Saturday, July 4, 2015

Gumanthong : Bab 3

FATIN menyusun semula kertas-kertas peperiksaan yang baru selesai ditanda. Semuanya disusun elok-elok lalu diletakkan di atas fail yang akan dibawa ke sekolah esok. Apa pun yang berlaku, tugasnya sebagai seorang guru tetap dijalankan juga. Itulah sahaja punca rezekinya sekiranya apa-apa terjadi kepada perkahwinannya dengan Luqman.
Dalam kelesuan, dia padamkan lampu bilik yang kini menjadi tempat kerjanya saban malam. Bilik itu juga menjadi bilik bacaan dan bilik belajar Wani. Namun sebelum itu, bilik itu adalah bilik tidur Amran, anak sulungnya yang sudah meninggal dunia sejak dua tahun yang lalu.
Dari bilik itu dia singgah sebentar di bilik tidur Wani. Melihatkan wajah Wani yang begitu polos, air matanya bergenang. Betapa dia berharap keluarganya seperti keluarga yang lain juga. Bahagia, mesra dan saling ambil berat. Namun dia sedar, tiada perkahwinan yang tidak diduga dengan masalah. Setelah perasaannya lega sedikit, dia berjalan perlahan ke bilik tidurnya sendiri.
Sewaktu dia tiba, Luqman sudah lama lelap. Malah sesekali kedengaran bunyi dengkuran yang kuat. Dengan perlahan-lahan, diangkat kedua belah kaki yang sudah membengkak ke atas tilam. Diurut-urut sebentar sebelum merebahkan kepala di atas bantal.
Nafas dihela panjang. Cuba dipujuk hatinya yang sedih namun perasaannya bagai dibuai-buai. Akhirnya air mata menitik juga di pipi. Baru hendak diseka, seekor lalat hinggap di pipi kiri.
Dia segera menguisnya tetapi lalat itu tetap menghurung kepalanya sambil mengeluarkan bunyi dengung yang aneh.
Spontan Fatin mengangkat kepala. Dia pandang ke sekeliling bilik yang hanya diterangi oleh lampu tidur, namun lalat itu tidak kelihatan lagi. Dia hempas nafas lega lalu berbaring semula. Baru hendak memejamkan mata, bunyi berdengung kedengaran lagi. Malah kali ini lebih kuat sehingga dirasakan seolah-olah memenuhi satu bilik. Apabila dia mendongak ke atas, matanya terbeliak.
Siling bilik tidurnya dipenuhi sekawan lebah sehingga membentuk setompok warna hitam. Belum sempat dia menyebut apa-apa, lebah-lebah itu meluru turun dan mengerumuninya dari kepala hingga ke kaki.
Fatin menjerit dan meronta-ronta.
Bisa sengatan lebah itu terasa seperti cucuhan api yang berbisa. Dia ingin bangun tetapi tidak mampu. Kaki dan tangan membengkak dan keras bagaikan batu. Dia ingin memanggil Luqman namun lidahnya kebas. Akhirnya dia pasrah, mengharungi detik-detik yang sungguh menyakitkan itu sambil terketar-ketar tubuhnya menahan seksa yang seolah-olah tidak ada penghujungnya.
Dalam keadaan tidak berdaya dan mamai, Fatin hanya ingatkan ALLAH. Dia memohon agar walau apa pun yang berlaku; nyawa Wani dan anak dalam kandungannya selamat. Sayangnya semua itu mengakibatkan, perutnya menjadi bertambah senak seperti dihempap sesuatu yang besar lagi berat.
Nafasnya jadi sesak. Mulutnya ternganga. Namun penderitaannya belum habis setakat itu. Beribu-ribu ekor lebah pula berebut-rebut masuk ke dalam mulutnya; menyengat dan menggigit dinding tekak hingga ke dalam perut. Natijahnya, darah membuak-buak keluar dari mulut, hidung dan telinga.
Nafas Fatin bertambah nipis. Dia menanti ajal dengan pasrah.

“Fatin! Fatin!” Luqman menggoyang bahu Fatin beberapa kali tanpa menyedari yang dia telah menyelamatkan nyawa Fatin pada malam itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.