SUDAH beberapa hari
hati Qiah berdebar-debar. Setiap kali matanya terpandang mengenai tawaran untuk
menulis cerita seram dari sebuah rumah penerbitan, perasaannya melonjak-lonjak.
Dia rasa tak senang duduk. Malah tidur pun tak berapa lelap.
Dia
asyik terbayang namanya dipaparkan di atas muka hadapan buku dan juga kehidupan
yang berubah selepas itu. Dia juga terbayangkan populariti dan sanjungan
pembaca yang tidak putus-putus. Selain membayangkan duit yang akan mengalir
masuk ke dalam akaun bank dan apa yang dia mampu beli dengan duit itu. Oleh itu
kali ini dia nekad untuk mencuba nasib.
“Engkau
buat apa tu, Qiah? Dari tadi menghadap laptop.” Zarin yang baru siap membasuh
baju di dapur menegur. Dia hairan kerana mulai awal pagi tadi lagi Qiah tak
henti-henti menekan papan kekunci. Mandi tidak. Makan pun tidak. Keluar dari
bilik pun tidak. Asyik dengan laptop.
“Jangan
kacaulah. Aku tulis cerita ni.” Qiah rasa marah. Bebelan Zarin membuatkan tumpuannya
terjejas.
“Cerita?”
Suara Zarin mati setakat itu. Jawapan Qiah amat mengejutkan. Setahu dia selama
ini Qiah tak pernah menulis cerita. Setakat menulis mesej dalam WhatApps memang
pernah. Itu pun typho setiap lima huruf.
“Kenapa?
Engkau ingat aku tak boleh tulis cerita seram? Belum cuba belum tahu.” Sikap
Zarin semakin menaikkan kemarahan Qiah. Semangatnya semakin berkobar-kobar
untuk menyiapkan cerita seram yang ditulis sejak pagi tadi. Kalau orang lain
boleh tulis, dia pun boleh juga; itulah fikirnya.
“Engkau
tulis cerita seram?” Suara Zarin semakin kuat. Hampir hendak memekik. Dia
fikirkan Qiah tulis cerita cinta macam dalam novel-novel yang banyak bertimbun
di ruang tamu rumah sewa mereka. Rupanya cerita seram.
Qiah
ketawa kecil. Hati semakin berbangga. Baru Zarin tahu keupayaan dia.
“Engkau
tak takut ke tulis cerita macam tu?”
Dahi
Zarin berkerut-kerut. Dia terbayangkan beberapa novel seram yang pernah dilihat
di kedai-kedai buku. Semua kisahnya melibatkan syaitan, jin, iblis dan hantu.
“Ish!
Jadi penulis cerita seram mana boleh takut? Hati kena sado, beb. Kalau takut...
macam mana nak tulis?” balas Qiah. Matanya masih terpaku ke skrin. Jari-jemarinya
laju menekan papan kekunci meskipun banyak typho. Pedulilah. Janji siap.
“Berani
engkau ya? Engkau tahu ke benda apa yang engkau tulis ni? Engkau tak takut ke
benda ni datang kacau engkau balik?”
Qiah
ketawa mendengar pertanyaan Zarin.
“Menulis
cerita seram ni bukan untuk orang yang penakut macam engkau. Orang yang berani
aje boleh tulis. Nanti dia datang duduk sebelah engkau, baru engkau tahu.” Qiah
mengusik Zarin.
“Memang.
Aku pernah dengar cerita macam tu. Ada seorang penulis novel cerita seram
pernah tulis di Facebook dia. Selama dia menulis, benda tu ada temankan dia di
sebelah. Kalau tak nampak pun, dia boleh rasa benda tu ada dekat dia. Kalau
bulu roma tegak aje tu, adalah tu dekat-dekat.”
“Jadi
penulis cerita seram memang macam tu. Hati kena kental. Kalau diri sendiri tak
boleh kawal, macam mana nak kawal cerita?”
“Begitu...”
kata Zarin sebelum angkat punggung. Dia teringat masih ada baju yang belum
berjemur. “Kalau macam tu, engkau tulislah ya elok-elok. Esok-esok kalau dah
terkenal, jangan buat-buat tak kenal aku pulak.”
Dengan
spontan ketawa Qiah terburai. Kata-kata Zarin buat dia tambah bersemangat.
Di
muka pintu, Zarin menoleh ke arah Qiah dengan wajah prihatin. “Eh! Tadi aku
goreng mi tau. Aku tinggalkan sikit untuk engkau kat atas meja.”
“Alright!”
Qiah angguk. Meskipun perut sudah mula pedih, dia masih tak mahu berganjak. Dia
takut idea dia hilang.
*****
“DAH
mandi ke belum ni? Serabut macam orang tak mandi aje?” Zarin menegur Qiah yang
duduk di hadapan televisyen sambil makan mi goreng dengan gelojoh. Sebelum ini
tak pernah pula dilihat Qiah macam itu.
“Nantilah...
aku lapar ni.” Qiah menjawab. Mi disuap laju ke mulut. Apabila tercekik, dia
lalukan dengan air sejuk.
“Dah
lepas zuhur ni, kak oi. Ingat pagi lagi ke? Ni mesti solat pun tak buat.”
Qiah
tergamam. Dia mendongak memandang jam pada dinding. Baru dia sedar, waktu sudah
hampir ke pukul dua petang. Patutlah dia lapar sangat.
“Haahlah...
aku ingat baru pukul berapa.” Qiah teguk air sejuk dengan laju. Kemudian dia
bangun meletakkan pinggan dan gelas di atas meja makan.
“Basuhlah
oi.” Zarin menegur sikap Qiah yang semakin pengotor. Entah-entah hari itu Qiah
langsung tak gosok gigi atau basuh muka. Hal lain tak usah cakaplah. Semua
pasal teruja sangat hendak menulis cerita seram.
“Nantilah...”
Qiah bergegas masuk ke dalam bilik semula untuk sambung menulis. Sedar-sedar
sudah masuk waktu maghrib.
SAMBUNGANNYA BOLEH DIBACA DI SINI (TEKAN)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.