Cover promosi oleh Hasrudy
LIM menuju ke
arah sinki untuk membasuh tangan. Dalam keadaan seperti itu lebih baik dia
tidak menambahkan masalah. Walaupun dia sendiri tidak jelas apa yang sedang
berlaku di situ tetapi dia percaya Muthu
memerlukan masa untuk bertenang. Sedang dia leka membilas sabun, dia ternampak
kelibat seorang gadis berjalan di belakang dia. Dia juga terhidu bau yang
sangat dikenalinya; bau bunga ros.
Dia spontan
menoleh. Tetapi tidak ada sesiapa di situ kecuali Balan yang baru masuk semula
ke dalam kedai. Namun hatinya rasa tidak puas. Dia menoleh lagi dan lagi tetapi
kemudian dia akur. Memang tidak ada perempuan lain di situ kecuali Pooja.
Mungkin dia salah lihat, fikirnya.
“Devi dah balik
sekolah?” Dia bertanya kepada Muthu yang kini sudah beralih ke kaunter. Mungkin
yang dilihatnya tadi ialah Devi anak Muthu dan Pooja.
Muthu belek jam.
“Belum lagi,”
katanya tanpa memandang Lim.
Lim keluarkan
duit sepuluh ringgit dari poket baju. Duit itu diletakkan di atas kaunter.
“Tak payahlah
bayar.” Muthu menolak duit itu tanpa mengangkat muka.
Untuk seketika
Lim kelu, kemudian dia terpaksa mengalah untuk tidak menyukarkan keadaan di
situ. Lain kalilah dia bayar, fikirnya. Nanti Muthu naik angin pula.
“Esok aku datang
lagi,” kata Lim sambil memandang wajah Muthu yang muram.
Jauh dalam hati
dia dapat memahami perasaan Muthu. Tentu Muthu sedang marah, kecewa dan
bingung. Persis seperti yang telah dialaminya ketika kehilangan Suzy secara
mengejut.
Sememangnya
selama ini tidak pernah pula lauk-pauk di situ basi dan berbau busuk. Sambil
berfikir, dia tinggalkan kedai Muthu. Mungkin suatu hari nanti dia akan faham
apa yang sedang berlaku di situ seperti dia akan faham apa yang telah menimpa
Suzy.
****
SETELAH Lim
pergi, keadaan di situ bertambah hening. Masing-masing cuba melakukan kerja
secermat mungkin. Masing-masing tidak mahu menjadi mangsa kemarahan Muthu
termasuklah Pooja.
“Apa yang
berlaku tadi?” Dia bercakap perlahan-lahan dengan Balan yang masuk ke dapur
untuk menghantar sedulang sayur goreng yang telah basi. Dia sendiri belum
berani keluar semula ke ruang hadapan. Bimbang Muthu mengamuk.
Balan berkerut
dahi dan menggeleng. Murugan hanya menjeling sambil membasuh periuk.
“Macam mana
boleh basi? Kan kita masak pagi tadi?” Pooja tidak puas hati. Hal itu benar-benar
membuatkan dia susah hati. Dia yang masak; tentu dia rasa bersalah.
“Aku pun
hairan,” balas Balan sambil minta diri untuk kembali ke ruang hadapan.
Pooja lepaskan
Balan pergi. Dia tahu dalam keadaan itu semua orang takut dimarahi. Cuma dia
tahu dia yang akan dipersalahkan walaupun dia tidak tahu apa-apa.
“Pooja!” Muthu
menjerit dari ruang hadapan.
Dia pegang dada
dengan tangan kiri. Aduh!
*****
MUTHU masih
termenung di tepi kaunter. Ribut fikirannya cuba memahami apa yang sedang
berlaku di situ. Perasaan malu dan sedihnya tidak tahu hendak diletakkan ke
mana. Dia benar-benar buntu.
“Pooja,”
panggilnya sekali lagi.
Mendengar
panggilannya, Pooja terkocoh-kocoh datang mendekat dengan wajah cemas dan
takut.
“Macam mana kari
boleh basi?” Dia luahkan juga pertanyaan itu. Mungkin isterinya ada melakukan
kesilapan di mana-mana.
Pooja terus
menggeleng tidak tahu. Air matanya mula bergenangan. Kecil hatinya kerana
dipersalahkan. Terasa diri dituduh dan tidak dipercayai suami sendiri. Rasa
hendak berlari balik rumah dan menangis di atas katil.
“Takkan tak
tahu?” balas Muthu.
“Aku masak macam
biasa saja. Aku pun tak tahu kenapa boleh basi,” jawabnya laju. Rasa sakit hati
disimpan dalam-dalam. Dia malu kalau bergaduh di hadapan pekerja.
“Balan? Raju?”
Kini Muthu
menoleh pula ke arah dua orang pekerjanya yang paling setia. Kedua-duanya ada
pertalian dengan Pooja, isterinya. Perlahan-lahan mula timbul pelbagai syak
wasangka buruk kepada mereka berdua. Walaupun semuanya masih terlalu awal untuk
dipastikan tetapi seseorang mesti bertanggungjawab. Kalau tidak Raju, mesti
Balan. Kalau tidak Balan mesti Murugan. Dia tidak syak Pooja. Pooja isterinya.
Balan dan Raju
serentak menggeleng. Sama seperti Pooja. Kedua-duanya juga menunjukkan muka
bingung.
Muthu merengus.
Dalam keadaan itu, dia yakin tidak ada seorang pun yang akan berani mengaku.
Tetapi jauh di dalam hatinya kuat merasakan ini semua adalah angkara atau
kesilapan seseorang. Mustahil, makanan yang dimasak pagi tadi boleh basi
secepat itu. Lagipun mereka bukan baru berniaga. Sudah dekat setahun.
“Semua tak mau
mengaku,” katanya tanpa memandang sesiapa. Hatinya geram. Geram kepada semua.
Pooja diam.
Begitu juga dengan yang lain-lain. Murugan pula melihat sahaja dari arah dapur.
Tidak masuk campur.
“Apa kita nak buat
sekarang?” tanya Pooja kemudian.
“Buat apa lagi?
Buang sajalah ke longkang.” Muthu menjawab dengan perasaan yang masih bergumpal
dalam dada. Dia masih berfikir dan mencari puncanya. Dia tidak mahu hal itu
berulang lagi. Dia berniaga. Kejadian itu bukan sahaja merugikan bahkan
mencemar nama baik dia dan kedai itu.
Bentakan Muthu
membuatkan Pooja terdiam. Kemudian mengangguk perlahan dan mula berpaling
pergi. Buat sementara biarlah dia ikut sahaja apa kata Muthu.
“Ayam goreng,
ikan goreng kasi kucing-kucing di belakang makan. Yang lain buang. Jangan
sesiapa pun cuba makan, nanti sakit perut masuk hospital, restoran kita juga
kena kompaun.” Muthu tutup mesin kasyier dengan kuat. Berdentum bunyinya dalam
kedai yang sudah kosong itu.
Pooja menelan
sahaja kemarahan Muthu dalam diam. Sewaktu dia mahu meninggalkan tempat itu,
Muthu bertanya.
“Devi belum
balik?”
Langkah Pooja
terhenti. Hal itu membuatkan dia terlupa fasal Devi yang masih belum
pulang-pulang dari sekolah. Dia pandang jam pada dinding.
“Sekejap lagi,”
balasnya pendek.
“Cepat kemas,
kita balik.” Muthu angkat surat khabar dan telefon dari atas kaunter. Dia mahu
keluar seketika. Restoran itu terasa amat merimaskan perasaannya. Sesak dalam
kekosongan.
******
SEPENINGGALAN
Muthu, Pooja mula berkemas. Walaupun terasa agak janggal berkemas pada waktu
tengah hari dan bukannya petang seperti kebiasaan namun untuk menentang arahan
Muthu juga dia tidak berani. Dia faham suaminya sedang merajuk dan bingung. Dia
bimbang Muthu akan jadi bertambah marah jika dia banyak soal.
“Semua buang?”
Tanya Balan sambil memegang sepinggan ikan goreng.
“Letak sini
dulu.” Pooja tepuk ruang kosong di sebelah sinki. Dia teringatkan sesuatu.
“Yang lain tu buang saja. Jangan bawa balik.”
Balan angguk
lalu pergi semula ke ruang hadapan di mana Murugan dan Raju sedang mengemas
meja dan kerusi. Kedai itu masih lagi senyap kerana semua orang masih tidak ada
mood untuk berbual-bual seperti selalu. Radio dan televisyen yang selalu
dipasang tidak henti-henti pun sudah dimatikan.
Setelah membersihkan
ruang memasak, Pooja angkat pinggan yang berisi ikan goreng tadi lalu dibawa
keluar melalui pintu belakang. Dipandang kiri dan kanan laluan kecil yang
memisahkan bangunan kedainya dengan bangunan perniagaan di belakang. Agak sunyi
tengah hari itu.
“Miow! Cit! Cit!
Cit!” Dia berdecit memanggil kucing-kucing yang biasa dilihat di laluan itu.
Mendengarkan
suaranya, terpacul seekor ibu kucing dari dalam longkang tidak jauh dari
tempatnya berdiri. Di belakang ibu kucing tersebut ada empat ekor anak kucing
berwarna serupa dengan ibunya iaitu bertompok hitam dan putih. Kesemuanya
berlari-lari ke arahnya.
“Nah!” kata
Pooja.
Sambil tersenyum
dia campakkan potongan ikan goreng ke arah kucing-kucing tersebut.
Kucing-kucing itu pun menerkam dan berebut. Dengan gelojoh kelima-limanya makan
tanpa memerhati ke sekeliling. Selepas puas melihat, Pooja kembali semula ke
dalam kedai untuk menyambung kerjanya.Dalam hati, dia berharap apa yang telah
berlaku hari ini tidaklah berlarutan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.