Friday, August 4, 2017

Cerpen SERAM: CINCIN

“Apa benda tu, Min?” Zai tertarik dengan apa yang dibelek Amin sejak balik dari bandar petang tadi. Macam menarik benar.
“Cantik tak, kak? Amin beli kat pasar malam Jalan Bendahara.” Amin menayangkan cincin di jari manis. Sebentuk cincin berbatu biru. Di atas batu itu ada jalur-jalur kehitaman.
“Min beli ke? Berapa ringgit?” Zai pandang sahaja. Dia tidak minat langsung cincin berbatu besar seperti itu.
“Murah aje, kak. Rm 50,” balas Amin.
“Buat apa nak membazir? Rm 50 tu banyak boleh beli benda lain yang lebih penting.” Zai cuba menyedarkan Amin. Meskipun dia tidak pernah berkira dengan Amin dalam soal duit tetapi dia tidak mahu Amin membazir pula.
“Pak cik tu kata dia jual murah aje kat Amin. Kalau tak harganya RM 300.”
Mulut Zai terlopong. Daripada apa yang dilihat, dia sendiri rasa cincin itu mahal harganya.   
“Habis tu kenapa dia jual murah sangat kat Amin?”
“Rezeki Amin kut?” Amin tersengih.
Zai terdiam. Malam itu dia tidak dapat tidur lena. 
*****
KIPAS sudah berputar dengan kelajuan maksima. Di luar pula hujan sedang mengguyur bumi dengan lebat tetapi di dalam rumah seakan-akan berbahang. Zai rasa rimas.
Oleh kerana tidak boleh tidur, dia keluar dari bilik. Dia mahu ke dapur untuk mengambil air sejuk. Sewaktu melintasi bilik Amin, dia terdengar bunyi orang sedang meratib. Bunyinya berdengung-dengung dan aneh sebutannya.
Dia hairan.
Langsir bilik Amin disingkap. Daun pintu yang tidak tertutup rapat ditolak sedikit. Bilik Amin gelap tetapi cahaya dari bilik air membuatkan Zai mampu melihat serba sedikit. Dia nampak Amin sedang tidur di atas katil. Manakala di atas lantai, ada seorang lelaki berkepala botak sedang duduk meratib
Semena-mena dia terjerit.
Amin bingkas bangun dan melompat turun dari katil.
“Kenapa, kak? Kenapa?”
Zai hanya menggeleng kepala. Lelaki berkepala botak tadi sudah hilang.
*****
HARI demi hari berlalu. Zai lihat Amin semakin banyak berubah. Daripada seorang adik yang baik kini berubah menjadi seorang yang panas baran dan bermulut celupar. Amin juga semakin jauh dari sejadah dan Al-Quran. Apabila ditegur Amin akan melenting.
Zai sedih. Sebagai kakak dia amat merisaukan keadaan Amin tetapi dia tidak tahu apa puncanya sehinggalah kedatangan seorang penjual kain ke rumahnya pada satu petang Ahad.
“Kenapa biarkan, nak?” kata penjual kain. Orangnya sudah berumur.
“Biarkan apa, mak cik?”
Sebenarnya Zai tidak bercadang hendak membeli kain yang dijual cuma dia rasa kasihan melihat mak cik itu. Dia bercadang hendak beri mak cik itu berehat sebentar dan minum air buat penghilang haus tetapi itu pula yang didengar.
“Ada benda dalam rumah ni. Anak punya ke?” Mak cik itu memandang ke arah televisyen.
Zai pandang ke arah yang sama tetapi tidak melihat apa-apa. Jantung sudah berdetak laju. Dia rasa dia tahu apa yang mak cik itu maksudkan. Sejak kebelakangan ini dia asyik didatangi mimpi-mimpi yang menakutkan.
“Saya tak faham apa yang mak cik tanya,” katanya. Bimbang kalau tersalah teka.
“Jauh datangnya ni. Dah tua sangat. Ada duduk beratib kat depan televisyen tu,” kata mak cik itu lagi.
Zai sudah menelan air liur. Dia jeling ke arah televisyen. Yang dia nampak cuma televisyen yang sudah dipadam. Yang lain tidak ada. Dia semakin resah. Sekujur tubuh rasa seram sejuk. Tidak sedar dia mengesot semakin rapat ke arah mak cik penjual kain. Tidak terbayang apabila mak cik itu balik nanti dan dia tinggal berseorangan. Patutlah kebelakangan ini dia selalu rasa seperti ada orang lain di rumah meskipun Amin tidak ada.
“Mak cik...” Dia tidak tahu bagaimana mahu meluahkan.

“Dah lama ke dia dekat sini?” tanya mak cik itu pula.

SAMBUNGANNYA DI MKFC (TEKAN)


No comments:

Post a Comment