu.
“Ariel,” panggil Faruk yang baru sahaja melangkah masuk.
Pintu ditutup semula. Di tangannya ada sebuah dulang plastik yang berisi nasi lemak, roti dan sedikit sambal sardin. Ada juga satu cawan plastik berisi teh yang sudah suam. Kesemuanya diambil dari dewan makan sebelum ke situ.
Faruk? Sebaik sahaja telinga Ariel menangkap suara Faruk dia terus membuka mata semula. Lantas, dia menggunakan kedua belah tapak tangannya untuk menekan lantai dan menolak tubuhnya supaya mampu bangun.
Faruk pantas meletakkan dulang di lantai. Kemudian menolong Ariel untuk duduk dengan bersandarkan dinding.  
“Kau tak apa-apa?”
Ariel tidak tahu bagaimana mahu menjawab pertanyaan itu. Semuanya masih serba tidak kena bagi dirinya. Kepala sakit. Badan lemah. Jiwa hancur.
“Aku bawakan kau nasi lemak. Kau makan dulu ya?” Faruk angkat dulang plastik yang dibawa tadi. Disuakan ke arah Ariel.
Tetapi Ariel pandang sahaja dulang itu tanpa rasa teruja. Deria baunya sudah hilang. Selera makannya sudah mati. Akhirnya dia hanya termenung dan duduk diam bagaikan patung. Terasa seperti hidupnya sudah berakhir. Sudah tiada gunanya lagi.
“Makanlah sikit. Kau perlukan tenaga.”
“Aku tak bunuh Jeff.” Itu yang Ariel jawab. Pada waktu itu, itulah sahaja yang penting bagi dirinya. Bukan soal makan ataupun minum.
“Aku tahu,” balas Faruk dengan yakin.
“Jadi kenapa mereka tuduh aku?”
Faruk tarik nafas. Matanya terkelip-kelip merenung daun pintu bilik itu.
“Ayah aku kata, dia ada bukti.”
“Bukti apa? Aku tak faham.” Suara Ariel meninggi. Dia mula hilang sabar. Semua itu tidak masuk akal. “Kau pun tahu yang aku masuk tidur lebih awal daripada Jeff malam tadi.”
“Shhh! Jangan kuat sangat,” tegur Faruk sambil menoleh ke arah Ariel sebentar.
“Ini semua tak betul. Tak masuk akal.” Ariel merungut sendiri.
“Tapi bukan itu yang penting sekarang.”
Ariel menoleh ke arah Faruk.
“Dr. Sid percaya kau yang bunuh anak dia.”
Ariel hanya mampu menggeleng. Dia tidak sangka semudah itu Dr. Sid mempercayai tuduhan Dr. Uzair. Mungkinkah kerana dia bukan siapa-siapa?
“Jeff tu abang aku.” Itu sahaja yang dapat dikatakan untuk mewakili sejujur-jujurnya perasaan dia terhadap Jeffri. Malah kalau disuruh dia menggadaikan nyawa pun dia sanggup. 
“Perasaan bukan bukti yang sahih. Penafian kau tak akan dapat menandingi bukti yang mereka ada.”
“Bukti?” Sekali lagi Ariel berasa hairan. “Apa bukti yang ayah kau ada? Aku nak tengok.”
“Shh… bertenang. Bukan soal itu yang kau kena fikirkan sekarang,” balas Faruk.
“Soal apa lagi yang lebih penting? Kat atas sana Jeff dah mati. Aku di sini dituduh bunuh dia. Kau ingat tuduhan tu tuduhan yang menyeronokkan? Tuduhan membunuh tahu tak?” Suaranya sekali lagi meninggi.
Melihatkan kelakuan Ariel yang begitu tertekan, Faruk menepuk-nepuk bahu Ariel dengan lembut.
“Cubalah bawa bertenang. Fikir satu-satu,” katanya lembut.
“Nak fikir apa lagi?”
“Jeff dah mati. Itu kita tahu. Tapi apa yang kita perlu fikirkan sekarang ialah soal kau.”
Ariel mula berfikir. Sayangnya dia tidak nampak apa yang cuba disampaikan oleh Faruk. Apa yang dia boleh buat lagi kalau terkurung di dalam bilik kecil itu? Basuh muka pun belum. Kencing pun terpaksa ditahan-tahan.
“Kau kena lari dari sini.” Faruk berbisik sambil merenung mata Ariel dalam-dalam.
Lari? Ariel menggeleng.


“JANGAN jadi bodoh. Cuba kau fikir apa akan jadi kalau kau tunggu di sini.” Keras kata-kata Faruk kali ini.
Ariel pandang lama muka Faruk. Seorang lelaki yang tampan. Kulitnya sawo matang. Dahi luas. Rambutnya ikal beralun. Pendek kata wajah dan warna kulit mereka berdua kalau dibandingkan bagai malam dengan siang. Amat kontra.
Namun pada hari itu dia melihat sisi Faruk yang begitu berbeza. Dia seolah-olah diperlihatkan isi hati Faruk yang selama ini tidak pernah ditonjolkan.
“Nanti bila polis datang sini, aku akan cakap pada mereka. Mereka tentu akan siasat perkara ni betul-betul. Mereka akan siasat bukti. Apabila aku dibuktikan tak bersalah, tentu Dr. Sid akan percaya.” Begitulah yang dia baca dalam novel setiap malam sebelum tertidur. Itulah yang dia percaya. Polis akan siasat mengikut bukti dan dia percaya tidak akan ada bukti kerana dia tidak bersalah.
Faruk menggeleng seraya mengeluh hampa.
“Faruk?” Ariel menegur. “Kenapa kau mengeluh? Tak betul ke apa yang aku cakapkan tu?”
“Kalau mereka nak serahkan kau kepada polis, pagi tadi lagi polis dah sampai ke sini,” balas Faruk dengan lesu.
Jawapan Faruk membuatkan Ariel terdiam lama. Dia menelan air liur yang hampir kering. Terasa tidak tertelan. Dia cuba memikirkan kemungkinan yang lain.
“Habis tu kenapa mereka tak panggil polis?”
Faruk tidak menjawab walau sepatah pun. Sebaliknya hanya tunduk membisu.
Ariel ikut diam.
“Jangan kata yang mereka nak serahkan aku kepada SIKORP. Aku berhak disiasat. Aku berhak dipenjarakan.” Sekarang satu kemungkinan singgah di kepalanya. SIKORP. Perkataan itu bagaikan bergema dan melantun-lantun dalam ruang fikirnya. Perkataan yang sudah cukup untuk membuat urat perutnya cekang.
Faruk menoleh.
“Kalau kau tunggu. Kau mati.”
Ariel tarik nafas panjang-panjang. Kata-kata Faruk memberikan satu jawapan yang mengerikan. SIKORP ialah sebuah kumpulan aneh. Dia pernah melihat anggota SIKORP datang dan membawa pergi beberapa orang ahli di institut itu yang melakukan kesalahan berat. Mereka hanya pulang dalam keranda tanpa otak. Sehingga sekarang dia tidak tahu lebih lanjut mengenai SIKORP. Dia cuma mendengar beberapa cerita ngeri yang dibisikkan oleh kakitangan institut itu. Cerita itu beredar bak Urban Legend yang menyeramkan.
Sesiapa yang melakukan kesalahan berat di situ akan diserahkan kepada SIKORP. SIKORP akan menghantar beberapa orangnya yang bertatu kepala naga di tapak tangan untuk mengambil pesalah. Selepas beberapa hari hanya jasad yang akan pulang untuk disemadikan. Dengarnya bukan otak sahaja yang dikorek hidup-hidup tetapi juga mata, telinga dan segala organ dalaman yang boleh berfungsi. Membayangkannya sahaja isi perut Ariel bergelodak ingin keluar.
“Tapi macam mana….” Dia pandang Faruk.
“Kau tunggu aku malam ni,” jawab Faruk sambil bangkit berdiri.
“Apa kau nak buat?”
“Aku akan usahakan sesuatu,” balas Faruk dengan tenang.
“Kalau aku lari, aku akan nampak seperti bersalah. Tak usahkan Dr. Sid, tukang sapu pun akan percaya aku yang bunuh Jeff.”
“Kau cuma ada dua pilihan. Kau tunggu di sini dan lihat otak kau dikeluarkan hidup-hidup. Atau kau lari dan cuba kumpul bukti untuk membersihkan nama kau. Yang mana kau nak?” tanya Faruk dengan pantas. “Sekurang-kurangnya kalau kau lari, kau masih hidup. Kau boleh buktikan yang kau tak bersalah. Tapi kalau kau tunggu…. mayat kau tak boleh buktikan apa-apa. Kau mahu berputus asa atau ambil peluang sementara masih ada?”
Ariel termenung lama. Tidak pernah terlintas di fikirannya untuk lari dari masalah. Apatah lagi lari dari tempat itu.
“Kau fikir dulu. Aku datang lagi malam nanti.” Faruk berhenti di muka pintu. “Kau mesti habiskan semua makanan tu. Lepas tu berehat. Malam nanti kau mungkin perlukan semua tenaga yang ada.”
Setiap kata-kata Faruk diingatkan baik-baik. Namun sehingga saat itu dia masih belum dapat meyakinkan diri sama ada tindakan itu betul ataupun salah. Ke mana dia hendak lari? Ke mana dia hendak pergi? Patutkah dia lari?
“Faruk, malam tadi aku bermimpi. Aku melihat bintang jatuh ke bumi.” Dia tersenyum kelat. Entah kenapa dia tiba-tiba teringatkan mimpi itu semula. Mimpi yang belum sempat diceritakan kepada Jeffri.
 “Mungkin maknanya kau akan selamat.” Faruk tersenyum nipis sebelum menutup pintu di belakangnya.
Sebaik sahaja pintu itu tertutup rapat, Ariel rasa begitu sunyi dan buntu. Benarkah dia akan keluar dari batasan pagar 10 kaki tinggi itu? Ke mana dia harus pergi? Semuanya nampak kabur.



1 comment:

  1. best... dh diterbitkan ke belum? tak sabar nak tunggu sambungannya...

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.